KEJADIAN 23:1-20

KEJADIAN 23:1-20 Alkitab Berita Baik (BM)

Ketika Sara berumur 127 tahun, dia meninggal di Hebron di tanah Kanaan. Abraham sedih dan meratapi kematian isterinya. Selepas itu Abraham meninggalkan jenazah isterinya lalu pergi kepada orang Het, penduduk negeri itu. Dia berkata, “Saya ini orang asing yang tinggal bersama dengan saudara-saudara; izinkanlah saya membeli sebidang tanah supaya saya dapat mengebumikan isteri saya.” Mereka menjawab, “Kami menghormati tuan sebagai pemimpin yang berkuasa di kalangan kami; oleh itu kebumikanlah isteri tuan di kubur yang terbaik yang ada pada kami. Kami semua berbesar hati untuk memberikan tanah perkuburan kepada tuan, supaya tuan dapat mengebumikan isteri tuan.” Kemudian Abraham bersujud di hadapan mereka, dan berkata, “Jika saudara-saudara rela saya mengebumikan isteri saya di sini, tolonglah minta daripada Efron anak Sohar, supaya dia menjualkan Gua Makhpela yang terletak di pinggir ladangnya, kepada saya. Suruhlah dia menjual tanah itu di sini, dengan disaksikan oleh saudara-saudara. Saya akan membayar harga penuhnya supaya tanah itu menjadi milik saya.” Pada masa itu Efron sendiri sedang duduk bersama dengan orang Het yang lain, di tempat perjumpaan di pintu gerbang kota. Dengan disaksikan oleh semua orang yang ada di situ, dia menjawab, “Bangsa saya sendiri menjadi saksi bahawa tanah itu serta guanya saya berikan kepada tuan, supaya tuan dapat mengebumikan isteri tuan.” Abraham bersujud di hadapan semua orang Het itu, dan sambil didengar oleh semua orang, dia berkata kepada Efron, “Mohon dengarkan saya. Saya ingin membeli seluruh tanah itu. Terimalah wang pembayarannya supaya saya dapat mengebumikan isteri saya di situ.” Efron menjawab, “Tuan, tanah itu hanya bernilai empat ratus keping wang perak. Apakah itu antara kita berdua? Kebumikanlah isteri tuan di situ.” Abraham bersetuju dengan harga itu. Lalu dia menimbang perak sejumlah yang disebut oleh Efron di hadapan orang Het, iaitu empat ratus keping wang perak, dengan timbangan yang digunakan oleh para saudagar. Demikianlah tanah milik Efron di Makhpela, di bahagian timur Mamre, menjadi milik Abraham. Tanah itu terdiri daripada ladang dan gua serta semua pokok di situ termasuk pokok-pokok yang ada di hujung tanah itu. Semua orang Het yang hadir dalam perjumpaan di pintu gerbang kota mengakui bahawa tanah itu sekarang milik Abraham. Kemudian Abraham mengebumikan isterinya, Sara, di dalam Gua Makhpela, di tanah Kanaan. Maka tanah dan gua di situ, yang dahulu kepunyaan orang Het, sekarang menjadi milik Abraham untuk dijadikan tanah perkuburan.

KEJADIAN 23:1-20 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Sarah hidup 127 tahun. Itulah tempoh hayat Sarah. Sarah meninggal di Kiryat-Arba, iaitu Hebron, di Tanah Kanaan. Lalu Abraham datang meratapi serta menangisi Sarah. Beberapa waktu kemudian Abraham bangkit dari sisi isterinya, yang telah meninggal itu, lalu berkata dengan bani Het. Katanya, “Aku ini seorang pendatang dan perantau antara kamu. Berilah kepadaku suatu tempat pemakaman dengan hak milik antara kamu, supaya aku dapat memakamkan isteriku, yang sudah meninggal.” Jawab bani Het kepada Abraham, “Tuanku, dengarlah kami. Tuan seorang pemimpin besar di tengah-tengah kami. Makamkanlah isteri tuan di dalam makam kami yang terpilih. Tidak akan ada seorang pun antara kami yang enggan memberikan tanah pemakaman miliknya untuk tuan memakamkan isteri tuan.” Maka Abraham bangun dan bersujud memberi hormat kepada bani Het, penduduk negeri itu. Dia berkata kepada mereka, “Jika hatimu ikhlas mengizinkan aku untuk memakamkan isteriku di sini, dengarlah. Minta kepada Efron anak Zohar atas namaku supaya dia memberikan kepadaku gua Makhpela miliknya, yang terletak di hujung ladangnya. Hendaklah dia memberikannya kepadaku dengan harga penuh sebagai suatu pemakaman hak milikku di tengah-tengah kamu.” Pada waktu itu Efron hadir di tengah-tengah bani Het. Lalu, dengan disaksikan oleh bani Het, iaitu semua orang yang datang ke pintu gerbang kotanya, Efron orang Het itu menjawab Abraham. Katanya, “Tidak, tuanku, dengarlah aku. Ladang itu kuberikan kepada tuan. Gua yang ada di dalamnya pun kuberikan kepada tuan. Di hadapan mata orang yang sebangsa denganku, aku memberikannya kepada tuan. Makamkanlah isteri tuan di sana.” Maka sujudlah Abraham memberi hormat kepada penduduk negeri itu. Disaksikan oleh penduduk negeri itu, berkatalah dia kepada Efron, “Jika kamu tidak keberatan, dengarlah aku. Aku akan membayar harga ladang itu. Terimalah wang daripadaku supaya aku akan memakamkan isteriku di sana.” Jawab Efron kepada Abraham, “Tuanku, dengarlah aku. Sebidang tanah seharga empat ratus syikal perak, apalah ertinya itu bagiku dan bagi tuan? Oleh sebab itu, makamkan sajalah isteri tuan di sana.” Abraham menuruti kata-kata Efron, lalu dia menimbang bagi Efron wang perak sebanyak yang telah disebutkannya di hadapan bani Het itu, iaitu empat ratus syikal perak, sama dengan timbangan yang digunakan oleh para saudagar. Demikianlah ladang Efron di Makhpela, di sebelah timur Mamre, iaitu ladang dan gua yang ada di dalamnya, serta semua pokok di ladang itu sampai sekeliling perbatasannya, ditetapkan sebagai milik Abraham di hadapan mata bani Het serta di hadapan semua orang yang datang ke pintu gerbang kota itu. Sesudah itu Abraham memakamkan Sarah isterinya dalam gua di ladang Makhpela, di sebelah timur Mamre, iaitu Hebron, di Tanah Kanaan. Demikianlah ladang itu dengan gua yang ada di dalamnya itu ditetapkan oleh bani Het bagi Abraham sebagai pemakaman hak miliknya.