KEJADIAN 33:1-20

KEJADIAN 33:1-20 Alkitab Berita Baik (BM)

Yakub nampak Esau datang dengan empat ratus orang anak buahnya. Oleh sebab itu dia membahagikan anak-anaknya antara Lea, Rahel, dan kedua-dua orang gundiknya. Dia menempatkan dua orang gundiknya itu bersama dengan anak-anak mereka di hadapan sekali, kemudian Lea bersama dengan anak-anaknya, lalu Rahel dan Yusuf di belakang sekali. Yakub berjalan di hadapan mereka semua, dan sambil menghampiri abangnya, dia sujud sampai tujuh kali. Tetapi Esau berlari mendapatkan Yakub, lalu memeluk dan mencium dia. Kedua-dua mereka bertangis-tangisan. Ketika Esau nampak semua wanita dan anak-anak itu, dia bertanya, “Siapakah mereka yang ada bersama-samamu ini?” Yakub menjawab, “Mereka itu anak-anak yang dikurniakan Allah kepada saya.” Kemudian kedua-dua orang gundiknya maju dengan anak-anak mereka, lalu bersujud. Kemudian Lea serta anak-anaknya datang, dan akhir sekali Yusuf dan Rahel datang, lalu bersujud. Esau bertanya, “Apakah maksudmu dengan rombongan-rombongan yang saya jumpai tadi?” Yakub menjawab, “Untuk menyenangkan hati abang.” Tetapi Esau berkata, “Harta saya sudah cukup. Adik tidak perlu memberikan hadiah kepada saya.” Yakub berkata, “Jika saya menyenangkan hati abang, terimalah hadiah saya itu. Bagi saya, melihat wajah abang sama dengan melihat wajah Allah kerana abang begitu ramah kepada saya. Saya mohon, terimalah hadiah yang saya bawa itu. Allah sangat baik kepada saya dan memberikan segala sesuatu yang saya perlukan.” Yakub terus-menerus mendesaknya sampai akhirnya Esau menerima hadiah itu. Kemudian Esau berkata, “Marilah kita bersiap-siap untuk berangkat. Saya akan berjalan bersama-sama kamu.” Yakub menjawab, “Abang tahu bahawa anak-anak ini lemah, dan saya harus berhati-hati dengan semua ternakan yang sedang menyusui anak. Jika digiring dengan cepat-cepat, walaupun hanya satu hari, semua kawanan binatang itu akan mati. Berjalanlah lebih dahulu, lalu saya akan mengikut dengan perlahan-lahan. Saya akan berjalan secepat mungkin bersama dengan ternakan dan anak-anak saya, sampai dapat menyusul abang di Edom.” Esau berkata, “Jika begitu, baiklah saya tinggalkan beberapa orang anak buah saya dengan kamu.” Tetapi Yakub menjawab, “Tidak usahlah bersusah-susah. Saya hanya ingin menyenangkan hati abang.” Maka pada hari itu Esau berangkat kembali ke Edom. Tetapi Yakub pergi ke Sukot, lalu mendirikan rumahnya dan tempat berteduh bagi ternakannya. Itulah sebabnya tempat itu dinamakan Sukot. Dalam perjalanannya dari Mesopotamia, Yakub sampai di kota Sikhem di negeri Kanaan dengan selamat. Di situ dia memasang khemahnya di padang dekat kota. Padang tempat perkhemahannya itu dibelinya daripada orang keturunan Hamor, bapa Sikhem, dengan harga 100 keping wang perak. Kemudian dia membina sebuah mazbah di situ dan menamakannya “Allah Israel ialah Allah”.

KEJADIAN 33:1-20 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Ketika Yakub mendongak dia terlihat Esau datang dengan disertai oleh empat ratus orang lelaki. Lalu dia membahagikan anak-anaknya antara Lea dengan Rahel, serta kedua-dua hamba perempuan mereka. Dia menempatkan hamba-hamba perempuan itu dengan anak-anak mereka di depan, kemudian Lea dengan anak-anaknya, dan diikuti Rahel dengan Yusuf di belakang sekali. Yakub sendiri berjalan di depan mereka. Tujuh kali dia sujud memberi hormat sehingga tibalah dia dekat dengan abangnya. Tetapi Esau berlari mendapatkannya lalu memeluk Yakub dan merangkul lehernya serta menciumnya. Lalu bertangis-tangisanlah kedua-dua mereka. Ketika Esau mengangkat mukanya, dia terlihat kaum wanita serta kanak-kanak di hadapannya. Maka bertanyalah dia, “Siapakah semua orang yang menyertaimu ini?” Jawab Yakub, “Itulah kesemua anak yang telah Allah anugerahi kepada hambamu ini.” Lalu para hamba perempuan itu berserta anak-pinak masing-masing datang dekat dan sujud memberi hormat. Lea dan anak-anaknya pun turut mendekat lalu sujud memberi hormat. Setelah itu, Yusuf dan Rahel pula mendekati serta sujud memberi hormat. Bertanyalah Esau, “Apakah maksudmu dengan semua rombongan yang kutemui tadi?” Jawab Yakub, “Supaya tuanku berkenan kepada hamba.” Tetapi kata Esau, “Aku berkecukupan, adikku. Biarlah apa yang ada padamu tetap menjadi milikmu.” Kata Yakub, “Kuminta janganlah demikian. Jika tuan memang berkenan kepada hamba, terimalah persembahan daripada tangan hamba ini, kerana bagi hamba melihat wajah tuan sahaja rasanya seperti melihat wajah Allah. Tuan telah menyambut aku dengan baik. Kumohon terimalah pemberian yang dihantarkan kepada tuan itu, kerana Allah telah bermurah hati kepada hamba sehingga hamba mempunyai semua ini.” Dia bersungguh-sungguh meminta sedemikian hingga Esau pun sudi menerimanya. Kata Esau, “Ayuh kita meneruskan perjalanan ini. Biar aku berjalan mendahuluimu.” Tetapi kata Yakub kepadanya, “Tuanku maklum bahawa anak-anak ini masih lemah, apatah lagi kawanan ternakan yang ada pada hamba ada yang masih menyusu. Jika dipaksakan berjalan satu hari sahaja, maka kesemua haiwan itu akan mati. Jadi, biarlah tuan berjalan mendahului hambamu dan hamba akan maju perlahan-lahan menurut langkah ternakan yang ada di depan hamba serta langkah anak-anak, hingga hamba sampai kepada tuan di Seir.” Kata Esau, “Kalau begitu, biarlah kutinggalkan denganmu beberapa daripada orang yang menyertaiku.” Jawab Yakub, “Mengapakah harus demikian? Cukuplah bagi hamba jika tuanku berkenan pada hamba.” Maka pulanglah Esau pada hari itu juga menuju Seir. Sebaliknya, Yakub berangkat menuju Sukot di mana dia mendirikan sebuah rumah baginya serta petak-petak bagi ternakannya. Itulah sebabnya tempat itu dinamai Sukot. Setelah berjalan sekian lama dari Padan-Aram, sampailah Yakub dengan selamat di Kota Sikhem, di Tanah Kanaan, lalu didirikannya khemahnya berdekatan dengan kota itu. Kemudian dibelinya sebidang tanah berharga seratus keping wang perak daripada bani Hamor iaitu ayah Sikhem, yakni tempat dia mendirikan khemahnya. Lalu dia mendirikan sebuah mazbah di sana dan menamainya “El-Elohe Israel” iaitu “Allah Israel ialah Allah.”