KEJADIAN 32:9-12
KEJADIAN 32:9-12 Alkitab Berita Baik (BM)
Kemudian Yakub berdoa, “Ya Allah, yang disembah oleh datukku Abraham dan bapaku Ishak, dengarlah aku! TUHAN sudah menyuruh aku pulang ke negeriku dan sanak saudaraku. Engkau sudah berjanji mengatur segala sesuatu dengan baik bagiku. Aku tidak layak menerima segala kasih dan kesetiaan yang sudah Engkau tunjukkan kepadaku, hamba-Mu. Pada masa aku berangkat menyeberangi Sungai Yordan, aku tidak membawa apa-apa selain sebatang tongkat. Sekarang aku datang kembali bersama dengan dua kumpulan ini. Aku mohon, selamatkanlah aku daripada abangku, Esau. Aku takut jangan-jangan dia datang menyerang dan membinasakan kami semua, termasuk wanita serta anak-anak. Ingatlah bahawa Engkau sudah berjanji mengatur segala sesuatu dengan baik bagiku dan memberikan banyak keturunan kepadaku. Bilangan mereka akan sebanyak pasir di pantai, sehingga tiada seorang pun dapat menghitung mereka.”
KEJADIAN 32:9-12 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Berkatalah Yakub, “Ya Allah datukku Abraham dan Allah ayahku Ishak, ya TUHAN yang telah berfirman kepadaku, ‘Pulanglah ke negerimu, kepada sanak saudaramu, dan Aku akan berbuat baik kepadamu,’ aku tidak layak menerima sedikit pun daripada segala ihsan serta kasih setia yang telah Engkau tunjukkan kepada hamba-Mu ini, kerana hanya dengan tongkat ini aku menyeberangi Sungai Yordan ini dahulu, tetapi kini aku terbahagi menjadi dua buah rombongan. Namun demikian, lepaskanlah aku daripada tangan Esau, abangku, kerana aku takut kepadanya, jangan-jangan dia datang untuk menyerang aku serta para ibu dengan anak-anak mereka. Bukankah Engkau pernah berfirman, ‘Aku pasti berbuat baik kepadamu dan menjadikan keturunanmu tidak terhitung bagaikan pasir di laut banyaknya.’ ”