KEJADIAN 32:22-32

KEJADIAN 32:22-32 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Pada malam itu juga dia bangun lalu dibawanya kedua-dua isterinya dan kedua-dua hamba perempuannya bersama-sama sebelas orang anaknya menyeberang melalui tempat penyeberangan Sungai Yabok. Setelah membawa mereka ke seberang, dibawanya pula ke seberang segala harta bendanya. Maka tinggallah Yakub seorang diri lalu muncul seorang lelaki yang bergelut dengannya sehingga fajar menyingsing. Apabila lelaki itu melihat betapa dia tidak dapat mengalahkan Yakub, dipukulnyalah pangkal paha Yakub. Maka terseliuhlah pangkal paha Yakub bahana bergelut dengan lelaki itu. Lalu kata lelaki itu, “Biarkan aku pergi kerana fajar sudah mula menyingsing.” Tetapi jawab Yakub, “Aku tidak akan membiarkan kamu pergi sebelum kamu memberkati aku.” Lalu lelaki itu bertanya kepadanya, “Siapakah namamu?” Jawabnya, “Yakub.” Kata lelaki itu, “Kini namamu bukan lagi Yakub tetapi Israel, kerana kamu sudah berjaya bergelut dengan Allah dan dengan manusia.” Maka Yakub pun berkata, “Harap beritahulah namamu.” Jawabnya, “Mengapakah kamu menanyakan namaku?” Kemudian dia memberkati Yakub di situ. Yakub menamai tempat itu Peniel kerana katanya, “Aku telah bersemuka dengan Allah dan nyawaku terselamat.” Matahari sudah terbit ketika dia melalui Peniel, dan dia tempang kerana pangkal pahanya. Maka sampai hari ini orang Israel tidak makan urat pinggul yang ada pada pangkal paha binatang kerana Dia telah memukul pangkal paha Yakub pada urat pinggul itu.