KEJADIAN 2:1-17

KEJADIAN 2:1-17 Alkitab Berita Baik (BM)

Dengan demikian selesailah penciptaan seluruh alam semesta. Pada hari yang ketujuh, Allah menyelesaikan pekerjaan-Nya, lalu Dia berehat. Allah memberkati hari yang ketujuh dan menjadikan hari itu sebagai hari istimewa, kerana pada hari itu Allah berehat setelah menyelesaikan pekerjaan-Nya. Demikianlah riwayat penciptaan alam semesta. Pada masa TUHAN Allah menciptakan alam semesta, belum ada benih yang bercambah dan belum ada tumbuh-tumbuhan di atas bumi, kerana Allah belum menurunkan hujan dan belum ada orang yang mengusahakan tanah, tetapi air keluar dari bawah permukaan bumi dan mengairi tanah. Kemudian TUHAN Allah mengambil sedikit tanah dan membentuk manusia, lalu menghembuskan nafas yang memberi hidup ke dalam lubang hidungnya; maka hiduplah manusia itu. Selanjutnya TUHAN Allah membuat taman di Eden, di sebelah timur, lalu menempatkan manusia yang sudah dibentuk-Nya itu di situ. Di taman itu TUHAN Allah menumbuhkan segala jenis pokok yang cantik, yang menghasilkan buah-buahan baik. Di tengah-tengah taman itu tumbuh juga pokok yang memberi hidup, dan pokok yang memberi pengetahuan tentang yang baik dan yang jahat. Sebatang sungai mengalir dari Eden dan mengairi taman itu; di luar Eden sungai itu terbahagi menjadi empat batang sungai. Sungai yang pertama bernama Pison, yang mengalir mengelilingi tanah Hawila. Di situ terdapat emas tulen, dan juga wangi-wangian yang sukar didapati, serta batu-batu permata. Sungai yang kedua bernama Gihon, yang mengalir mengelilingi tanah Kus. Sungai yang ketiga bernama Tigris, yang mengalir di sebelah timur Asyur. Sungai yang keempat bernama Efrat. Kemudian TUHAN Allah menempatkan manusia itu di Taman Eden untuk mengusahakan serta memelihara taman itu. Allah berfirman kepada manusia itu, “Engkau boleh makan buah-buahan daripada semua pokok di taman ini, kecuali buah daripada pokok yang memberi pengetahuan tentang yang baik dan yang jahat. Engkau tidak boleh makan buah pokok itu; jika engkau memakannya, engkau pasti mati pada hari itu juga.”

KEJADIAN 2:1-17 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Demikianlah diselesaikan penciptaan langit dan bumi serta segala isinya. Setelah Allah siap menyelesaikan kerja penciptaan-Nya pada hari ketujuh itu, Dia pun beristirahat daripada segala pekerjaan yang telah dibuat-Nya itu. Lalu Allah memberkati hari ketujuh itu dan menguduskannya, kerana pada hari itulah Dia beristirahat daripada segala kerja penciptaan yang telah dibuat-Nya itu. Demikianlah riwayat langit dan bumi ketika diciptakan. Pada masa TUHAN Allah menjadikan bumi dan langit belum ada rumpun semak dan belukar apa-apa pun di bumi, belum muncul tumbuh-tumbuhan apa-apa pun di padang, kerana TUHAN Allah, belum menurunkan hujan ke bumi, dan belum ada orang yang mengusahakan tanah itu, tetapi dari bumi ada kabus yang naik ke atas lantas membasahi seluruh permukaan bumi. Ketika itulah TUHAN Allah membentuk manusia daripada debu tanah dan menghembuskan nafas hidup ke dalam hidungnya lalu manusia menjadi makhluk yang hidup. Selanjutnya TUHAN Allah membuat taman di Eden, di sebelah timur dan di situlah Dia menempatkan manusia yang dibentuk-Nya itu. Lalu dari bumi itu TUHAN Allah menumbuhkan setiap jenis pokok. Ada yang menarik untuk dipandang dan yang baik untuk dimakan buahnya, termasuk juga pokok hayat di tengah-tengah taman itu serta pokok pengetahuan mengenai perkara yang baik dan yang jahat. Sebuah sungai mengalir dari Eden mengairi taman dan dari situ bercabanglah sungai itu menjadi empat batang sungai. Sungai yang pertama yang bernama Pison itu mengalir mengelilingi seluruh Tanah Hawila di mana terdapat emas. Emas di situ bermutu baik dan ada juga batu permata damar dan oniks. Sungai yang kedua yang bernama Gihon, mengalir mengelilingi seluruh Tanah Kush. Sungai ketiga yang bernama Tigris pula mengalir di sebelah timur Asyur. Sungai yang keempat ialah Efrat. TUHAN Allah mengambil manusia itu dan menempatkannya di dalam Taman Eden untuk mengerjakan serta memelihara taman itu. Lalu TUHAN Allah memberikan perintah kepada manusia itu, firman-Nya, “Engkau bebas memakan daripada kesemua pokok di dalam taman ini; tetapi jangan engkau makan daripada pokok pengetahuan tentang perkara yang baik dan yang jahat kerana pada hari engkau memakannya, engkau pasti mati.”