KEJADIAN 2:4-10
KEJADIAN 2:4-10 Alkitab Berita Baik (BM)
Demikianlah riwayat penciptaan alam semesta. Pada masa TUHAN Allah menciptakan alam semesta, belum ada benih yang bercambah dan belum ada tumbuh-tumbuhan di atas bumi, kerana Allah belum menurunkan hujan dan belum ada orang yang mengusahakan tanah, tetapi air keluar dari bawah permukaan bumi dan mengairi tanah. Kemudian TUHAN Allah mengambil sedikit tanah dan membentuk manusia, lalu menghembuskan nafas yang memberi hidup ke dalam lubang hidungnya; maka hiduplah manusia itu. Selanjutnya TUHAN Allah membuat taman di Eden, di sebelah timur, lalu menempatkan manusia yang sudah dibentuk-Nya itu di situ. Di taman itu TUHAN Allah menumbuhkan segala jenis pokok yang cantik, yang menghasilkan buah-buahan baik. Di tengah-tengah taman itu tumbuh juga pokok yang memberi hidup, dan pokok yang memberi pengetahuan tentang yang baik dan yang jahat. Sebatang sungai mengalir dari Eden dan mengairi taman itu; di luar Eden sungai itu terbahagi menjadi empat batang sungai.
KEJADIAN 2:4-10 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Demikianlah riwayat langit dan bumi ketika diciptakan. Pada masa TUHAN Allah menjadikan bumi dan langit belum ada rumpun semak dan belukar apa-apa pun di bumi, belum muncul tumbuh-tumbuhan apa-apa pun di padang, kerana TUHAN Allah, belum menurunkan hujan ke bumi, dan belum ada orang yang mengusahakan tanah itu, tetapi dari bumi ada kabus yang naik ke atas lantas membasahi seluruh permukaan bumi. Ketika itulah TUHAN Allah membentuk manusia daripada debu tanah dan menghembuskan nafas hidup ke dalam hidungnya lalu manusia menjadi makhluk yang hidup. Selanjutnya TUHAN Allah membuat taman di Eden, di sebelah timur dan di situlah Dia menempatkan manusia yang dibentuk-Nya itu. Lalu dari bumi itu TUHAN Allah menumbuhkan setiap jenis pokok. Ada yang menarik untuk dipandang dan yang baik untuk dimakan buahnya, termasuk juga pokok hayat di tengah-tengah taman itu serta pokok pengetahuan mengenai perkara yang baik dan yang jahat. Sebuah sungai mengalir dari Eden mengairi taman dan dari situ bercabanglah sungai itu menjadi empat batang sungai.