KEJADIAN 37:28-35
KEJADIAN 37:28-35 Alkitab Berita Baik (BM)
Apabila beberapa orang pedagang Midian lalu, Yusuf dikeluarkan oleh saudara-saudaranya dari perigi. Kemudian mereka menjual dia kepada orang Ismael itu dengan harga dua puluh keping wang perak. Yusuf dibawa oleh pedagang-pedagang itu ke Mesir. Apabila Ruben kembali ke perigi itu dan tidak menjumpai Yusuf di situ, dia mengoyakkan pakaiannya kerana sedih. Dia balik kepada saudara-saudaranya dan berkata, “Anak itu tiada lagi di situ! Apakah yang harus aku lakukan sekarang?” Kemudian mereka menyembelih seekor kambing dan mencelupkan jubah Yusuf ke dalam darah kambing itu. Mereka membawa jubah itu kepada bapa mereka dan berkata, “Kami menjumpai jubah ini. Adakah jubah ini kepunyaan anak ayah?” Yakub mengenali jubah itu, lalu berkata, “Benar, ini jubah anakku! Dia sudah diterkam binatang buas. Aduhai, anakku Yusuf sudah mati dicarik-carik binatang!” Yakub mengoyakkan pakaiannya kerana sedih lalu memakai kain guni. Dia meratapi anaknya itu berhari-hari lamanya. Semua anak Yakub, baik lelaki mahupun perempuan datang menghibur dia, tetapi dia tidak mahu dihibur. Yakub berkata, “Aku tidak akan berhenti berkabung bagi anakku sehingga aku mati.” Demikianlah dia terus-menerus berkabung bagi anaknya Yusuf.
KEJADIAN 37:28-35 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Ketika para saudagar Midian itu tiba berdekatan mereka, Yusuf ditarik dan diangkat keluar dari dalam perigi, lalu dijual kepada bani Ismael itu dengan harga dua puluh keping perak. Maka kumpulan orang itu pun membawa Yusuf ke Mesir. Ketika Ruben kembali ke perigi itu, dilihatnya Yusuf sudah tiada di dalam perigi. Maka dia pun mengoyakkan pakaiannya. Dia kembali kepada para saudaranya dan berkata, “Budak itu tidak ada lagi! Ke manakah aku harus pergi sekarang?” Lalu mereka menyembelih seekor kambing jantan lalu mengambil jubah Yusuf dan mencelupkan jubah tersebut ke dalam darah kambing tadi. Setelah itu, mereka membawa jubah indah berlengan panjang itu kepada ayah mereka lalu berkata, “Kami menemukan jubah ini. Periksalah, adakah ini jubah anak Bapa atau bukan?” Yakub memeriksanya, lalu berkata, “Ini jubah anakku! Binatang buas menyerangnya! Pasti Yusuf telah dikoyak-koyakkan oleh binatang itu!” Lalu Yakub mengoyakkan pakaiannya dan mengenakan pakaian berkabung lalu diratapinya anaknya itu berhari-hari lamanya. Semua anaknya baik lelaki mahupun perempuan berusaha menghiburkannya, tetapi dia enggan dihiburkan. Katanya, “Tidak! Dengan meratap aku akan turun mendapatkan anakku di alam kubur.” Demikianlah Yusuf ditangisi oleh ayahnya.