KEJADIAN 21:9-19

KEJADIAN 21:9-19 Alkitab Berita Baik (BM)

Pada suatu hari Ismael, anak Abraham dan Hagar, perempuan Mesir itu, sedang bermain dengan Ishak, anak Sara. Sara nampak hal itu lalu berkata kepada Abraham, “Usirlah hamba perempuan ini bersama dengan anak lelakinya. Anak hamba perempuan ini tidak boleh mendapat bahagian daripada hartamu yang akan diwarisi anak lelakiku, Ishak.” Hal itu sangat menyusahkan hati Abraham kerana Ismael anaknya juga. Tetapi Allah berfirman kepada Abraham, “Janganlah bersusah hati kerana hambamu Hagar dan anaknya itu. Buatlah apa yang disuruh oleh Sara kepadamu kerana melalui Ishak, engkau akan mendapat keturunan yang sudah Aku janjikan itu. Aku juga akan mengurniakan banyak anak cucu kepada anak Hagar, supaya mereka menjadi suatu bangsa, kerana dia anakmu juga.” Awal pagi esoknya, Abraham memberikan makanan dan satu kirbat kulit berisi air kepada Hagar. Dia meletakkan budak itu pada belakang Hagar dan menyuruhnya pergi dari situ. Lalu Hagar berangkat dan mengembara di padang gurun Bersyeba. Apabila air di dalam kirbat sudah habis, Hagar meletakkan anaknya di bawah belukar, lalu pergi duduk kira-kira 100 meter dari tempat itu. Dia berkata dalam hati, “Aku tidak sanggup melihat anakku mati.” Lalu dia menangis. Allah mendengar suara Ismael dan dari langit malaikat Allah berkata kepada Hagar, “Apakah yang engkau susahkan, Hagar? Janganlah takut. Allah sudah mendengar tangisan anakmu. Pergilah kepada anakmu, angkatlah dan tenangkanlah dia. Aku akan menjadikan keturunannya suatu bangsa yang besar.” Kemudian Allah membuka mata Hagar sehingga dia nampak sebuah perigi. Oleh itu dia pergi mengisi kirbat itu dengan air, kemudian dia memberikan minuman kepada anaknya.

KEJADIAN 21:9-19 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Pada suatu hari, Sarah melihat anak yang dilahirkan Hagar, seorang perempuan Mesir, bagi Abraham, tertawa. Maka berkatalah Sarah kepada Abraham, “Usirlah hamba perempuan itu bersama-sama anaknya, kerana anak hamba perempuan ini tidak boleh menjadi ahli waris bersama-sama anakku, Ishak.” Hal itu sangat menyusahkan hati Abraham kerana Ismael juga anaknya. Tetapi Allah berfirman kepada Abraham, “Janganlah bersusah hati kerana anak itu dan hamba perempuanmu itu. Semua yang dikatakan Sarah kepadamu haruslah kamu dengar, kerana keturunan daripada Ishak yang akan disebut sebagai keturunanmu. Namun demikian, anak daripada hamba perempuan itu pun akan Kujadikan satu bangsa, kerana dia juga keturunanmu.” Keesokan harinya Abraham bangun pagi-pagi. Diambilnya roti serta sebuah kantung kulit berisi air, lalu diberikan kepada Hagar dengan meletakkannya pada bahunya. Anaknya juga diserahkan lalu disuruhnya perempuan itu pergi. Maka berjalanlah Hagar dan berkelana di Gurun Bersyeba. Apabila kehabisan air di dalam kantung kulit itu, Hagar merebahkan anaknya di bawah sepohon pokok renek. Lalu pergilah dia duduk agak jauh berseberangan dengan anak itu, kira-kira sejauh jarak tembakan panah, kerana katanya, “Semoga janganlah aku melihat anak itu mati.” Sambil duduk berhadapan dari jauh dengan anaknya itu, diangkatlah suaranya dan menangis dengan nyaring. Allah mendengar suara anak itu, lalu malaikat Allah memanggil Hagar dari langit. Sabda-Nya kepadanya, “Ada apa dengan kamu, Hagar? Jangan takut, kerana Allah mendengar suara anak itu dari tempat dia direbahkan itu. Bangkitlah, angkatlah anak itu, dan tuntunlah dia, kerana Aku akan menjadikannya satu bangsa yang besar.” Kemudian Allah membuka mata Hagar sehingga dia melihat sebuah perigi. Maka pergilah dia mengisi kantung kulitnya dengan air, lalu memberi anak itu minum.