KEJADIAN 27:1-40

KEJADIAN 27:1-40 Alkitab Berita Baik (BM)

Pada suatu hari, ketika Ishak sudah tua dan buta pula, dia memanggil Esau, anaknya yang sulung, lalu berkata kepadanya, “Hai anakku!” “Ya, ayah,” jawab Esau. Ishak berkata, “Engkau tahu bahawa aku sudah tua dan mungkin tidak hidup lama lagi. Ambillah busur dan anak panahmu; pergilah memburu seekor binatang di padang. Masaklah makanan lazat yang aku sukai, dan bawalah makanan itu kepadaku. Selepas aku memakannya, aku akan memberkati engkau sebelum aku meninggal.” Percakapan Ishak dengan Esau itu didengar oleh Ribka. Maka selepas Esau berangkat untuk pergi berburu, Ribka berkata kepada Yakub, “Aku baru saja mendengar bapamu berkata kepada Esau begini, ‘Berilah aku seekor binatang buruan dan masaklah makanan yang lazat untuk aku. Selepas aku memakannya, aku akan memberkati engkau di hadapan TUHAN, sebelum aku meninggal.’ ” Ribka berkata lagi, “Sekarang, hai anakku, dengarlah aku dan lakukanlah apa yang aku katakan ini. Pergilah ke tempat kawanan domba kita dan pilihlah dua ekor anak kambing yang gemuk supaya aku memasak makanan yang sangat disukai bapamu. Kemudian bawalah makanan itu kepadanya supaya dimakannya. Selepas itu dia akan memberkati engkau, sebelum dia meninggal.” Tetapi Yakub berkata kepada ibunya, “Mak tahu badan Esau berbulu, sedangkan badan saya tidak. Jangan-jangan ayah meraba badan saya dan tahu bahawa saya menipu dia; nanti dia tidak akan memberkati saya, sebaliknya mengutuk saya pula.” Ibunya menjawab, “Jangan khuatir, nak. Biar mak yang menanggung segala kutukannya. Buat saja apa yang mak katakan. Pergilah ambil kambing-kambing itu.” Maka Yakub pergi mengambil kambing. Dia membawa kambing-kambing itu kepada ibunya, lalu Ribka memasak makanan kesukaan Ishak. Selepas itu Ribka mengambil pakaian Esau yang terbaik, yang disimpannya di dalam khemah, lalu mengenakan pakaian itu pada Yakub. Dia menutupi lengan dan leher Yakub yang tidak berbulu dengan kulit kambing. Dia memberikan makanan yang lazat itu bersama dengan roti yang dibuatnya, kepada Yakub. Kemudian Yakub pergi kepada bapanya dan berkata, “Ayah!” “Ya”, jawab bapanya. “Siapakah engkau, Esau atau Yakub?” Yakub menjawab, “Saya Esau, anak sulung ayah; saya sudah melakukan suruhan ayah. Duduklah dan makanlah daging binatang buruan yang saya bawa ini supaya ayah dapat memberkati saya.” Ishak berkata, “Bagaimana engkau mendapatkannya dengan begitu cepat, hai anakku?” Jawab Yakub, “TUHAN, Allah yang disembah ayah telah menolong saya.” Ishak berkata kepada Yakub, “Mari dekat sedikit supaya aku dapat meraba engkau. Benarkah engkau ini Esau?” Yakub menghampiri bapanya. Bapanya meraba dia dan berkata, “Suaramu seperti suara Yakub, tetapi lenganmu seperti lengan Esau.” Ishak tidak mengenali Yakub kerana lengannya berbulu seperti lengan Esau. Ishak hampir memberkati Yakub, tetapi dia bertanya lagi, “Benarkah engkau ini Esau?” “Ya,” jawab Yakub. Ishak berkata, “Berilah aku daging itu. Selepas aku makan, aku akan memberkati engkau.” Yakub membawa makanan itu kepada bapanya, dan juga wain untuk diminum. Kemudian bapanya berkata kepadanya, “Marilah lebih dekat lagi kepadaku dan ciumlah aku, nak.” Ketika Yakub datang untuk mencium bapanya, Ishak menghidu pakaiannya, lalu memberkati dia. Ishak berkata, “Bau anakku seharum padang yang sudah diberkati TUHAN. Semoga TUHAN mengurniai engkau embun dari langit dan menjadikan ladang-ladangmu subur. Semoga Dia mengurniai engkau gandum dan wain yang berlimpah-limpah. Semoga bangsa-bangsa menjadi hambamu dan suku-suku takluk kepadamu. Semoga engkau menguasai semua saudara maramu, dan semoga keturunan ibumu sujud di hadapanmu. Terkutuklah semua orang yang mengutuk engkau, dan diberkatilah semua orang yang memberkati engkau.” Selepas Ishak memberkati Yakub, dan sebaik sahaja Yakub pergi, Esau abangnya, pulang dari berburu. Dia juga memasak makanan yang lazat dan membawa makanan itu kepada bapanya. Dia berkata, “Ayah, bangunlah, dan makanlah daging yang saya bawa untuk ayah, supaya ayah dapat memberkati saya.” “Siapakah engkau?” Ishak bertanya. Esau menjawab, “Esau, anak sulung ayah.” Seluruh tubuh Ishak gementar, lalu dia bertanya, “Jika begitu, siapakah yang sudah memburu binatang dan membawanya kepadaku tadi? Aku telah memakannya sebelum engkau tiba. Kemudian aku memberikan berkatku yang terakhir kepadanya, dan kini berkat itu menjadi miliknya selama-lamanya.” Apabila Esau mendengar hal itu, dia meraung-raung dengan penuh kepedihan, lalu berkata, “Berkatilah saya juga, ayah!” Ishak menjawab, “Adikmu sudah datang dan menipu aku. Dia sudah mengambil berkat yang sebetulnya hendak aku berikan kepadamu.” Esau berkata, “Inilah kali kedua dia menipu saya. Patutlah namanya Yakub. Dia sudah mengambil hak saya sebagai anak sulung, dan sekarang dia mengambil pula berkat yang sepatutnya untuk saya. Tidakkah ayah mempunyai berkat lain bagi saya?” Ishak menjawab, “Aku sudah menjadikan dia tuanmu, dan semua saudara maranya aku jadikan hambanya. Aku sudah memberikan gandum serta wain kepadanya. Sekarang tiada apa-apa lagi yang boleh aku lakukan untukmu, nak!” Esau terus-menerus merayu kepada bapanya, “Adakah ayah mempunyai satu berkat saja? Berkatilah saya juga, ayah!” Maka dia mula meraung-raung lagi. Kemudian Ishak berkata kepadanya, “Tiada embun dari langit bagimu, tiada ladang yang subur untukmu. Engkau akan hidup dengan pedangmu, tetapi menjadi hamba adikmu. Namun apabila engkau memberontak, engkau akan bebas daripada kuasanya.”

KEJADIAN 27:1-40 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Ketika Ishak sudah tua dan sudah kabur matanya sehingga tidak dapat melihat lagi, dia memanggil Esau, anak sulungnya. Katanya kepada Esau, “Anakku.” Jawabnya, “Ya ayah, aku ada di sini.” Kata Ishak, “Dengar, aku ini sudah tua. Aku tidak tahu bila hari kematianku. Sekarang, ambillah senjatamu, tabung panahmu dan busurmu. Pergilah ke padang dan dapatkan daging rusa untukku. Masakkan aku makanan yang sedap, seperti yang kugemari dan bawalah kepadaku agar aku boleh memakannya supaya kumohonkan berkat untukmu sebelum aku mati.” Ribka mendengar apa yang dikatakan Ishak kepada Esau, anaknya. Kemudian ketika Esau pergi ke padang memburu seekor binatang untuk dibawa pulang, berkatalah Ribka kepada Yakub, anaknya, “Ketahuilah, telah kudengar ayahmu berkata kepada Esau, abangmu. Katanya, ‘Bawalah daging rusa untukku dan buatkan bagiku makanan yang sedap agar dapat aku makannya dan mohon berkat bagimu di hadapan TUHAN sebelum aku mati.’ Maka sekarang, anakku, dengarlah kata-kataku dan lakukanlah apa yang kuperintahkan kepadamu. Pergilah ke tempat ternakan domba kita dan ambilkanlah aku dua ekor anak kambing yang baik dari sana. Aku akan mengolahnya menjadi makanan sedap kegemaran ayahmu. Kemudian kamu harus membawanya kepada ayahmu untuk dimakannya agar dia memohonkan berkat bagimu sebelum dia mati.” Kata Yakub kepada Ribka, ibunya, “Tetapi Esau abangku itu seorang yang berbulu, sedangkan aku berkulit licin. Jangan-jangan ayah akan meraba aku dan aku akan dianggapnya sebagai seorang penipu, sehingga aku malah mendatangkan kutukan dan bukannya berkat ke atas diriku.” Kata ibunya kepadanya, “Akulah yang menanggung kutukanmu itu, anakku. Dengarlah sahaja kata-kataku. Pergilah, dan bawakanlah aku anak kambing dua ekor itu.” Maka pergilah Yakub mengambil dua ekor anak kambing dan membawanya kepada ibunya. Lalu ibunya memasak makanan yang sedap kegemaran ayahnya. Setelah itu, Ribka mengambil pakaian terindah milik Esau, anak sulungnya, iaitu pakaian yang disimpannya di rumah, lalu memakaikannya kepada Yakub, anak bongsunya. Kemudian dibalutnya kedua-dua belah tangan Yakub serta bahagian lehernya yang licin dengan kulit anak kambing tadi. Selanjutnya diserahkannyalah makanan yang sedap dan roti yang telah dibuatnya itu kepada Yakub, anaknya. Yakub pun mendatangi ayahnya dan berkata, “Ayah.” Jawab Ishak, “Ya. Siapakah kamu, anakku?” Kata Yakub kepada ayahnya, “Aku Esau, anak ayah yang sulung. Aku sudah melakukan seperti yang ayah pesan kepadaku. Bangunlah dan duduklah, makanlah hasil buruanku, supaya ayah dapat memohonkan berkat untukku.” Kata Ishak kepada anaknya, “Bagaimanakah kamu mendapatkannya secepat itu, anakku?” Jawabnya, “Sebab TUHAN, Allahmu, membuat aku berhasil.” Lalu kata Ishak kepada Yakub, “Marilah dekat-dekat, anakku. Aku mahu merabamu, sama ada kamu ini anakku Esau atau bukan.” Yakub pun mendekati Ishak, ayahnya. Lalu Ishak merabanya dan berkata, “Suaranya suara Yakub, tetapi tangannya tangan Esau.” Ishak tidak mengenali dia kerana kedua-dua belah tangannya berbulu seperti tangan Esau, abangnya. Jadi, Ishak hendak memohonkan berkat baginya. Akan tetapi, dia masih bertanya, “Sungguhkah kamu ini anakku Esau?” Jawabnya, “Ya.” Kemudian kata Ishak, “Dekatkanlah hasil buruanmu itu kepadaku. Aku akan memakannya supaya kumohonkan berkat bagimu.” Yakub mendekatkan masakan itu kepada ayahnya, lalu Ishak memakannya. Yakub juga membawakan air anggur untuknya, lalu Ishak pun meminumnya. Setelah itu Ishak, ayahnya, berkata kepadanya, “Ke marilah dan ciumlah aku, anakku.” Yakub mendekati dan mencium ayahnya. Ishak mencium bau pakaiannya, lalu memohon berkat baginya, katanya, “Sesungguhnya, bau anakku ini seperti bau padang yang diberkati TUHAN. Kiranya Allah mengurniakan kepadamu embun dari langit, tempat-tempat yang subur di bumi, serta gandum dan air anggur yang berlimpahan. Semoga bangsa-bangsa takluk kepadamu, dan suku-suku bangsa tunduk kepadamu. Jadilah tuan atas saudara-saudaramu, dan semoga anak-anak ibumu tunduk kepadamu. Terkutuklah orang yang mengutuk kamu, dan diberkatilah orang yang memberkatimu.” Setelah Ishak selesai memohonkan berkat bagi Yakub, dan baru sahaja Yakub keluar meninggalkan Ishak ayahnya, datanglah Esau abangnya daripada berburu. Dia juga memasak makanan yang sedap, lalu membawanya kepada ayahnya. Katanya kepada ayahnya, “Mari, ayah, makanlah hasil buruan anakmu, supaya ayah memohonkan berkat bagiku.” Tanya Ishak, ayahnya, kepadanya, “Siapakah kamu?” Jawabnya, “Aku anakmu. Anak sulungmu, Esau.” Maka gementarlah Ishak kerana sangat terkejut. Katanya, “Siapakah gerangan dia, yang tadi mendapatkan daging rusa lalu membawanya kepadaku? Aku telah memakan semuanya sebelum kamu datang dan aku telah memohonkan berkat baginya. Ya, dialah orang yang diberkati!” Apabila Esau mendengar kata-kata ayahnya itu, dia menjerit dengan nyaring dan penuh kepiluan. Katanya kepada ayahnya, “Mohonkanlah berkat bagiku juga, ayah!” Kata ayahnya, “Adikmu mendatangi aku dengan tipu helah dan telah mengambil berkat yang menjadi bahagianmu.” Kata Esau, “Bukankah tepat dia dinamai Yakub? Dia telah memperdaya aku untuk kali keduanya. Dahulu hakku sebagai anak sulung diambilnya, dan lihatlah, sekarang diambilnya pula berkat yang menjadi bahagianku.” Katanya pula, “Tidakkah ayah menyimpan berkat lain untukku?” Jawab Ishak kepada Esau, “Sesungguhnya, telah kutetapkan dia menjadi tuanmu, dan semua saudaranya telah kuberikan kepadanya menjadi hambanya. Dengan gandum dan air anggur telah kutunjangi dia. Jadi, apa lagi yang dapat kulakukan untukmu, anakku?” Kata Esau kepada ayahnya, “Hanya satu berkat itukah yang ada padamu, ayah? Mohonkanlah berkat bagiku juga, ayah!” Lalu menangislah Esau dengan suara yang nyaring. Jawab Ishak, ayahnya, kepadanya, “Sesungguhnya, tempat tinggalmu akan jauh dari tempat-tempat subur di bumi dan jauh dari embun langit di atas. Kamu akan hidup dengan pedangmu, dan kamu akan menjadi hamba adikmu. Tetapi akan terjadi kelak, apabila kamu akan bebas daripada belenggu itu, kamu akan melepaskan kuknya daripada tengkukmu.”

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami