KEJADIAN 35:1-27
KEJADIAN 35:1-27 Alkitab Berita Baik (BM)
Pada suatu hari Allah berfirman kepada Yakub, “Akulah Allah yang menampakkan diri kepadamu ketika engkau lari daripada abangmu, Esau. Pergilah ke Betel dengan segera. Tinggallah di sana dan binalah sebuah mazbah bagi-Ku.” Kemudian Yakub berkata kepada keluarganya dan kepada semua orang yang ada bersama dengan dia, “Kita akan berangkat dari sini dan pergi ke Betel. Di sana aku akan membina sebuah mazbah bagi Allah yang telah menolong aku pada masa kesukaran, dan yang menyertai aku ke mana sahaja aku pergi. Buanglah patung dewa-dewa asing yang ada pada kamu; lakukanlah upacara penyucian diri dan pakailah pakaian yang bersih.” Maka mereka menyerahkan semua patung dewa asing yang ada pada mereka dan juga anting-anting yang dipakai mereka, kepada Yakub. Semua benda itu ditanam oleh Yakub di bawah pokok besar dekat kota Sikhem. Pada masa Yakub dan keluarganya berangkat, Allah meliputi penduduk kota-kota di sekitar mereka dengan rasa takut, sehingga mereka tidak mengejar Yakub dan keluarganya. Kemudian mereka sampai di tanah Kanaan, di kota Betel yang dahulu bernama Lus. Di situ Yakub membina sebuah mazbah dan menamakan tempat itu Allah Betel, kerana Allah telah menampakkan diri kepadanya di situ ketika dia lari daripada abangnya. Debora, inang pengasuh Ribka, meninggal di tempat itu. Dia dikuburkan di bawah pokok besar di sebelah selatan kota itu. Itulah sebabnya pokok itu dinamakan “Pokok Besar Tangisan”. Selepas Yakub kembali dari Mesopotamia, Allah menampakkan diri lagi kepadanya dan memberkatinya. Allah berfirman kepadanya, “Namamu Yakub, tetapi mulai sekarang engkau akan disebut Israel.” Demikianlah Allah menamakan dia Israel. Allah berfirman lagi, “Akulah Allah yang Maha Kuasa. Hendaklah engkau mempunyai anak cucu yang banyak! Keturunanmu akan menjadi bangsa-bangsa dan engkau akan menjadi nenek moyang raja-raja. Negeri yang Aku berikan kepada Abraham dan Ishak akan Kuberikan kepadamu dan keturunanmu.” Selepas itu Allah meninggalkan Yakub. Yakub menegakkan sebuah batu peringatan di tempat Allah berfirman kepadanya. Kemudian Yakub mentahbiskan batu itu dengan menuang wain dan minyak zaitun di atasnya. Yakub menamakan tempat itu Betel. Kemudian Yakub dan keluarganya meninggalkan Betel. Apabila mereka masih agak jauh dari Efrata, tibalah masanya bagi Rahel untuk bersalin, tetapi dia susah sekali melahirkan anak itu. Apabila kesakitannya memuncak, bidan berkata kepadanya, “Besarkan hatimu, Rahel, anakmu lelaki lagi.” Tetapi Rahel sudah mendekati akhir hayatnya, dan ketika dia hampir menghembuskan nafasnya yang terakhir, dia menamakan anak itu Ben-Oni, tetapi bapa anak itu menamakan dia Benyamin. Setelah Rahel meninggal, dia dikuburkan di pinggir jalan yang menuju ke Efrata, yang sekarang bernama Bethlehem. Yakub menegakkan sebuah batu peringatan di situ, dan sampai hari ini, kubur Rahel masih ditandai dengan batu itu. Kemudian Yakub meneruskan perjalanannya. Selepas melalui menara Eder, dia memasang khemahnya. Sementara mereka berada di tempat itu, Ruben berseketiduran dengan Bilha, gundik bapanya. Hal itu diketahui Yakub, lalu dia sangat marah. Yakub mempunyai dua belas orang anak lelaki. Anak Lea ialah Ruben (anak sulung Yakub), Simeon, Lewi, Yehuda, Isakhar, dan Zebulon. Anak Rahel ialah Yusuf dan Benyamin. Anak Bilha, hamba Rahel ialah Dan serta Naftali. Anak Zilpa, hamba Lea ialah Gad dan Asyer. Anak-anak itu dilahirkan di Mesopotamia. Yakub pergi menemui bapanya, Ishak, di tempat tinggalnya di Mamre, dekat Hebron. Dahulu Abraham datuknya, juga tinggal di sana.
KEJADIAN 35:1-27 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Allah berfirman kepada Yakub, “Bersiaplah, pergilah ke Betel dan tinggallah di sana. Di sana bangunkanlah sebuah mazbah untuk Allah, yang telah menampakkan diri kepadamu ketika kamu melarikan diri daripada Esau, abangmu.” Lalu Yakub berkata kepada seisi rumahnya dan kepada semua orang yang menyertainya, “Buanglah kesemua tuhan berhala bangsa asing yang ada dalam simpananmu. Sucikanlah dirimu dan tukarlah pakaianmu. Marilah kita bersiap-siap pergi ke Betel. Di sana aku akan mendirikan sebuah mazbah untuk Allah, yang mempedulikan aku ketika aku dalam kesusahan dan yang menyertai aku di jalan yang kutempuhi.” Maka mereka memberi Yakub kesemua tuhan berhala bangsa asing yang dimiliki mereka dan anting-anting yang ada di telinga mereka, dan Yakub menanam kesemuanya di bawah pokok oak yang tegak berdekatan dengan Sikhem. Kemudian mereka pun berangkat. Allah menyebabkan rasa takut melanda kota-kota yang ada di sekeliling mereka dan tiada yang memburu para anak Yakub itu. Maka Yakub bersama-sama semua anggota rombongannya itu tiba di Lus, iaitu Betel, di Tanah Kanaan. Dia pun mendirikan sebuah mazbah di situ lalu menamakan tempat itu, “El-Betel”, kerana di sanalah Allah menunjukkan diri kepadanya ketika dia melarikan diri daripada abangnya. Pada waktu itu Deborah, pengasuh Ribka, meninggal lalu dikuburkan di hilir Betel, di bawah sebuah pokok oak. Maka pokok itu dinamai Pokok Oak Tangisan. Setelah Yakub kembali dari Padan-Aram, Allah menampakkan diri lagi kepadanya dan memberkatinya. Firman Allah kepadanya, “Namamu Yakub, tetapi kamu tidak akan lagi disebut Yakub. Namamu akan menjadi Israel.” Maka Allah menamainya Israel. Firman Allah kepadanya pula, “Akulah Allah Yang Maha Kuasa. Beranakcuculah dan bertambah ramailah. Sebuah bangsa, bahkan sekumpulan bangsa akan berasal daripadamu, dan daripada keturunanmu akan muncul raja-raja. Negeri ini, yang Kukurniakan kepada Abraham dan Ishak, akan Kukurniakan kepadamu. Aku pun akan mengurniakan negeri ini kepada keturunanmu kelak.” Setelah itu, Allah meninggalkan Yakub di tempat Dia berfirman kepadanya. Lalu tepat di tempat Allah berfirman kepadanya itu Yakub mendirikan sebuah tugu batu. Dicurahkannya persembahan minuman di atasnya lalu dituangkannya minyak ke atasnya. Yakub menamai tempat itu Betel, tempat Allah telah berfirman kepadanya. Lalu berangkatlah mereka dari Betel. Ketika mereka tidak jauh lagi dari Efrata, tiba waktunya bagi Rahel untuk bersalin, dan dia merasa amat susah bersalin. Ketika dia mengalami kesukaran yang teruk, berkatalah bidan kepadanya, “Jangan takut, kerana kali ini pun kamu akan mendapat seorang anak lelaki.” Ketika dia hampir-hampir menghembuskan nafasnya yang terakhir, dinamainya anak itu Ben-Oni tetapi ayah bayi itu menamainya Benyamin. Maka Rahel meninggal dan dimakamkan di sisi jalan menuju Efrata, iaitu Betlehem. Di atas makamnya Yakub mendirikan sebuah nisan, dan nisan makam Rahel itu masih ada sampai hari ini. Kemudian Israel berangkat lagi. Didirikannya khemahnya di seberang Migdal-Eder. Ketika Israel tinggal di negeri itu, Ruben meniduri Bilha, gundik ayahnya, dan hal itu terdengar oleh Israel. Para anak lelaki Yakub semuanya berjumlah dua belas orang. Anak daripada Lea ialah Ruben, anak sulung Yakub, kemudian Simeon, Lewi, Yehuda, Isakhar, dan Zebulon. Anak daripada Rahel ialah Yusuf dan Benyamin. Anak daripada Bilha, hamba Rahel ialah Dan serta Naftali manakala anak-anak dari Zilpa, hamba Lea ialah Gad dan Asyer. Itulah anak-anak lelaki Yakub yang dilahirkan baginya di Padan-Aram. Akhirnya sampailah Yakub di tempat Ishak, ayahnya, iaitu di Mamre dekat Kiryat-Arba, iaitu Hebron, tempat Abraham dan Ishak tinggal sebagai pendatang.