KEJADIAN 3:8-13
KEJADIAN 3:8-13 Alkitab Berita Baik (BM)
Pada petang itu, mereka mendengar TUHAN Allah berjalan di taman, lalu mereka bersembunyi di antara pokok-pokok supaya tidak dapat dilihat-Nya. Tetapi TUHAN Allah memanggil lelaki itu, “Di manakah engkau?” Lelaki itu menjawab, “Aku mendengar Engkau di taman; aku takut, lalu aku bersembunyi kerana aku bertelanjang.” “Siapa yang memberitahukan bahawa engkau bertelanjang?” tanya Allah. “Adakah engkau makan buah yang terlarang itu? Aku sudah melarang engkau makan buah itu.” Lelaki itu menjawab, “Perempuan yang Engkau jadikan temanku memberikan buah itu kepadaku, lalu aku memakannya.” TUHAN Allah bertanya kepada perempuan itu, “Mengapa engkau melakukan hal itu?” Perempuan itu menjawab, “Ular menipu aku sehingga aku makan buah itu.”
KEJADIAN 3:8-13 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Terdengar kepada mereka suara TUHAN Allah yang berjalan di taman pada ketika hari dingin lalu manusia serta isterinya menyembunyikan diri dari hadirat TUHAN Allah di antara pokok di dalam taman. Tetapi TUHAN Allah memanggil manusia itu dan berfirman kepadanya, “Di manakah engkau?” Jawabnya, “Aku mendengar suara-Mu di taman lalu aku menjadi takut kerana aku dalam keadaan telanjang. Jadi aku pun bersembunyi.” Firman-Nya, “Siapakah yang memberitahumu bahawa kamu bertelanjang? Adakah kamu memakan buah daripada pokok yang telah Kularang kamu memakan buahnya?” Jawab manusia itu, “Perempuan yang Kautempatkan bersama-samaku itulah yang memberikan kepadaku buah daripada pokok itu, maka aku memakan buah itu.” TUHAN Allah berfirman kepada perempuan itu, “Apa yang telah kamu lakukan?” Jawab perempuan itu, “Ular itu menipu aku sehingga aku memakan buah itu.”