KEJADIAN 24:1-60
KEJADIAN 24:1-60 Alkitab Berita Baik (BM)
Abraham sudah tua dan dia diberkati TUHAN dalam segala hal. Pada suatu hari dia berkata kepada hambanya yang paling tua, yang mengurus segala harta bendanya, “Letakkanlah tanganmu di antara pangkal pahaku dan bersumpahlah. Bersumpahlah demi nama TUHAN, Allah yang menguasai langit dan bumi, bahawa kamu tidak akan mencari isteri untuk anakku Ishak, di kalangan orang di tanah Kanaan ini. Kamu harus kembali ke negeri tempat kelahiranku untuk mencari isteri baginya di kalangan saudara maraku.” Tetapi hambanya itu bertanya, “Bagaimanakah jika gadis itu enggan meninggalkan rumahnya untuk datang bersama saya ke negeri ini? Haruskah saya menghantar anak tuan itu kembali ke negeri asal tuan?” Abraham menjawab, “Jangan sekali-kali hantar anakku ke sana! TUHAN, Allah yang menguasai langit, sudah membawa aku ke sini dari rumah bapaku dan dari tanah saudara maraku. Dia sudah bersumpah kepadaku bahawa Dia akan memberikan tanah ini kepada keturunanku. Dia akan mengutus malaikat-Nya untuk menolongmu, supaya di sana kamu boleh mendapatkan seorang isteri untuk anakku. Jika gadis itu enggan mengikut kamu, maka kamu bebas daripada sumpah ini. Tetapi jangan hantar anakku ke sana walau apa pun yang terjadi.” Kemudian hamba itu meletakkan tangannya di antara pangkal paha Abraham, tuannya, lalu dia bersumpah untuk melakukan apa yang diminta oleh Abraham. Hamba yang mengurus harta benda Abraham itu, dengan sepuluh ekor unta yang mengangkut berbagai-bagai barang berharga daripada tuannya, berangkat ke kota tempat tinggal Nahor semasa hidupnya; tempat itu terletak di bahagian utara Mesopotamia. Apabila dia tiba di sana, dia menghentikan unta-unta itu supaya berehat dekat sebuah perigi di luar kota. Hari sudah petang, dan itulah waktunya para wanita datang ke perigi untuk menimba air. Kemudian hamba itu berdoa, “Ya TUHAN, Allah tuanku Abraham, tolonglah, supaya tugasku berjaya pada hari ini; tepatilah janji-Mu kepada tuanku Abraham. Lihatlah aku berdiri dekat perigi ini. Sebentar lagi gadis-gadis kota ini akan datang menimba air. Aku akan berkata kepada salah seorang daripada mereka, ‘Tolong turunkan buyungmu dan berilah aku minum.’ Jika dia menjawab, ‘Minumlah, dan unta-unta tuan juga akan saya beri minum,’ semoga dialah orang yang sudah Engkau pilih untuk hamba-Mu Ishak. Jika hal ini berlaku, aku akan tahu bahawa Engkau sudah menepati janji-Mu kepada tuanku Abraham.” Sebelum hamba itu selesai berdoa, Ribka tiba dengan membawa buyung air di atas bahunya. Dialah anak perempuan Betuel; ibu bapa Betuel ialah Nahor dan Milka. Nahor ialah abang Abraham. Ribka seorang gadis yang sangat cantik dan masih dara. Dia menuju ke perigi itu dan mengisi buyungnya, lalu balik. Hamba Abraham berlari untuk menemuinya lalu berkata, “Tolong, nak, berilah saya minum dari buyungmu.” Gadis itu berkata, “Minumlah, tuan,” lalu dengan cepat dia menurunkan buyung dari bahu, dan sambil memegang buyung dia memberi minum kepada hamba itu. Selepas hamba itu minum, gadis itu berkata, “Saya akan menimba air untuk unta-unta tuan juga, supaya semua binatang itu dapat minum sepuas-puasnya.” Kemudian dengan cepat dia menuang air dari buyungnya ke dalam tempat minum unta, lalu dia berlari balik ke perigi untuk mengambil lebih banyak air sehingga semua binatang itu puas minum. Sementara itu hamba Abraham masih memperhatikan gadis itu tanpa berkata sepatah pun. Dia ingin tahu sama ada TUHAN menjayakan dia untuk menjalankan tugasnya atau tidak. Setelah semua unta minum sepuas-puasnya, hamba Abraham mengambil perhiasan emas yang berharga lalu mengenakannya pada hidung gadis itu, dan menyarungkan dua gelang emas pada lengannya. Kemudian hamba itu berkata, “Tolong beritahukan saya siapa bapamu. Adakah tempat bermalam di rumahnya untuk saya dan semua orang saya?” “Bapa saya Betuel, anak Nahor dan Milka,” jawab gadis itu. “Di rumah kami ada tempat bermalam untuk tuan dan juga banyak jerami serta makanan ternak.” Kemudian hamba itu berlutut dan menyembah TUHAN. Dia berkata, “Pujilah TUHAN, Allah tuanku Abraham. TUHAN setia dan menepati janji-Nya kepada tuanku Abraham. Dia memimpin aku langsung kepada saudara mara tuanku.” Gadis itu berlari ke rumah ibunya dan menceritakan segala peristiwa itu. Ribka mempunyai seorang abang yang bernama Laban. Dia mendengar cerita adiknya tentang apa yang dikatakan hamba itu. Dia juga nampak perhiasan pada hidung adiknya dan gelang pada lengannya. Oleh itu Laban berlari ke luar rumah untuk menemui hamba Abraham yang masih berdiri dekat perigi bersama dengan unta-untanya. Laban berkata, “Tuan orang yang diberkati TUHAN! Janganlah tinggal di luar. Marilah ke rumah kami. Kami sudah menyediakan bilik untuk tuan dan juga tempat bagi unta-unta tuan.” Hamba itu mengikut dia lalu masuk ke dalam rumah. Laban menurunkan beban unta, lalu memberikan jerami dan makanan kepada unta-unta itu. Kemudian dia membawa air pembasuh kaki untuk hamba Abraham dan semua orangnya. Apabila makanan dihidangkan, hamba itu berkata, “Saya tidak akan makan sebelum menyampaikan pesan yang saya bawa.” Laban berkata, “Silakan, katakanlah.” Oleh itu hamba Abraham mulai bercakap, katanya, “Saya ini hamba Abraham. TUHAN sangat memberkati tuan saya dan menjadikan dia kaya raya. TUHAN sudah memberikan kawanan domba, kambing, lembu, unta, keldai, juga perak, emas, serta hamba lelaki, dan hamba perempuan kepadanya. Sara, isteri tuan saya, telah melahirkan seorang anak lelaki ketika umurnya sudah lanjut. Tuan saya sudah mewariskan segala hartanya kepada anaknya itu. Tuan saya menyuruh saya berjanji dengan sumpah supaya mentaati perintahnya. Katanya, ‘Janganlah pilih isteri untuk anakku di kalangan gadis-gadis di tanah Kanaan ini, melainkan di kalangan saudara mara puak bapaku. Pergilah ke sana dengan segera.’ Saya bertanya kepada tuan saya, ‘Bagaimana jika gadis itu enggan mengikut saya?’ Dia menjawab, ‘TUHAN yang sentiasa kutaati akan mengutus malaikat-Nya untuk menolongmu supaya tugasmu berjaya. Kamu akan mendapatkan isteri untuk anakku daripada puakku sendiri, antara saudara mara bapaku. Hanya apabila mereka tidak menerimamu, barulah kamu bebas daripada sumpahmu.’ Ketika saya tiba di perigi hari ini, saya berdoa, ‘Ya TUHAN, Allah tuanku Abraham, tolonglah supaya tugasku berjaya. Aku akan tetap berdiri dekat perigi ini. Apabila seorang gadis datang untuk menimba air, aku akan minta dia memberi aku minum dari buyungnya. Jika dia mahu melakukannya dan menawarkan diri untuk memberi minum kepada unta-untaku, maka dialah yang dipilih oleh TUHAN untuk menjadi isteri anak tuanku itu.’ Sebelum saya selesai berdoa di dalam hati, Ribka pun datang sambil membawa buyung di atas bahunya, lalu dia mengambil air dari perigi. Kemudian saya berkata kepadanya, ‘Tolong beri saya minum.’ Dengan cepat dia menurunkan buyung dari bahunya dan berkata, ‘Minumlah, dan unta-unta tuan juga akan saya beri minum.’ Lalu saya minum dan setelah itu unta-unta saya juga diberinya minum. Saya bertanya kepadanya, ‘Siapakah bapamu?’ Dia menjawab, ‘Bapa saya Betuel, anak Nahor dan Milka.’ Kemudian saya mengenakan perhiasan emas pada hidungnya dan menyarungkan sepasang gelang pada lengannya. Saya sujud menyembah dan memuji TUHAN, Allah tuan saya Abraham. Dia sudah memimpin saya langsung ke sini, kepada saudara mara tuan saya sehingga saya dapat menemui gadis ini bagi anaknya. Sekarang, jika saudara-saudara bersedia memperlakukan tuan saya dengan baik dan menunaikan tanggungjawab sebagai saudaranya, tolong beritahu saya, tetapi jika tidak, katakanlah juga, supaya saya tahu apa yang harus saya buat.” Laban dan Betuel menjawab, “Oleh sebab perkara ini datang daripada TUHAN, kami tidak patut membuat keputusan. Ini dia Ribka; biarlah dia ikut dengan saudara. Biarlah dia menjadi isteri anak tuan saudara itu, seperti yang difirmankan TUHAN sendiri.” Apabila hamba Abraham mendengar kata-kata itu, dia bersujud dan menyembah TUHAN. Selepas itu dia mengeluarkan pakaian, perhiasan perak dan emas, lalu memberikan semuanya kepada Ribka. Dia juga memberikan hadiah-hadiah yang mahal kepada abang dan ibu Ribka. Kemudian hamba Abraham dan semua orang yang bersama dengan dia makan dan minum, lalu bermalam di sana. Selepas mereka bangun esok paginya, hamba itu berkata, “Izinkanlah saya pulang kepada tuan saya.” Tetapi ibu dan abang Ribka berkata, “Biarlah Ribka tinggal bersama dengan kami selama seminggu ataupun sepuluh hari lagi, selepas itu bolehlah dia pergi.” Tetapi hamba itu berkata, “Janganlah tahan saya. TUHAN sudah membuat perjalanan saya berhasil; izinkanlah saya pulang kepada tuan saya.” Mereka menjawab, “Marilah kita panggil Ribka dan tanyakan pendapatnya.” Mereka memanggil Ribka dan bertanya, “Mahukah kamu ikut orang ini?” Gadis itu menjawab, “Ya, saya mahu.” Oleh itu mereka mengizinkan Ribka dan inang pengasuhnya pergi dengan hamba Abraham dan semua orangnya. Mereka memberkati Ribka dengan kata-kata ini, “Semoga kamu, Ribka, menjadi ibu kepada berjuta-juta orang. Semoga keturunanmu menaklukkan kota-kota musuh mereka.”
KEJADIAN 24:1-60 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Abraham sudah tua dan lanjut umurnya, dan TUHAN memberkati Abraham dalam segala hal. Pada suatu hari berkatalah Abraham kepada hambanya, hamba yang tertua dalam rumahnya dan yang diberi kuasa atas segala sesuatu yang dimilikinya, “Letakkanlah tanganmu di bawah pahaku. Aku meminta kamu bersumpah demi TUHAN, Allah semesta langit dan Allah semesta bumi, bahawa kamu tidak akan mengambil seorang isteri bagi anakku dalam kalangan anak perempuan Kanaan, sekalipun aku tinggal dalam kalangan mereka. Tetapi kamu harus pergi ke negeri asalku dan kepada sanak saudaraku untuk mengambil seorang isteri bagi Ishak, anakku.” Kata hambanya kepadanya, “Mungkin perempuan itu tidak mahu mengikut aku ke negeri ini. Jika demikian, bolehkah aku kembali untuk membawa anak tuan ke negeri tempat asal tuan itu?” Kata Abraham kepadanya, “Ingat, jangan kaubawa anakku kembali ke sana! TUHAN, Allah semesta langit, telah mengambil aku dari rumah ayahku serta dari tanah kelahiranku. Dia pun telah berfirman serta bersumpah kepadaku demikian, ‘Kepada keturunanmu Aku akan mengurniakan negeri ini.’ Maka tentunya Dia juga akan mengutus malaikat-Nya berjalan di depanmu, supaya kamu dapat mengambil seorang isteri bagi anakku dari sana. Akan tetapi, jika perempuan itu tidak mahu mengikut kamu, maka bebaslah kamu daripada sumpahmu kepadaku. Hanya, jangan kaubawa anakku kembali ke sana.” Kemudian, hamba itu meletakkan tangannya di bawah paha Abraham, tuannya, dan bersumpah kepadanya seperti yang dikehendaki oleh tuannya. Hamba itu mengambil sepuluh ekor unta daripada kawanan unta tuannya lalu pergi dengan membawa berbagai-bagai barang berharga milik tuannya. Dia berangkat ke Aram-Mesopotamia, ke kota Nahor. Di sana, dia menghentikan unta-untanya dekat sebuah perigi di luar kota pada waktu petang, waktu kaum perempuan keluar untuk menimba air. Lalu katanya, “Ya TUHAN, Allah tuanku Abraham, semoga aku berhasil pada hari ini dan tunjukkanlah kasih-Mu kepada tuanku, Abraham. Lihatlah, aku berdiri dekat mata air ini, dan anak-anak perempuan penduduk kota ini datang untuk menimba air. Kalau aku berkata kepada seorang gadis, ‘Tolong turunkan buyungmu dan beri aku minum,’ dan dia menjawab, ‘Minumlah, unta-untamu pun akan kuberi minum,’ maka dialah orang yang Engkau tentukan bagi hamba-Mu Ishak. Dengan cara itulah aku akan tahu bahawa Engkau telah menunjukkan kasih kepada tuanku.” Belum selesai dia berkata-kata, tiba-tiba datanglah Ribka dengan buyung di atas bahunya. Dia anak perempuan Betuel — Betuel ialah anak lelaki Milka, iaitu isteri Nahor, saudara Abraham. Gadis itu sangat cantik parasnya, seorang perawan, belum pernah disentuh lelaki. Dia turun ke mata air itu dan mengisi buyungnya, lalu naik lagi. Maka berlarilah hamba itu mendapatkannya dan berkata, “Tolong beri aku minum dari buyungmu itu, sedikit sahaja.” Jawabnya, “Minumlah, tuanku.” Dia segera menurunkan buyungnya ke tangannya lalu memberinya minum. Setelah selesai memberikan minum kepada hamba itu, berkatalah gadis itu, “Aku akan menimba air juga untuk unta-unta tuan sehingga semuanya puas minum.” Dengan segera dituangnya isi buyungnya ke dalam tempat minum ternak, kemudian berlari lagi ke perigi untuk menimba air bagi semua unta orang itu. Sambil memperhatikan gadis itu, orang itu berdiam diri untuk mengetahui sama ada TUHAN membuat perjalanannya berhasil atau tidak. Setelah unta-unta selesai minum, orang itu mengambil anting-anting emas seberat setengah syikal serta sepasang gelang tangan dari emas seberat sepuluh syikal. Lalu dia bertanya, “Anak siapakah kamu? Katakanlah kepadaku. Adakah tempat di rumah ayahmu untuk kami bermalam?” Jawab gadis itu kepadanya, “Aku ini anak Betuel. Betuel ialah anak yang dilahirkan Milka bagi Nahor.” Kata gadis itu pula kepadanya, “Jerami ataupun makanan ternak ada berlimpah-limpah pada kami. Tempat bermalam pun ada.” Maka sujudlah orang itu menyembah TUHAN. Katanya, “Segala puji bagi TUHAN, Allah tuanku Abraham. Tidak putus-putusnya kasih-Nya dan kesetiaan-Nya bagi tuanku. TUHAN telah memimpin aku ke rumah saudara-saudara tuanku.” Gadis itu pun berlari dan pergi memberitahu seisi rumah ibunya mengenai hal ini. Ribka mempunyai seorang saudara lelaki bernama Laban. Berlarilah Laban menuju mata air untuk menemui orang itu. Sejurus selepas Laban melihat anting-anting dan gelang di tangan saudaranya dan mendengar apa yang dikatakan Ribka, saudaranya, “Begitulah kata orang itu kepadaku,” dia pergi mendapatkan orang itu, yang sedang berdiri di tepi unta-untanya dekat mata air. Kata Laban, “Marilah, wahai kamu yang diberkati TUHAN. Mengapakah kamu berdiri di luar? Rumah sudah kusiapkan, juga tempat untuk unta-unta ini.” Maka masuklah orang itu ke dalam rumah, kemudian muatan unta-unta diturunkan, jerami serta makanan ternak diberikan kepada unta-unta itu, begitu pula air untuk membasuh kaki orang itu serta orang yang mengiringinya. Setelah itu, makanan dihidangkan di hadapan mereka. Akan tetapi, orang itu berkata, “Aku tidak mahu makan sebelum aku menyampaikan pesan yang kubawa.” Jawab Laban, “Sampaikanlah.” Berkatalah dia, “Aku ini hamba Abraham. TUHAN sangat memberkati tuanku itu sehingga dia menjadi kaya. TUHAN mengurniakan kepadanya kawanan domba, lembu, unta, dan keldai, juga emas dan perak, serta hamba-hamba lelaki dan perempuan. Sarah, isteri tuanku, melahirkan seorang anak lelaki pada masa tuanya bagi tuanku. Kepada anaknya itu tuanku memberikan segala sesuatu yang dimilikinya. Lalu tuanku menyuruh aku bersumpah, katanya, ‘Jangan kauambil seorang isteri bagi anakku daripada kalangan anak gadis warga Kanaan, yang negeri mereka kudiami ini. Tetapi kamu harus pergi kepada keluarga ayahku dan kepada kaumku untuk mengambil seorang isteri bagi anakku.’ Kataku kepada tuanku, ‘Mungkin perempuan itu tidak mahu mengikut aku.’ Katanya kepadaku, ‘TUHAN, yang di hadirat-Nya aku menjalani hidupku, akan mengutus malaikat-Nya menyertai kamu dan akan membuat perjalananmu berhasil, sehingga kamu dapat mengambil seorang isteri bagi anakku daripada kaumku dan daripada keluarga ayahku. Apabila kamu sampai kepada kaumku, kamu akan bebas daripada sumpahmu. Sekiranya mereka tidak memberikan perempuan itu kepadamu, kamu juga bebas daripada sumpahmu.’ Pada hari ini aku sampai ke mata air itu. Lalu aku berkata, ‘Ya TUHAN, Allah tuanku Abraham, berkenanlah membuat perjalanan yang kutempuh ini berhasil. Lihatlah, aku berdiri dekat mata air ini. Kalau ada seorang gadis keluar untuk menimba air, aku akan berkata kepadanya, “Tolong beri aku minum dari buyungmu itu, sedikit sahaja.” Jika kemudian dia berkata kepadaku, “Minumlah. Untuk unta-untamu pun akan kutimba air,” maka dialah perempuan yang TUHAN tentukan bagi anak tuanku.’ Belum selesai aku berkata-kata dalam hatiku, tiba-tiba datanglah Ribka dengan buyung di atas bahunya. Dia turun ke mata air lalu menimba air. Aku berkata kepadanya, ‘Tolong beri aku minum.’ Segera dia menurunkan buyungnya dari atas bahunya dan berkata, ‘Minumlah. Unta-unta tuan pun akan kuberi minum.’ Kemudian minumlah aku, dan unta-unta itu pun diberinya minum. Setelah itu, aku bertanya kepadanya, ‘Anak siapakah kamu?’ Jawabnya, ‘Anak Betuel. Betuel ialah anak Nahor, yang dilahirkan Milka.’ Aku pun mengenakan anting-anting pada hidungnya dan gelang pada tangannya. Lalu aku sujud menyembah TUHAN, serta memuji TUHAN, Allah tuanku Abraham. Dialah yang telah memimpin aku di jalan yang betul untuk mengambil anak perempuan saudara tuanku ini bagi anaknya. Sekarang, seandainya kamu hendak menunjukkan kasih dan kesetiaan kepada tuanku, katakanlah kepadaku, tetapi seandainya tidak, katakanlah juga kepadaku, supaya aku tahu sama ada aku harus berpaling ke kanan atau ke kiri.” Laban dan Betuel menjawab, “Semua ini berasal daripada TUHAN. Kami tidak dapat mengatakan kepadamu baik atau buruknya. Lihat, Ribka ada di hadapanmu. Bawalah dia pergi. Biarlah dia menjadi isteri anak tuanmu itu, seperti yang difirmankan TUHAN.” Begitu hamba Abraham itu mendengar kata-kata mereka, sujudlah dia menyembah TUHAN. Lalu hamba itu mengeluarkan perhiasan perak, perhiasan emas, serta pakaian-pakaian. Diberikannya semua itu kepada Ribka. Dia pun memberikan barang-barang berharga kepada saudara lelakinya serta ibunya. Setelah itu, dia dan orang yang berada bersama dengannya makan dan minum, serta bermalam di sana. Ketika mereka bangun pagi-pagi, berkatalah hamba itu, “Izinkanlah aku pulang kepada tuanku.” Akan tetapi, saudara lelaki Ribka serta ibunya berkata, “Biarkanlah anak perempuan ini tinggal dengan kami sekurang-kurangnya sepuluh hari lagi, kemudian bolehlah dia pergi.” Kata hamba itu kepada mereka, “Janganlah tahan aku. TUHAN sudah membuat perjalananku berhasil. Jadi, izinkanlah aku pulang kepada tuanku.” Jawab mereka, “Kami akan memanggil anak perempuan itu dan menanyainya.” Kemudian mereka memanggil Ribka dan bertanya kepadanya, “Mahukah kamu pergi bersama-sama orang ini?” Jawabnya, “Mahu.” Maka mereka pun mengizinkan Ribka, saudara perempuan mereka, berserta pengasuhnya, pergi bersama dengan hamba Abraham dan orangnya. Mereka memohonkan berkat bagi Ribka dan berkata kepadanya, “Saudara kami, semoga kamu menjadi berpuluh-puluh ribu dan semoga keturunanmu menakluki pintu-pintu gerbang orang yang membenci mereka.”