KEJADIAN 39:1-12

KEJADIAN 39:1-12 Alkitab Berita Baik (BM)

Yusuf telah dibawa ke Mesir oleh orang Ismael, lalu dijual kepada Potifar, seorang pegawai raja yang menjadi ketua pengawal istana. TUHAN menolong Yusuf sehingga dia selalu berjaya dalam segala pekerjaannya. Dia tinggal di rumah tuannya, orang Mesir itu. Tuannya melihat bahawa TUHAN menolong Yusuf dan memberi dia kejayaan dalam segala yang dilakukannya. Potifar suka kepada Yusuf dan melantik dia sebagai pelayan peribadinya; lalu Potifar memberikan tugas kepada Yusuf untuk mengurus rumah tangganya dan segala kepunyaannya. Sejak itu, demi Yusuf, TUHAN memberkati rumah tangga orang Mesir itu dan segala sesuatu yang dimilikinya, baik yang di rumah mahupun yang di ladang. Segala sesuatu yang dimiliki Potifar dipercayakannya kepada Yusuf. Dengan demikian Potifar sama sekali tidak risau tentang urusan rumahnya, kecuali makanannya. Yusuf berbadan segak dan kacak. Beberapa lama kemudian, isteri Potifar mula berahi terhadap Yusuf. Lalu dia mengajak pemuda itu tidur bersama dengan dia. Yusuf tidak mahu dan berkata kepadanya, “Maaf, puan, Tuan Potifar sudah mempercayakan segala miliknya kepada saya. Dia tidak perlu memikirkan apa-apa lagi di rumah ini. Kuasa saya sama besar dengan kuasanya di dalam rumah ini. Tiada sesuatu pun yang tidak dipercayakannya kepada saya kecuali puan. Bagaimana mungkin saya melakukan perbuatan sejahat itu dan berdosa terhadap Allah?” Meskipun isteri Potifar membujuk Yusuf setiap hari, pemuda itu tetap tidak mahu tidur bersama dengan dia. Pada suatu hari, ketika Yusuf masuk ke dalam rumah untuk melakukan pekerjaannya, tiada seorang pelayan pun berada di situ. Kemudian isteri Potifar menarik jubah Yusuf dan berkata, “Marilah kita tidur bersama.” Yusuf meronta hingga dapat lepas, lalu lari ke luar, tetapi jubahnya tertinggal di tangan perempuan itu.

KEJADIAN 39:1-12 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Sementara itu, Yusuf dibawa ke Mesir lalu seorang Mesir, Potifar, pegawai istana Firaun dan ketua pengawal diraja, membelinya daripada tangan bani Ismael yang membawanya ke sana. TUHAN menyertai Yusuf sehingga dia menjadi seorang yang berjaya dalam pekerjaannya. Dia tinggal di rumah tuannya, orang Mesir itu. Tuannya melihat betapa TUHAN menyertai Yusuf dan bahawa TUHAN membuat segala sesuatu yang dikerjakannya berjaya. Maka dia berkenan kepada Yusuf dan menjadikan Yusuf khadam peribadi yang melayaninya. Dia menugaskan Yusuf untuk menjadi pengawas di dalam rumahnya. Segala harta bendanya diserahkannya kepada kuasa tadbir Yusuf. Semenjak Yusuf ditugaskan untuk mentadbir urusan di dalam rumahnya dan atas segala harta bendanya, TUHAN memberkati rumah tangga warga Mesir itu atas sebab Yusuf. Berkat TUHAN melimpah atas segala harta bendanya, baik yang ada di dalam rumah mahupun yang ada di ladang. Lalu dia menyerahkan segala harta bendanya untuk ditadbir urus oleh Yusuf, dan dengan bantuan Yusuf dia tidak perlu memikirkan apa-apa lagi selain makanan yang hendak dimakannya. Yusuf seorang yang berbadan tegap dan tampan parasnya. Setelah beberapa waktu lamanya, isteri tuannya mengerlingkan mata kepada Yusuf dan berkata, “Mari, tidurlah dengan aku.” Tetapi Yusuf menolaknya. Katanya kepada isteri tuannya itu, “Sesungguhnya, dengan bantuanku tuanku itu tidak perlu memikirkan apa-apa lagi di rumah ini. Segala sesuatu yang dimilikinya telah diserahkannya ke dalam kuasa tadbir urusku. Di dalam rumah ini tidak ada seorang pun yang lebih besar kuasanya daripada aku, dan tuanku tidak menahan apa-apa pun daripada aku kecuali cik puan, kerana cik puan isterinya. Bagaimanakah mungkin aku melakukan kejahatan yang besar ini dan berdosa terhadap Allah?” Jadi, meskipun hari demi hari dia memujuk Yusuf namun Yusuf tidak mengendahkan pujukannya untuk tidur di sisinya, ataupun sekadar bersama-samanya. Pada suatu hari, Yusuf masuk ke dalam rumah untuk menjalankan tugasnya. Tiada seorang pun ada di dalam rumah pada saat itu. Lalu perempuan itu memegang jubah Yusuf sambil berkata, “Mari, tidurlah dengan aku!” Tetapi Yusuf meninggalkan jubahnya di tangan perempuan itu lalu lari keluar.