KEJADIAN 20:1-15

KEJADIAN 20:1-15 Alkitab Berita Baik (BM)

Abraham berpindah dari Mamre ke bahagian selatan Kanaan, lalu menetap di antara Kades dan Syur. Beberapa lama kemudian, semasa dia tinggal di Gerar, dia berkata bahawa isterinya Sara ialah adiknya. Oleh itu, Raja Abimelekh dari kota Gerar menyuruh utusannya membawa Sara kepadanya. Pada suatu malam Allah menampakkan diri kepada Raja Abimelekh dalam mimpi dan berfirman, “Engkau akan mati kerana engkau sudah mengambil wanita ini; dia sudah bersuami.” Tetapi Raja Abimelekh belum lagi menjamah wanita itu, lalu raja itu berkata, “Ya Tuhan, aku tidak bersalah! Adakah Tuhan akan membinasakan aku dan rakyatku? Abraham sendiri berkata bahawa wanita itu adiknya, dan wanita itu pun berkata bahawa Abraham abangnya. Aku melakukan hal ini dengan hati nurani yang bersih, kerana itu aku tidak bersalah.” Allah menjawab dalam mimpi itu, “Ya, Aku tahu bahawa engkau melakukannya dengan hati nurani yang bersih; oleh itu Aku sudah mencegah engkau daripada berdosa terhadap Aku dan tidak membiarkan engkau menjamah wanita itu. Tetapi sekarang, kembalikanlah wanita itu kepada suaminya. Suaminya seorang nabi, dan dia akan berdoa untukmu supaya engkau tidak mati. Tetapi jika engkau tidak mengembalikannya, ingat, engkau dan segenap rakyatmu akan mati.” Awal pagi esoknya Raja Abimelekh memanggil semua pegawainya dan memberitahu mereka segala kejadian itu. Mereka sangat ketakutan. Kemudian Raja Abimelekh memanggil Abraham dan bertanya, “Apakah yang sudah kamu lakukan terhadap kami? Apakah kesalahan yang sudah beta lakukan terhadapmu, yang menyebabkan kamu mendatangkan bencana ini kepada beta dan kerajaan beta? Tidak patut kamu berbuat demikian kepada beta. Mengapa kamu melakukannya?” Abraham menjawab, “Hamba berfikir bahawa di sini tiada sesiapa pun yang takut kepada Allah, sehingga hamba akan dibunuh oleh orang yang menginginkan isteri hamba. Sebenarnya, dia memang adik hamba. Kami satu bapa tetapi berlainan ibu; kemudian kami berkahwin. Oleh itu, apabila Allah menyuruh hamba keluar dari rumah bapa hamba, lalu mengembara ke negeri asing, hamba berkata kepada isteri hamba, ‘Tunjukkanlah kesetiaanmu kepadaku dengan berkata kepada setiap orang bahawa aku ini abangmu.’ ” Selepas itu Raja Abimelekh mengembalikan Sara kepada Abraham, dan pada masa itu juga dia memberikan hamba, domba, dan lembu kepada Abraham. Raja itu bertitah kepada Abraham, “Inilah seluruh negeri beta; tinggallah di mana saja kamu kehendaki.”

KEJADIAN 20:1-15 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Kemudian Abraham berangkat dari sana ke Tanah Negeb lalu menetap di antara Kadesh dengan Syur. Dia tinggal di Gerar sebagai pendatang. Tentang Sarah, isterinya, Abraham berkata, “Dia saudaraku.” Maka Abimelekh, raja Gerar, menyuruh orang menjemput Sarah. Akan tetapi, Allah muncul dalam suatu mimpi Abimelekh pada malam hari dan berfirman kepadanya, “Ketahuilah, kamu akan mati kerana perempuan yang kamu jemput itu, sebab dia sudah pun bersuami.” Pada waktu itu Abimelekh belum menghampiri Sarah. Maka katanya, “Ya Tuhan, akankah Engkau membunuh bangsa yang tidak bersalah? Bukankah orang itu sendiri berkata kepadaku, ‘Dia saudaraku’? Bahkan perempuan itu sendiri pun berkata, ‘Dia saudaraku.’ Jadi, dengan tulus hati dan dengan tangan yang suci aku melakukan hal ini.” Lalu firman Allah kepadanya dalam mimpi itu, “Aku tahu bahawa kamu melakukan hal itu dengan tulus hati. Itulah sebabnya Aku hendak mencegah kamu berbuat dosa terhadap Aku, dan sebabnya Aku tidak membiarkan kamu menyentuh perempuan itu. Sekarang, kembalikanlah isteri orang itu, kerana suaminya seorang nabi. Dia akan berdoa untukmu sehingga kamu akan tetap hidup. Tetapi jika kamu tidak mengembalikan perempuan itu, ketahuilah bahawa kamu dan semua orang yang ada denganmu sesungguhnya akan mati.” Keesokan harinya Abimelekh bangun pagi-pagi, lalu memanggil semua hambanya dan memberitahukan semua hal itu kepada mereka. Maka mereka menjadi sangat takut. Kemudian Abimelekh memanggil Abraham dan berkata kepadanya, “Apakah yang telah kaulakukan terhadap kami? Apakah dosaku kepadamu sehingga kamu mendatangkan dosa yang besar terhadap diriku dan terhadap kerajaanku? Kamu telah melakukan perbuatan yang tidak patut terhadapku.” Kata Abimelekh pula kepada Abraham, “Apakah maksudmu sehingga kamu berbuat demikian?” Jawab Abraham, “Aku menyangka bahawa di tempat ini sama sekali tidak ada orang yang takut kepada Allah, sehingga tentulah aku akan dibunuh kerana isteriku. Apatah lagi, memang dia saudaraku. Dia anak ayahku, tetapi dia cuma bukan anak ibuku, lalu dia menjadi isteriku. Jadi, ketika Allah menyuruh aku mengembara meninggalkan rumah ayahku, aku berkata kepadanya, ‘Nyatakanlah kasihmu kepadaku dengan cara ini: Di tempat mana-mana pun kita tiba, katakanlah bahawa aku saudaramu.’ ” Kemudian Abimelekh mengambil kawanan domba, kawanan lembu, serta hamba-hamba lelaki dan perempuan, dan memberikan semua itu kepada Abraham. Dia pun mengembalikan kepadanya Sarah, isteri Abraham itu. Kata Abimelekh, “Lihat, negeriku terbuka untukmu. Tinggallah di mana-mana sahaja kau suka.”