KEJADIAN 18:1-8
KEJADIAN 18:1-8 Alkitab Berita Baik (BM)
TUHAN menampakkan diri kepada Abraham dekat pokok-pokok keramat, tempat beribadat di Mamre. Pada masa itu, hari sangat panas dan Abraham sedang duduk di pintu khemahnya. Apabila dia menjenguk, dia nampak tiga orang berdiri di situ. Abraham segera berlari untuk menyambut mereka. Dengan bersujud, dia berkata, “Hai tuan-tuan, janganlah terus lalu tanpa singgah sebentar; perkenankanlah saya melayani tuan-tuan. Biarlah saya mengambil air untuk membasuh kaki tuan-tuan. Silakan tuan-tuan melepaskan lelah di bawah pokok ini. Saya akan menghidangkan makanan sekadarnya, supaya tuan-tuan mendapat tenaga untuk meneruskan perjalanan. Tuan-tuan sudah menghormati saya dengan sudi singgah di tempat kediaman saya ini.” Mereka menjawab, “Terima kasih kerana kebaikanmu. Kami akan singgah.” Abraham segera masuk ke dalam khemah dan berkata kepada Sara, “Cepat, ambillah tepung yang terbaik dan buatlah roti.” Kemudian Abraham berlari ke tempat kawanan ternakannya dan memilih seekor anak lembu yang muda dan gemuk. Dia memberikan anak lembu itu kepada orang suruhan, yang segera menyiapkannya. Selepas itu Abraham mengambil sedikit krim, sedikit susu, dan daging yang sudah dimasak, lalu menghidangkan semua itu kepada tetamunya. Semasa mereka makan, Abraham sendiri melayani mereka di bawah pokok.
KEJADIAN 18:1-8 Alkitab Versi Borneo (AVB)
TUHAN menampakkan diri kepada Abraham dekat pokok-pokok oak Mamre semasa dia duduk di pintu khemahnya sewaktu hari paling panas terik. Apabila dia mengangkat kepalanya kelihatan kepadanya tiga orang berdiri tidak begitu jauh daripadanya. Sebaik sahaja melihat mereka, berlarilah dia dari pintu khemahnya untuk mendapatkan mereka lalu sujud memberi hormat. Katanya, “Ya tuan, perkenankan hamba ini, janganlah kiranya tuan berlalu meninggalkan hambamu ini begitu sahaja. Air akan diambil agar tuan-tuan membasuh kaki dan berehat di bawah pokok ini. Izinkan hamba membawakan roti agar tuan-tuan dapat menyegarkan diri, kerana tuan-tuan sudah datang mengunjungi hamba. Setelah itu, barulah tuan-tuan meneruskan perjalanan.” Kata mereka, “Baik, lakukanlah seperti yang kaukatakan.” Abraham segera masuk ke dalam khemah mendapatkan Sarah dan berkata, “Cepat, ambillah tiga sukat tepung terbaik! Ulilah dan buatlah roti.” Kemudian Abraham berlari ke arah ternakan lembunya. Diambilnya seekor anak lembu yang tambun dan baik dagingnya lalu diserahkannya kepada hambanya, yang segera menyediakannya. Setelah itu, Abraham membawa dadih, air susu, dan anak lembu yang telah disediakan itu, lalu menyajikannya di hadapan para tetamunya itu. Sementara mereka makan, dia berdiri berdekatan dengan mereka di bawah pokok itu.