KEJADIAN 22:1-24

KEJADIAN 22:1-24 Alkitab Berita Baik (BM)

Kemudian Allah menguji kesetiaan Abraham. Allah memanggil, “Abraham!” Lalu Abraham menjawab, “Ya, aku mendengar.” Allah berfirman, “Pergilah ke tanah Moria dengan Ishak, anakmu yang tunggal, yang sangat engkau kasihi. Di situ, di sebuah gunung yang akan Kutunjukkan kepadamu, persembahkanlah anakmu sebagai korban untuk menyenangkan hati-Ku.” Awal pagi esoknya, Abraham membelah-belah kayu yang akan digunakan untuk membakar korban dan mengikat kayu itu pada keldainya. Dia berangkat bersama-sama Ishak dan dua orang hambanya ke tempat yang sudah diberitahukan Allah. Pada hari yang ketiga Abraham nampak tempat itu dari jauh. Kemudian dia berkata kepada hamba-hambanya, “Tinggallah di sini bersama dengan keldai ini. Aku dan anakku akan pergi ke sana untuk menyembah Tuhan; nanti kami balik kepada kamu.” Abraham menyuruh Ishak memikul kayu untuk korban yang dibakar, dan dia sendiri membawa sebilah pisau serta bara api untuk membakar kayu. Sedang mereka berjalan bersama-sama, Ishak berkata, “Ayah!” Abraham menjawab, “Ada apa, anakku?” Ishak bertanya, “Kita sudah membawa api dan kayu, tetapi di manakah anak domba untuk korban yang dibakar itu?” Abraham menjawab, “Allah sendiri akan menyediakan anak domba itu.” Mereka berdua meneruskan perjalanan. Apabila mereka tiba di tempat yang sudah diberitahukan Allah, Abraham membina sebuah mazbah dan menyusun kayu di atasnya. Lalu dia mengikat anaknya dan membaringkan dia di mazbah, di atas kayu yang disusun. Kemudian dia mengambil sebilah pisau untuk membunuh anaknya, tetapi dari langit malaikat TUHAN berseru kepadanya, “Abraham, Abraham!” Abraham menjawab, “Ya, Tuhan.” “Jangan sakiti anak itu, jangan lakukan apa-apa terhadapnya,” kata malaikat itu. “Sekarang Aku tahu bahawa engkau menghormati dan mentaati Aku, kerana engkau tidak enggan menyerahkan anakmu yang tunggal kepada-Ku.” Abraham memandang di sekelilingnya, lalu nampak seekor domba jantan yang tanduknya tersangkut pada belukar. Abraham mengambil domba itu, lalu mempersembahkannya kepada TUHAN sebagai korban untuk menyenangkan hati TUHAN, bagi menggantikan anak lelakinya. Abraham menamakan tempat itu “TUHAN Menyediakan Apa Yang Diperlukan.” Sampai sekarang pun orang berkata, “Di atas gunung-Nya TUHAN menyediakan apa yang diperlukan.” Sekali lagi, dari langit malaikat TUHAN berseru kepada Abraham, “TUHAN berfirman: Aku bersumpah demi nama-Ku sendiri; kerana engkau sudah melakukan hal ini dan tidak enggan menyerahkan anakmu yang tunggal kepada-Ku, Aku berjanji akan memberkati engkau dengan berlimpah-limpah dan menjadikan keturunanmu sebanyak bintang di langit serta sebanyak pasir di pantai laut. Keturunanmu akan mengalahkan musuh mereka. Semua bangsa di dunia akan memohon kepada-Ku supaya Aku memberkati mereka sebagaimana Aku telah memberkati keturunanmu, kerana engkau sudah mentaati perintah-Ku.” Selepas itu Abraham balik kepada hamba-hambanya, lalu mereka bersama-sama pergi ke Bersyeba; Abraham menetap di sana. Abraham mempunyai abang yang bernama Nahor. Selepas kejadian itu, Abraham mendengar bahawa Milka, isteri Nahor sudah mempunyai lapan orang anak lelaki: Us yang sulung; Bus adiknya; dan Kemuel yang kemudian menjadi bapa Aram; Kesed, Hazo, Pildas, Yidlaf, dan Betuel yang kemudian menjadi bapa Ribka. Nahor mempunyai gundik yang bernama Reuma; gundiknya itu melahirkan Tebah, Gaham, Tahas, dan Maakha.

KEJADIAN 22:1-24 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Selepas pelbagai peristiwa itu, Allah menguji Abraham. Firman-Nya kepadanya, “Abraham.” Jawabnya, “Ya, aku ada di sini.” Firman-Nya, “Bawalah anakmu, anak tunggal yang kamu kasihi, iaitu Ishak, dan pergilah ke Tanah Moria. Persembahkanlah dia di sana sebagai korban bakaran, di atas salah sebuah gunung yang akan Kusebutkan kepadamu.” Abraham pun bangun pagi-pagi. Dia memasang pelana pada keldainya lalu mengajak dua orang hambanya untuk menyertainya, dan juga Ishak, anaknya. Dia membelah kayu untuk korban bakaran lalu segera berangkat menuju tempat yang disebutkan Allah kepadanya. Pada hari ketiga, ketika Abraham melayangkan pandangannya, terlihatlah tempat itu dari jauh. Maka kata Abraham kepada hamba-hambanya, “Tinggallah di sini dengan keldai ini. Aku dan anak ini hendak pergi ke sana. Kami akan beribadat dan kemudian akan kembali lagi kepadamu.” Abraham mengambil kayu untuk korban bakaran dan menaruhnya pada bahu Ishak, anaknya. Dia sendiri membawa api dan sebilah pisau. Lalu berjalanlah kedua-duanya bersama-sama. Kata Ishak kepada Abraham, ayahnya, “Ayah!” Jawabnya, “Ya, anakku?” Kata Ishak, “Di sini ada api dan kayu api, tetapi di manakah anak domba untuk korban bakaran itu?” Jawab Abraham, “Allah sendirilah yang akan menyediakan bagi diri-Nya anak domba untuk korban bakaran itu, anakku.” Lalu berjalanlah kedua-duanya bersama-sama. Sesampainya mereka di tempat yang disebutkan Allah kepadanya, Abraham mendirikan sebuah mazbah, iaitu tempat pembakar korban. Dia mengatur kayu bakar, mengikat Ishak, anaknya, lalu meletakkannya di atas kayu api, di atas mazbah itu. Kemudian Abraham menghulurkan tangannya, mengambil pisau untuk menyembelih anaknya. Akan tetapi, malaikat TUHAN berseru kepadanya dari langit, “Abraham! Abraham!” Jawabnya, “Ya, aku ada di sini.” Firman-Nya, “Jangan mudaratkan anak itu dan jangan kamu apa-apakan dia, kerana sekarang Aku tahu bahawa kamu takut kepada Allah dan reda menyerahkan anakmu, anakmu yang tunggal itu, kepada-Ku.” Apabila Abraham mengangkat mukanya dan mengamati di sekelilingnya, nampaklah di belakangnya seekor domba jantan yang tanduknya tersangkut di dalam belukar. Abraham pergi mengambil domba jantan itu, lalu menjadikannya persembahan korban bakaran untuk menggantikan anaknya. Maka Abraham menamai tempat itu “TUHAN menyediakan.” Oleh sebab itu sehingga kini ini orang mengatakan, “Di atas gunung TUHAN, peruntukan akan disediakan.” Kemudian untuk kali keduanya, malaikat TUHAN berseru kepada Abraham dari langit, sabda-Nya, “Demi diri-Ku sendiri Aku bersumpah, demikianlah firman TUHAN, kerana kamu telah melakukan hal ini dan dengan reda menyerahkan kepada-Ku anakmu, anak tunggalmu itu, maka pastilah Aku memberkatimu dan pastilah Aku memperbanyak keturunanmu seperti bintang di langit dan seperti pasir di tepi laut. Keturunanmu akan menguasai segala pintu gerbang musuh mereka, dan melalui benihmu semua bangsa di bumi akan diberkati, kerana kamu telah mematuhi kata-kata-Ku.” Setelah itu, kembalilah Abraham kepada hamba-hambanya. Mereka pun bersiap-siap lalu pergi bersama-sama ke Bersyeba. Kemudian menetaplah Abraham di Bersyeba. Sesudah berbagai-bagai peristiwa itu, Abraham mendapat khabar demikian, “Ketahuilah, Milka pun telah melahirkan anak-anak lelaki bagi Nahor, saudara tuan. Us, anak yang sulung, kemudian Bus, adiknya, selanjutnya Kemuel (bapa Aram), Kesed, Hazo, Pildas, Yidlaf, dan Betuel.” Betuel mempunyai anak, iaitu Ribka. Kelapan-lapan orang ini dilahirkan Milka bagi Nahor, saudara Abraham. Selain itu, daripada gundik Nahor yang bernama Reuma lahir juga Tebah, Gaham, Tahas, dan Maakha.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami