KEJADIAN 28:10-22

KEJADIAN 28:10-22 Alkitab Berita Baik (BM)

Yakub meninggalkan Bersyeba dan menuju ke Haran. Pada waktu matahari terbenam, dia tiba di suatu tempat yang suci, lalu bermalam di situ. Dia berbaring untuk tidur, dan kepalanya berbantalkan batu. Kemudian dia bermimpi bahawa dia nampak sebuah tangga di bumi yang hujungnya sampai ke langit, dan malaikat-malaikat turun naik tangga itu. Kemudian dia nampak TUHAN berdiri di sampingnya dan berfirman, “Akulah TUHAN, Allah yang disembah Abraham dan Ishak. Aku akan menyerahkan tanah tempat engkau berbaring ini kepadamu dan keturunanmu. Mereka akan menjadi sebanyak debu di bumi. Mereka akan meluaskan wilayah ke semua arah dan melalui engkau serta keturunanmu, Aku akan memberkati semua bangsa di bumi. Ingatlah, Aku akan melindungi engkau dan menolongmu ke mana sahaja engkau pergi, lalu Aku akan membawa engkau kembali ke negeri ini. Aku tidak akan meninggalkan engkau sehingga Aku sudah melakukan segala sesuatu yang Kujanjikan kepadamu.” Kemudian Yakub bangun dan berkata, “TUHAN ada di sini, di tempat ini, tetapi baru sekarang aku mengetahuinya!” Yakub berasa takut lalu berkata, “Alangkah seramnya tempat ini! Tentulah ini rumah Allah, pintu gerbang syurga.” Pada keesokan hari, Yakub bangun pagi-pagi lagi. Dia mengambil batu yang digunakannya sebagai bantal, lalu menegakkan batu itu menjadi batu peringatan. Kemudian dia mencurahkan minyak zaitun ke atas batu itu untuk mentahbiskannya bagi TUHAN. Dia menamakan tempat itu Betel. (Dahulu nama tempat itu Lus.) Kemudian Yakub bersumpah kepada TUHAN, “Jika Engkau melindungi dan menolong aku sepanjang perjalananku, serta memberi aku makanan dan pakaian, sehingga aku kembali ke rumah bapaku dengan selamat, Engkau akan menjadi Allahku. Batu peringatan yang sudah aku tegakkan ini akan menjadi tempat Engkau disembah dan aku akan memberi Engkau sepersepuluh daripada segala sesuatu yang Engkau berikan kepadaku.”

KEJADIAN 28:10-22 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Yakub meninggalkan Bersyeba dan pergi ke Haran. Sampailah dia di suatu tempat dan lantaran matahari sudah terbenam, bermalamlah dia di situ. Dia mengambil sebuah batu yang berada di situ untuk dijadikan bantal lalu berbaringlah dia di situ. Dia pun bermimpi bahawa dia ternampak sebuah tangga yang terdiri di bumi dengan bahagian puncaknya sampai ke langit. Para malaikat Allah turun naik di tangga itu. Tampak pula TUHAN berdiri di sisi Yakub dan berfirman, “Akulah TUHAN, Allah Abraham, datukmu, dan Allah Ishak. Tanah tempat kamu berbaring ini akan Kuberikan kepadamu dan kepada keturunanmu. Keturunanmu akan menjadi begitu ramai sebagaimana debu tanah, dan kamu akan berkembang ke barat, ke timur, ke utara, dan ke selatan. Melalui kamu dan melalui keturunanmu semua kaum bangsa di bumi akan memperoleh berkat. Sesungguhnya, Aku menyertai kamu dan akan menjaga kamu ke mana-mana pun kamu pergi. Aku akan membawa kamu kembali ke negeri ini, kerana Aku tidak akan meninggalkan kamu sampai Aku melaksanakan apa yang telah Kujanjikan kepadamu.” Lalu terjagalah Yakub dari tidurnya. Katanya, “Sesungguhnya, TUHAN hadir di tempat ini dan aku tidak mengetahuinya!” Dia menjadi takut lalu berkata, “Betapa menggerunkan tempat ini! Ini tidak lain daripada Rumah Allah! Dan ini pintu gerbang syurga!” Keesokan harinya Yakub bangun pagi-pagi. Dia mengambil batu yang dijadikan bantalnya lalu mendirikannya menjadi sebuah tugu dan menuangkan minyak ke atas tugu itu. Dia menamai tempat itu Betel; biarpun dahulunya kota itu bernama Lus. Kemudian Yakub pun bernazar, katanya, “Jika Allah menyertai aku dan menjaga aku di jalan yang kutempuhi ini, memberikan kepadaku makanan untuk dimakan dan pakaian untuk dipakai sehingga aku kembali dengan selamat ke rumah ayahku, maka TUHAN akan menjadi Allahku, dan batu yang kudirikan sebagai tugu ini akan menjadi rumah Allah. Aku akan mempersembahkan kepada-Mu sepersepuluh daripada segala sesuatu yang Kaukurniakan kepadaku.”

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami