KEJADIAN 37:2-4,17-24
KEJADIAN 37:2-4 Alkitab Berita Baik (BM)
Inilah kisah keluarga Yakub. Yusuf, anak Yakub yang berumur tujuh belas tahun, menjaga kawanan kambing dan domba bersama dengan saudara-saudaranya, iaitu anak-anak Bilha dan Zilpa, gundik bapanya. Yusuf memberikan laporan kepada bapanya tentang perbuatan jahat yang dilakukan oleh saudara-saudaranya itu. Yakub lebih sayang kepada Yusuf daripada semua anaknya yang lain, kerana Yusuf dilahirkan ketika Yakub sudah tua. Pada suatu hari Yakub membuat sehelai jubah yang sangat cantik Apabila saudara-saudara Yusuf nampak bapa mereka lebih menyayangi Yusuf, mereka membenci Yusuf sehingga tidak mahu bercakap baik-baik dengan dia lagi.
KEJADIAN 37:17-24 Alkitab Berita Baik (BM)
Orang itu berkata, “Mereka sudah pergi dari sini. Saya mendengar mereka berkata hendak pergi ke Dotan.” Oleh itu Yusuf berangkat untuk menyusul saudara-saudaranya. Dia menjumpai mereka di Dotan. Dari jauh mereka nampak Yusuf, dan sebelum dia sampai kepada mereka, mereka berkomplot membunuh dia. Mereka berkata satu sama lain, “Itu dia si tukang mimpi datang. Marilah kita bunuh dia dan campakkan mayatnya ke dalam perigi yang kering. Nanti kita katakan dia diterkam oleh binatang buas. Kita lihatlah apa akan berlaku dengan mimpi-mimpinya itu.” Ruben mendengar rancangan mereka, lalu dia berusaha untuk menyelamatkan Yusuf. “Jangan bunuh dia,” katanya. “Campakkan dia ke dalam perigi di padang gurun ini, tetapi jangan cederakan dia.” Ruben berkata begitu kerana dia bermaksud menyelamatkan Yusuf dan menyuruh dia pulang kepada bapanya. Apabila Yusuf sampai kepada saudara-saudaranya, dengan kasar mereka menanggalkan jubah Yusuf yang sangat cantik itu. Kemudian mereka menyeret Yusuf dan mencampakkan dia ke dalam perigi yang kering.
KEJADIAN 37:2-4 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Inilah salasilah keturunan Yakub. Maka Yusuf anaknya yang berusia tujuh belas tahun itu menggembalakan kawanan ternakan bersama-sama para saudaranya. Dia yang masih muda itu menyertai anak Bilha dan Zilpa, kedua-dua isteri ayahnya, dan Yusuf sering menyampaikan laporan yang buruk tentang saudara-saudaranya kepada ayahnya. Israel memang lebih mengasihi Yusuf daripada semua anaknya yang lain, kerana dialah anak yang lahir pada masa tuanya. Maka dia membuatkan untuk Yusuf sehelai jubah indah yang berlengan panjang. Apabila para saudaranya melihat betapa ayah mereka lebih mengasihi Yusuf berbanding dengan kesemua saudaranya, mereka pun membencinya dan tidak mahu ramah mesra jika berbicara dengannya.
Kejadian 37:17-24 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Kata orang itu, “Mereka sudah berangkat dari sini, kerana kudengar mereka berkata, ‘Mari kita pergi ke Dotan.’ ” Maka pergilah Yusuf menyusul para saudaranya, lalu menemui mereka di Dotan. Para saudaranya melihat dia dari jauh. Tetapi sebelum Yusuf tiba dekat mereka, bermuafakatlah mereka untuk membunuhnya. Kata mereka sesama sendiri, “Lihat, si tukang mimpi itu datang! Sekarang, mari kita bunuh dia dan kita humban mayatnya ke dalam salah sebuah perigi di sini. Kita katakan sahaja bahawa dia dimakan oleh binatang buas. Nanti kita lihat, apa yang akan terjadi dengan segala mimpinya itu!” Tetapi ketika Ruben mendengar hal itu, dia berusaha menyelamatkan Yusuf daripada perbuatan tangan mereka itu. Katanya, “Jangan kita bunuh dia.” Kata Ruben lagi kepada mereka, “Jangan tumpahkan darah. Lemparkan dia sahaja ke dalam perigi yang ada di gurun ini, tetapi jangan cederakan dia.” Maksudnya adalah untuk menyelamatkan Yusuf daripada penganiayaan mereka dan membawanya kembali kepada ayahnya. Maka setibanya Yusuf di tempat para saudaranya, mereka menanggalkan jubahnya, iaitu jubah indah berlengan panjang yang dipakainya itu, lalu membawa dia dan melemparkannya ke dalam sebuah perigi yang kosong, tidak berair.