KEJADIAN 22:1-3,6-12
KEJADIAN 22:1-3 Alkitab Berita Baik (BM)
Kemudian Allah menguji kesetiaan Abraham. Allah memanggil, “Abraham!” Lalu Abraham menjawab, “Ya, aku mendengar.” Allah berfirman, “Pergilah ke tanah Moria dengan Ishak, anakmu yang tunggal, yang sangat engkau kasihi. Di situ, di sebuah gunung yang akan Kutunjukkan kepadamu, persembahkanlah anakmu sebagai korban untuk menyenangkan hati-Ku.” Awal pagi esoknya, Abraham membelah-belah kayu yang akan digunakan untuk membakar korban dan mengikat kayu itu pada keldainya. Dia berangkat bersama-sama Ishak dan dua orang hambanya ke tempat yang sudah diberitahukan Allah.
KEJADIAN 22:6-12 Alkitab Berita Baik (BM)
Abraham menyuruh Ishak memikul kayu untuk korban yang dibakar, dan dia sendiri membawa sebilah pisau serta bara api untuk membakar kayu. Sedang mereka berjalan bersama-sama, Ishak berkata, “Ayah!” Abraham menjawab, “Ada apa, anakku?” Ishak bertanya, “Kita sudah membawa api dan kayu, tetapi di manakah anak domba untuk korban yang dibakar itu?” Abraham menjawab, “Allah sendiri akan menyediakan anak domba itu.” Mereka berdua meneruskan perjalanan. Apabila mereka tiba di tempat yang sudah diberitahukan Allah, Abraham membina sebuah mazbah dan menyusun kayu di atasnya. Lalu dia mengikat anaknya dan membaringkan dia di mazbah, di atas kayu yang disusun. Kemudian dia mengambil sebilah pisau untuk membunuh anaknya, tetapi dari langit malaikat TUHAN berseru kepadanya, “Abraham, Abraham!” Abraham menjawab, “Ya, Tuhan.” “Jangan sakiti anak itu, jangan lakukan apa-apa terhadapnya,” kata malaikat itu. “Sekarang Aku tahu bahawa engkau menghormati dan mentaati Aku, kerana engkau tidak enggan menyerahkan anakmu yang tunggal kepada-Ku.”
KEJADIAN 22:1-3 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Selepas pelbagai peristiwa itu, Allah menguji Abraham. Firman-Nya kepadanya, “Abraham.” Jawabnya, “Ya, aku ada di sini.” Firman-Nya, “Bawalah anakmu, anak tunggal yang kamu kasihi, iaitu Ishak, dan pergilah ke Tanah Moria. Persembahkanlah dia di sana sebagai korban bakaran, di atas salah sebuah gunung yang akan Kusebutkan kepadamu.” Abraham pun bangun pagi-pagi. Dia memasang pelana pada keldainya lalu mengajak dua orang hambanya untuk menyertainya, dan juga Ishak, anaknya. Dia membelah kayu untuk korban bakaran lalu segera berangkat menuju tempat yang disebutkan Allah kepadanya.
Kejadian 22:6-12 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Abraham mengambil kayu untuk korban bakaran dan menaruhnya pada bahu Ishak, anaknya. Dia sendiri membawa api dan sebilah pisau. Lalu berjalanlah kedua-duanya bersama-sama. Kata Ishak kepada Abraham, ayahnya, “Ayah!” Jawabnya, “Ya, anakku?” Kata Ishak, “Di sini ada api dan kayu api, tetapi di manakah anak domba untuk korban bakaran itu?” Jawab Abraham, “Allah sendirilah yang akan menyediakan bagi diri-Nya anak domba untuk korban bakaran itu, anakku.” Lalu berjalanlah kedua-duanya bersama-sama. Sesampainya mereka di tempat yang disebutkan Allah kepadanya, Abraham mendirikan sebuah mazbah, iaitu tempat pembakar korban. Dia mengatur kayu bakar, mengikat Ishak, anaknya, lalu meletakkannya di atas kayu api, di atas mazbah itu. Kemudian Abraham menghulurkan tangannya, mengambil pisau untuk menyembelih anaknya. Akan tetapi, malaikat TUHAN berseru kepadanya dari langit, “Abraham! Abraham!” Jawabnya, “Ya, aku ada di sini.” Firman-Nya, “Jangan mudaratkan anak itu dan jangan kamu apa-apakan dia, kerana sekarang Aku tahu bahawa kamu takut kepada Allah dan reda menyerahkan anakmu, anakmu yang tunggal itu, kepada-Ku.”