KEJADIAN 37:5-11
KEJADIAN 37:5-11 Alkitab Berita Baik (BM)
Pada suatu malam Yusuf bermimpi. Apabila dia menceritakan mimpinya kepada saudara-saudaranya, mereka bertambah benci akan dia. Inilah yang dikatakan Yusuf kepada mereka, “Cuba dengar mimpiku. Aku bermimpi kita semua berada di ladang dan sedang memberkas gandum, lalu berkas gandumku berdiri tegak. Kemudian berkas-berkas gandum kamu mengelilingi berkas gandumku, lalu sujud kepada berkas gandumku itu.” Lalu saudara-saudara Yusuf berkata kepadanya, “Kaufikir engkau akan menjadi raja dan berkuasa atas kami?” Oleh itu mereka semakin membenci Yusuf kerana mimpi dan kata-katanya. Kemudian Yusuf bermimpi lagi. Dia berkata kepada saudara-saudaranya, “Aku bermimpi lagi. Aku nampak matahari, bulan, dan sebelas bintang sujud kepadaku.” Mimpi itu diceritakannya pula kepada bapanya. Lalu bapanya menegur dia, “Mimpi apakah itu? Kaufikir aku, ibumu, dan saudara-saudaramu akan datang dan sujud menyembah engkau?” Saudara-saudara Yusuf iri hati kepadanya tetapi bapanya tetap memikirkan mimpi itu.
KEJADIAN 37:5-11 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Yusuf yang mendapat satu mimpi menceritakan mimpinya itu kepada para saudaranya lalu mereka menjadi semakin benci kepadanya. Kata Yusuf kepada mereka, “Dengarlah mimpi yang kudapat ini. Sewaktu kita sedang mengikat berkas-berkas gandum di ladang, tiba-tiba berkas gandumku bangkit dan berdiri tegak, lalu datanglah berkas-berkas gandummu mengelilingi berkas gandumku dan sujud memberi hormat.” Kata para saudaranya kepadanya, “Masakan engkau mahu bertakhta atas kami atau berkuasa atas kami?” Tentunya mereka menjadi semakin benci kepadanya atas sebab mimpinya serta kata-katanya itu. Setelah itu Yusuf bermimpi suatu mimpi yang lain, lalu dia menceritakannya kepada para saudaranya, katanya, “Dengar, aku bermimpi lagi. Kelihatan matahari, bulan, dan sebelas butir bintang sujud memberi hormat kepadaku.” Tetapi, ketika Yusuf menceritakan mimpinya itu kepada ayahnya serta para saudaranya, ayahnya mengherdiknya dan berkata kepadanya, “Mimpi apa itu? Akankah aku, ibumu, dan para saudaramu datang dan sujud memberi hormat kepadamu?” Maka para saudaranya menaruh hasad dengki terhadap dia namun ayahnya menyimpan hal itu dalam hatinya.