KEJADIAN 26:1-5
KEJADIAN 26:1-5 Alkitab Berita Baik (BM)
Kebuluran berlaku lagi di negeri itu seperti yang terjadi pada zaman Abraham. Kemudian Ishak pergi menghadap Raja Abimelekh, raja orang Filistin, di Gerar. Ishak berbuat begitu kerana TUHAN sudah menampakkan diri kepadanya dan berfirman, “Janganlah pergi ke Mesir; tinggallah di negeri ini, seperti yang sudah Kuperintahkan kepadamu. Tinggallah di sini dan Aku akan melindungi serta memberkati engkau. Seluruh wilayah ini akan Kuberikan kepadamu dan keturunanmu. Aku akan menepati perjanjian yang sudah Kubuat dengan Abraham, bapamu. Aku akan mengurniai engkau keturunan sebanyak bintang di langit dan Aku akan memberikan seluruh wilayah ini kepada mereka. Semua bangsa di dunia akan memohon supaya Aku memberkati mereka sebagaimana Aku sudah memberkati keturunanmu. Aku akan memberkati engkau kerana Abraham sudah mentaati Aku dan mematuhi segala hukum serta perintah-Ku.”
KEJADIAN 26:1-5 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Maka berlakulah bencana kebuluran di negeri itu, lain daripada kebuluran pertama yang menimpa pada zaman Abraham. Maka pergilah Ishak ke Gerar untuk menghadap Abimelekh, raja orang Filistin. Lalu TUHAN menampakkan diri kepadanya dan berfirman, “Jangan pergi ke Mesir. Tinggallah di negeri yang akan Kuberitahu kepadamu. Tinggallah sementara di negeri itu, maka Aku akan bersama-samamu dan memberkatimu, kerana kepadamu dan kepada keturunan kamulah akan Kukurniakan seluruh negeri itu. Aku akan memenuhi ikrar yang Kujanjikan kepada ayahmu, Abraham. Aku akan melipatgandakan berkali ganda keturunanmu sehingga ramainya seperti bintang di langit. Aku akan mengurniakan seluruh negeri ini kepada keturunanmu, dan melalui benihmu semua bangsa di bumi akan diberkati, kerana Abraham mematuhi firman-Ku serta berpegang teguh pada segala kewajipannya kepada-Ku, segala perintah-Ku, segala ketetapan-Ku, dan segala hukum-Ku.”