KEJADIAN 3:21-24
KEJADIAN 3:21-24 Alkitab Berita Baik (BM)
Kemudian TUHAN Allah membuat pakaian daripada kulit binatang untuk Adam dan isterinya, lalu mengenakan pakaian itu pada mereka. TUHAN Allah berfirman, “Sekarang manusia telah menjadi seperti Kita dan mempunyai pengetahuan tentang apa yang baik dan apa yang jahat. Oleh sebab itu manusia mesti dilarang makan buah daripada pokok yang memberi hidup, supaya manusia tidak hidup selama-lamanya.” Maka TUHAN Allah mengusir manusia itu keluar dari Taman Eden dan menyuruhnya mengusahakan tanah, yang daripadanya manusia dibentuk. Kemudian di sebelah timur taman itu, TUHAN Allah menempatkan kerub, dan sebilah pedang berapi yang berpusing ke segala arah, untuk mengawal jalan ke pokok yang memberi hidup. Dengan demikian seorang pun tidak dapat masuk dan menghampiri pokok itu.
KEJADIAN 3:21-24 Alkitab Versi Borneo (AVB)
TUHAN Allah membuat pakaian daripada kulit binatang untuk Adam serta isterinya itu, lalu memakaikannya kepada mereka. Kemudian TUHAN Allah berfirman, “Lihatlah, betapa manusia itu sudah menjadi seperti satu daripada Kita, yang tahu tentang perkara yang baik dan yang jahat. Haruslah dia dihindarkan daripada mengambil pula dengan tangannya daripada buah pokok hayat itu lalu memakannya, sehingga dia hidup untuk selama-lamanya.” Lalu TUHAN Allah menyuruh manusia itu keluar dari Taman Eden untuk mengerjakan tanah iaitu sumber jasadnya. Lalu Dia mengenyahkan manusia itu keluar, dan di sebelah timur Taman Eden ditempatkan-Nya dua malaikat kerubin serta sebilah pedang yang bernyala-nyala dan berputar ke segala arah untuk mengawal jalan menuju kepada pokok hayat itu.