KEJADIAN 37:12-36

KEJADIAN 37:12-36 Alkitab Berita Baik (BM)

Pada suatu hari saudara-saudara Yusuf pergi ke Sikhem untuk menggembala ternakan bapa mereka. Yakub berkata kepada Yusuf, “Pergilah ke Sikhem, tempat saudara-saudaramu menggembala ternakan kita.” Yusuf menjawab, “Baiklah, ayah.” Bapanya berkata, “Lihatlah bagaimana keadaan saudara-saudaramu dan ternakan itu; kemudian baliklah dan beritahulah aku.” Demikianlah Yakub menyuruh Yusuf pergi dari Lembah Hebron. Tidak lama kemudian Yusuf sampai di Sikhem. Semasa dia berjalan ke sana ke mari di padang, dia bertemu dengan seorang lelaki. Lelaki itu bertanya kepadanya, “Apakah yang kamu cari?” “Saya mencari saudara-saudara saya yang sedang menggembala ternakan,” jawab Yusuf. “Tolong beritahu saya di mana mereka berada.” Orang itu berkata, “Mereka sudah pergi dari sini. Saya mendengar mereka berkata hendak pergi ke Dotan.” Oleh itu Yusuf berangkat untuk menyusul saudara-saudaranya. Dia menjumpai mereka di Dotan. Dari jauh mereka nampak Yusuf, dan sebelum dia sampai kepada mereka, mereka berkomplot membunuh dia. Mereka berkata satu sama lain, “Itu dia si tukang mimpi datang. Marilah kita bunuh dia dan campakkan mayatnya ke dalam perigi yang kering. Nanti kita katakan dia diterkam oleh binatang buas. Kita lihatlah apa akan berlaku dengan mimpi-mimpinya itu.” Ruben mendengar rancangan mereka, lalu dia berusaha untuk menyelamatkan Yusuf. “Jangan bunuh dia,” katanya. “Campakkan dia ke dalam perigi di padang gurun ini, tetapi jangan cederakan dia.” Ruben berkata begitu kerana dia bermaksud menyelamatkan Yusuf dan menyuruh dia pulang kepada bapanya. Apabila Yusuf sampai kepada saudara-saudaranya, dengan kasar mereka menanggalkan jubah Yusuf yang sangat cantik itu. Kemudian mereka menyeret Yusuf dan mencampakkan dia ke dalam perigi yang kering. Ketika mereka sedang makan, tiba-tiba mereka nampak kafilah orang Ismael dari Gilead yang sedang dalam perjalanan ke Mesir. Unta-unta mereka mengangkut rempah-rempah dan damar. Yehuda berkata kepada saudara-saudaranya, “Apakah keuntungannya membunuh adik kita dan merahsiakan pembunuhan itu? Mari kita jual dia kepada orang Ismael itu. Tidak usah kita sakiti dia. Bagaimanapun dia tetap adik kita.” Saudara-saudaranya bersetuju. Apabila beberapa orang pedagang Midian lalu, Yusuf dikeluarkan oleh saudara-saudaranya dari perigi. Kemudian mereka menjual dia kepada orang Ismael itu dengan harga dua puluh keping wang perak. Yusuf dibawa oleh pedagang-pedagang itu ke Mesir. Apabila Ruben kembali ke perigi itu dan tidak menjumpai Yusuf di situ, dia mengoyakkan pakaiannya kerana sedih. Dia balik kepada saudara-saudaranya dan berkata, “Anak itu tiada lagi di situ! Apakah yang harus aku lakukan sekarang?” Kemudian mereka menyembelih seekor kambing dan mencelupkan jubah Yusuf ke dalam darah kambing itu. Mereka membawa jubah itu kepada bapa mereka dan berkata, “Kami menjumpai jubah ini. Adakah jubah ini kepunyaan anak ayah?” Yakub mengenali jubah itu, lalu berkata, “Benar, ini jubah anakku! Dia sudah diterkam binatang buas. Aduhai, anakku Yusuf sudah mati dicarik-carik binatang!” Yakub mengoyakkan pakaiannya kerana sedih lalu memakai kain guni. Dia meratapi anaknya itu berhari-hari lamanya. Semua anak Yakub, baik lelaki mahupun perempuan datang menghibur dia, tetapi dia tidak mahu dihibur. Yakub berkata, “Aku tidak akan berhenti berkabung bagi anakku sehingga aku mati.” Demikianlah dia terus-menerus berkabung bagi anaknya Yusuf. Sementara itu, di Mesir, orang Midian sudah menjual Yusuf kepada Potifar, seorang pegawai raja yang menjadi ketua pengawal istana.

KEJADIAN 37:12-36 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Ketika para saudara Yusuf pergi menggembala kawanan ternakan ayah mereka dekat Sikhem, berkatalah Israel kepada Yusuf, “Para saudaramu sedang menggembala kawanan ternakan dekat Sikhem, bukan? Marilah, aku mahu menyuruh kamu pergi menemui mereka.” Jawab Yusuf, “Ya, ayah.” Lalu dia berpesan kepada Yusuf, “Pergi dan lihatlah sama ada para saudaramu serta seluruh kawanan ternakan dalam keadaan baik. Setelah itu, kembalilah dan khabarkan kepadaku.” Lalu dia menyuruh Yusuf pergi melalui Lembah Hebron. Yusuf pun sampai di Sikhem. Dia berjalan ke sana ke mari di padang, lalu bertemu dengan seorang lelaki. Tanya orang itu kepadanya, “Apakah yang kamu cari?” Jawabnya, “Aku mencari para saudaraku. Tolong beritahu aku, di mana mereka menggembala ternakan mereka.” Kata orang itu, “Mereka sudah berangkat dari sini, kerana kudengar mereka berkata, ‘Mari kita pergi ke Dotan.’ ” Maka pergilah Yusuf menyusul para saudaranya, lalu menemui mereka di Dotan. Para saudaranya melihat dia dari jauh. Tetapi sebelum Yusuf tiba dekat mereka, bermuafakatlah mereka untuk membunuhnya. Kata mereka sesama sendiri, “Lihat, si tukang mimpi itu datang! Sekarang, mari kita bunuh dia dan kita humban mayatnya ke dalam salah sebuah perigi di sini. Kita katakan sahaja bahawa dia dimakan oleh binatang buas. Nanti kita lihat, apa yang akan terjadi dengan segala mimpinya itu!” Tetapi ketika Ruben mendengar hal itu, dia berusaha menyelamatkan Yusuf daripada perbuatan tangan mereka itu. Katanya, “Jangan kita bunuh dia.” Kata Ruben lagi kepada mereka, “Jangan tumpahkan darah. Lemparkan dia sahaja ke dalam perigi yang ada di gurun ini, tetapi jangan cederakan dia.” Maksudnya adalah untuk menyelamatkan Yusuf daripada penganiayaan mereka dan membawanya kembali kepada ayahnya. Maka setibanya Yusuf di tempat para saudaranya, mereka menanggalkan jubahnya, iaitu jubah indah berlengan panjang yang dipakainya itu, lalu membawa dia dan melemparkannya ke dalam sebuah perigi yang kosong, tidak berair. Setelah itu, mereka pun duduk untuk makan roti. Ketika mendongak, mereka terlihat ada sebuah kafilah bani Ismael yang datang dari Gilead. Unta mereka sarat dengan muatan rempah-ratus, balsam, dan damar wangi untuk dibawa ke Mesir. Lalu berkatalah Yehuda kepada para saudaranya, “Apa untungnya kita membunuh adik kita dan menyembunyikan darahnya? Mari kita jualkannya kepada bani Ismael ini. Jangan kita cederakan dia, kerana dia memang adik kita, darah daging kita.” Maka para saudaranya pun menyetujui kata-katanya. Ketika para saudagar Midian itu tiba berdekatan mereka, Yusuf ditarik dan diangkat keluar dari dalam perigi, lalu dijual kepada bani Ismael itu dengan harga dua puluh keping perak. Maka kumpulan orang itu pun membawa Yusuf ke Mesir. Ketika Ruben kembali ke perigi itu, dilihatnya Yusuf sudah tiada di dalam perigi. Maka dia pun mengoyakkan pakaiannya. Dia kembali kepada para saudaranya dan berkata, “Budak itu tidak ada lagi! Ke manakah aku harus pergi sekarang?” Lalu mereka menyembelih seekor kambing jantan lalu mengambil jubah Yusuf dan mencelupkan jubah tersebut ke dalam darah kambing tadi. Setelah itu, mereka membawa jubah indah berlengan panjang itu kepada ayah mereka lalu berkata, “Kami menemukan jubah ini. Periksalah, adakah ini jubah anak Bapa atau bukan?” Yakub memeriksanya, lalu berkata, “Ini jubah anakku! Binatang buas menyerangnya! Pasti Yusuf telah dikoyak-koyakkan oleh binatang itu!” Lalu Yakub mengoyakkan pakaiannya dan mengenakan pakaian berkabung lalu diratapinya anaknya itu berhari-hari lamanya. Semua anaknya baik lelaki mahupun perempuan berusaha menghiburkannya, tetapi dia enggan dihiburkan. Katanya, “Tidak! Dengan meratap aku akan turun mendapatkan anakku di alam kubur.” Demikianlah Yusuf ditangisi oleh ayahnya. Sementara itu, di negeri Mesir Yusuf dijual oleh orang Midian itu kepada Potifar, seorang pegawai istana Firaun iaitu ketua pengawal diraja.