KEJADIAN 35:1-15

KEJADIAN 35:1-15 Alkitab Berita Baik (BM)

Pada suatu hari Allah berfirman kepada Yakub, “Akulah Allah yang menampakkan diri kepadamu ketika engkau lari daripada abangmu, Esau. Pergilah ke Betel dengan segera. Tinggallah di sana dan binalah sebuah mazbah bagi-Ku.” Kemudian Yakub berkata kepada keluarganya dan kepada semua orang yang ada bersama dengan dia, “Kita akan berangkat dari sini dan pergi ke Betel. Di sana aku akan membina sebuah mazbah bagi Allah yang telah menolong aku pada masa kesukaran, dan yang menyertai aku ke mana sahaja aku pergi. Buanglah patung dewa-dewa asing yang ada pada kamu; lakukanlah upacara penyucian diri dan pakailah pakaian yang bersih.” Maka mereka menyerahkan semua patung dewa asing yang ada pada mereka dan juga anting-anting yang dipakai mereka, kepada Yakub. Semua benda itu ditanam oleh Yakub di bawah pokok besar dekat kota Sikhem. Pada masa Yakub dan keluarganya berangkat, Allah meliputi penduduk kota-kota di sekitar mereka dengan rasa takut, sehingga mereka tidak mengejar Yakub dan keluarganya. Kemudian mereka sampai di tanah Kanaan, di kota Betel yang dahulu bernama Lus. Di situ Yakub membina sebuah mazbah dan menamakan tempat itu Allah Betel, kerana Allah telah menampakkan diri kepadanya di situ ketika dia lari daripada abangnya. Debora, inang pengasuh Ribka, meninggal di tempat itu. Dia dikuburkan di bawah pokok besar di sebelah selatan kota itu. Itulah sebabnya pokok itu dinamakan “Pokok Besar Tangisan”. Selepas Yakub kembali dari Mesopotamia, Allah menampakkan diri lagi kepadanya dan memberkatinya. Allah berfirman kepadanya, “Namamu Yakub, tetapi mulai sekarang engkau akan disebut Israel.” Demikianlah Allah menamakan dia Israel. Allah berfirman lagi, “Akulah Allah yang Maha Kuasa. Hendaklah engkau mempunyai anak cucu yang banyak! Keturunanmu akan menjadi bangsa-bangsa dan engkau akan menjadi nenek moyang raja-raja. Negeri yang Aku berikan kepada Abraham dan Ishak akan Kuberikan kepadamu dan keturunanmu.” Selepas itu Allah meninggalkan Yakub. Yakub menegakkan sebuah batu peringatan di tempat Allah berfirman kepadanya. Kemudian Yakub mentahbiskan batu itu dengan menuang wain dan minyak zaitun di atasnya. Yakub menamakan tempat itu Betel.

KEJADIAN 35:1-15 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Allah berfirman kepada Yakub, “Bersiaplah, pergilah ke Betel dan tinggallah di sana. Di sana bangunkanlah sebuah mazbah untuk Allah, yang telah menampakkan diri kepadamu ketika kamu melarikan diri daripada Esau, abangmu.” Lalu Yakub berkata kepada seisi rumahnya dan kepada semua orang yang menyertainya, “Buanglah kesemua tuhan berhala bangsa asing yang ada dalam simpananmu. Sucikanlah dirimu dan tukarlah pakaianmu. Marilah kita bersiap-siap pergi ke Betel. Di sana aku akan mendirikan sebuah mazbah untuk Allah, yang mempedulikan aku ketika aku dalam kesusahan dan yang menyertai aku di jalan yang kutempuhi.” Maka mereka memberi Yakub kesemua tuhan berhala bangsa asing yang dimiliki mereka dan anting-anting yang ada di telinga mereka, dan Yakub menanam kesemuanya di bawah pokok oak yang tegak berdekatan dengan Sikhem. Kemudian mereka pun berangkat. Allah menyebabkan rasa takut melanda kota-kota yang ada di sekeliling mereka dan tiada yang memburu para anak Yakub itu. Maka Yakub bersama-sama semua anggota rombongannya itu tiba di Lus, iaitu Betel, di Tanah Kanaan. Dia pun mendirikan sebuah mazbah di situ lalu menamakan tempat itu, “El-Betel”, kerana di sanalah Allah menunjukkan diri kepadanya ketika dia melarikan diri daripada abangnya. Pada waktu itu Deborah, pengasuh Ribka, meninggal lalu dikuburkan di hilir Betel, di bawah sebuah pokok oak. Maka pokok itu dinamai Pokok Oak Tangisan. Setelah Yakub kembali dari Padan-Aram, Allah menampakkan diri lagi kepadanya dan memberkatinya. Firman Allah kepadanya, “Namamu Yakub, tetapi kamu tidak akan lagi disebut Yakub. Namamu akan menjadi Israel.” Maka Allah menamainya Israel. Firman Allah kepadanya pula, “Akulah Allah Yang Maha Kuasa. Beranakcuculah dan bertambah ramailah. Sebuah bangsa, bahkan sekumpulan bangsa akan berasal daripadamu, dan daripada keturunanmu akan muncul raja-raja. Negeri ini, yang Kukurniakan kepada Abraham dan Ishak, akan Kukurniakan kepadamu. Aku pun akan mengurniakan negeri ini kepada keturunanmu kelak.” Setelah itu, Allah meninggalkan Yakub di tempat Dia berfirman kepadanya. Lalu tepat di tempat Allah berfirman kepadanya itu Yakub mendirikan sebuah tugu batu. Dicurahkannya persembahan minuman di atasnya lalu dituangkannya minyak ke atasnya. Yakub menamai tempat itu Betel, tempat Allah telah berfirman kepadanya.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami