KEJADIAN 32:22-30
KEJADIAN 32:22-30 Alkitab Berita Baik (BM)
Pada malam itu juga Yakub bangun lalu membawa dua orang isterinya, dua orang gundiknya dan sebelas orang anaknya, menyeberang Sungai Yabok. Setelah Yakub menyeberangkan mereka, dia kembali dan mengirim juga segala miliknya ke seberang. Tetapi dia tinggal di situ seorang diri. Kemudian datanglah seorang lelaki bergomol dengan Yakub sampai menjelang pagi. Apabila orang itu berasa tidak akan menang dalam pergomolan itu, dia memukul pinggul Yakub sehingga sendinya terkehel. Orang itu berkata, “Lepaskanlah aku; sebentar lagi matahari akan terbit.” Yakub menjawab, “Saya tidak akan melepaskan tuan, kecuali tuan memberkati saya.” “Siapa namamu?” tanya orang itu. “Yakub,” jawabnya. Orang itu berkata, “Namamu bukan Yakub lagi. Engkau telah bergomol dengan Allah serta manusia, dan engkau sudah menang; kerana itu sekarang namamu Israel.” Yakub berkata, “Sekarang beritahulah saya nama tuan.” Tetapi orang itu menjawab, “Tidak perlu engkau mengetahui namaku!” Kemudian dia memberkati Yakub. Yakub berkata, “Aku sudah bertemu muka dengan Allah dan aku masih hidup.” Oleh itu dia menamakan tempat itu Peniel.
KEJADIAN 32:22-30 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Pada malam itu juga dia bangun lalu dibawanya kedua-dua isterinya dan kedua-dua hamba perempuannya bersama-sama sebelas orang anaknya menyeberang melalui tempat penyeberangan Sungai Yabok. Setelah membawa mereka ke seberang, dibawanya pula ke seberang segala harta bendanya. Maka tinggallah Yakub seorang diri lalu muncul seorang lelaki yang bergelut dengannya sehingga fajar menyingsing. Apabila lelaki itu melihat betapa dia tidak dapat mengalahkan Yakub, dipukulnyalah pangkal paha Yakub. Maka terseliuhlah pangkal paha Yakub bahana bergelut dengan lelaki itu. Lalu kata lelaki itu, “Biarkan aku pergi kerana fajar sudah mula menyingsing.” Tetapi jawab Yakub, “Aku tidak akan membiarkan kamu pergi sebelum kamu memberkati aku.” Lalu lelaki itu bertanya kepadanya, “Siapakah namamu?” Jawabnya, “Yakub.” Kata lelaki itu, “Kini namamu bukan lagi Yakub tetapi Israel, kerana kamu sudah berjaya bergelut dengan Allah dan dengan manusia.” Maka Yakub pun berkata, “Harap beritahulah namamu.” Jawabnya, “Mengapakah kamu menanyakan namaku?” Kemudian dia memberkati Yakub di situ. Yakub menamai tempat itu Peniel kerana katanya, “Aku telah bersemuka dengan Allah dan nyawaku terselamat.”