KEJADIAN 21:22-34

KEJADIAN 21:22-34 Alkitab Berita Baik (BM)

Pada masa itu Raja Abimelekh dan Pikhol, panglima tenteranya, datang kepada Abraham dan berkata, “Allah menolong kamu dalam segala sesuatu yang kamu lakukan. Oleh itu bersumpahlah di sini, di hadapan Allah bahawa kamu tidak akan memperdayakan beta, anak-anak beta ataupun keturunan beta. Sebagaimana beta sudah berbaik hati kepadamu, berbuatlah begitu juga kepada beta dan kepada negeri tempat kamu tinggal.” Abraham berkata, “Baiklah, hamba bersumpah.” Tetapi kemudian Abraham bersungut kepada Raja Abimelekh tentang perigi yang sudah dirampas oleh hamba-hamba baginda. Raja Abimelekh bertitah, “Beta tidak tahu siapa yang sudah melakukan itu. Kamu belum memberitahu beta, dan inilah kali pertama beta mendengar tentang hal itu.” Kemudian Abraham memberikan beberapa ekor domba dan lembu kepada Raja Abimelekh, lalu mereka berdua membuat perjanjian. Abraham mengasingkan tujuh ekor anak domba daripada kawanan ternakannya, lalu Raja Abimelekh bertanya kepadanya, “Mengapa kamu melakukan hal itu?” Abraham menjawab, “Terimalah ketujuh-tujuh ekor anak domba ini sebagai tanda pengakuan raja bahawa hambalah yang menggali perigi ini.” Demikianlah tempat itu dinamakan Bersyeba, kerana di sanalah mereka berdua membuat satu perjanjian dengan sumpah. Setelah mereka membuat perjanjian di Bersyeba, Raja Abimelekh dan Pikhol kembali ke negeri orang Filistin. Kemudian Abraham menanam sebatang pokok di Bersyeba, lalu menyembah TUHAN, Allah yang abadi. Selepas itu Abraham tinggal lama di negeri orang Filistin.

KEJADIAN 21:22-34 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Pada waktu itu berkatalah Abimelekh dan Pikhol, panglima tenteranya, kepada Abraham, “Allah menyertai kamu dalam segala sesuatu yang kamu lakukan. Sekarang, bersumpahlah kepadaku di sini demi Allah bahawa kamu tidak akan bertindak curang terhadapku, terhadap anak-anakku, atau terhadap cucu-cicitku. Sebagaimana aku telah melayan kamu dengan baik, berlaku jugalah demikian terhadap aku dan terhadap negeri ini, tempat kamu tinggal sebagai pendatang.” Kata Abraham, “Aku bersumpah.” Kemudian Abraham merungut kepada Abimelekh fasal perigi yang dirampas oleh para hamba Abimelekh. Abimelekh menjawab, “Aku tidak tahu siapa yang melakukan hal itu. Apatah lagi, kamu tidak memberitahu fasal itu kepadaku. Belum pernah aku dengar fasalnya sehingga hari ini.” Maka Abraham mengambil beberapa ekor domba dan beberapa ekor lembu daripada ternakannya lalu memberikannya kepada Abimelekh dan dengan itu kedua-duanya mengikat perjanjian. Seterusnya Abraham mengasingkan tujuh ekor anak domba betina daripada ternakannya itu. Bertanyalah Abimelekh kepada Abraham, “Apakah maksudmu mengasingkan tujuh ekor anak domba betina ini?” Jawabnya, “Kamu hendaklah mengambil ketujuh-tujuh ekor anak domba betina ini daripada tanganku sebagai kesaksian bahawa akulah yang menggali perigi ini.” Maka itulah sebabnya tempat itu dinamai Bersyeba, kerana kedua-duanya telah mengangkat sumpah di sana. Setelah mereka mengikat perjanjian di Bersyeba, bersiaplah Abimelekh dan Pikhol, panglima tenteranya, lalu kembalilah mereka ke negeri orang Filistin. Abraham menanam sebatang pokok tamariska di Bersyeba, dan mengadakan sembah kepada TUHAN, Allah Yang Kekal. Tinggallah Abraham sebagai pendatang di negeri orang Filistin buat beberapa lama.