KEJADIAN 17:1-22
KEJADIAN 17:1-22 Alkitab Berita Baik (BM)
Ketika Abram berumur 99 tahun, TUHAN menampakkan diri kepadanya dan berfirman, “Akulah Allah Yang Maha Kuasa. Taatilah Aku dan lakukanlah kehendak-Ku selalu. Aku akan membuat perjanjian-Ku denganmu dan memberikan keturunan yang banyak kepadamu.” Abram bersujud, lalu Allah berfirman, “Inilah perjanjian yang Aku buat dengan engkau: Aku berjanji bahawa engkau akan menjadi nenek moyang banyak bangsa. Oleh itu namamu tidak lagi disebut Abram, melainkan Abraham, kerana Aku menjadikan engkau nenek moyang banyak bangsa. Aku akan memberikan banyak anak cucu kepadamu, dan ada antara mereka yang akan menjadi raja. Engkau akan mempunyai keturunan yang sangat banyak sehingga mereka menjadi bangsa-bangsa. Aku akan menepati janji-Ku kepadamu serta keturunanmu turun-temurun, dan perjanjian itu abadi. Aku akan menjadi Allahmu dan Allah keturunanmu. Aku akan memberikan tanah ini kepadamu dan keturunanmu; tanah yang sekarang engkau diami sebagai orang asing. Seluruh tanah Kanaan akan menjadi kepunyaan keturunanmu selama-lamanya, dan Aku akan menjadi Allah mereka.” Allah berfirman lagi kepada Abraham, “Engkau juga mesti bersetuju untuk setia kepada perjanjian itu, engkau dan keturunanmu turun-temurun. Engkau dan semua keturunanmu yang lelaki mesti disunat. Mulai hari ini engkau mesti menyunatkan setiap bayi lelaki apabila dia berumur lapan hari. Ini termasuk hamba yang lahir di dalam rumahmu dan hamba yang dibeli daripada bangsa asing. Sunat itu akan menjadi tanda perjanjian antara engkau dengan Aku. Tiap-tiap lelaki mesti disunat; sunat ini akan menjadi tanda jasmani yang menunjukkan bahawa perjanjian-Ku dengan engkau itu abadi. Setiap lelaki yang tidak disunat tidak dianggap anggota umat-Ku kerana dia tidak berpegang pada perjanjian itu.” Kemudian Allah berfirman kepada Abraham, “Jangan lagi panggil isterimu Sarai; mulai sekarang namanya Sara. Aku akan memberkati dia dan mengurniai engkau seorang anak lelaki yang akan dilahirkan oleh Sara. Aku akan memberkati Sara, dan dia akan menjadi ibu bangsa-bangsa. Di kalangan keturunannya akan ada raja-raja.” Abraham bersujud, tetapi dia tertawa ketika berfikir, “Mana mungkin seorang lelaki yang sudah berumur seratus tahun mendapat anak? Mana mungkin Sara melahirkan anak setelah berumur sembilan puluh tahun?” Oleh itu dia berkata kepada Allah, “Lebih baik Ismael saja yang menjadi warisku.” Tetapi Allah berfirman, “Tidak. Isterimu Sara akan melahirkan seorang anak lelaki untukmu dan engkau akan menamakan dia Ishak. Aku akan setia kepada perjanjian-Ku dengan anak itu dan dengan keturunannya selama-lamanya; perjanjian itu abadi. Aku sudah mendengar permintaanmu untuk Ismael. Oleh itu Aku akan memberkati dia dan memberi dia banyak anak dan keturunan. Dia akan menjadi nenek moyang dua belas ketua suku, dan Aku akan menjadikan keturunannya suatu bangsa yang besar. Tetapi Aku akan memegang perjanjian-Ku dengan anak lelakimu, Ishak, yang akan dilahirkan oleh Sara, kira-kira pada masa seperti ini tahun hadapan.” Setelah berfirman kepada Abraham, Allah pergi dari situ.
KEJADIAN 17:1-22 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Ketika Abram berusia 99 tahun, TUHAN menampakkan diri kepada Abram dan berfirman kepadanya, “Akulah Allah Yang Maha Kuasa, hiduplah tanpa bercela di hadapan-Ku. Aku akan mengesahkan perjanjian antara Aku dengan kamu, dan Aku akan menjadikan keturunanmu sebegitu ramai.” Maka sujudlah Abram. Lalu Allah berfirman kepadanya, “Daripada pihak-Ku, inilah perjanjian-Ku dengan kamu: Kamu akan menjadi bapa kepada beberapa banyak bangsa. Namamu bukan Abram lagi, kini namamu Abraham, kerana Aku akan menjadikan kamu bapa kepada beberapa banyak bangsa. Aku akan membuat kamu beranak cucu sangat banyak. Melalui kamu Aku akan menjadikan bangsa-bangsa, bahkan raja-raja akan muncul daripada keturunanmu. Aku akan mengesahkan perjanjian-Ku antara Aku dengan kamu serta keturunanmu kelak, turun-temurun, menjadi suatu perjanjian yang kekal, iaitu bahawa Aku akan menjadi Allah kepadamu dan kepada keturunanmu. Kepadamu dan kepada keturunanmu kelak akan Kuberikan negeri yang kini kamu tinggal sebagai pendatang, iaitu seluruh Tanah Kanaan yang akan menjadi milikmu yang kekal. Aku pun akan menjadi Allah mereka.” Firman Allah pula kepada Abraham, “Bagi pihakmu, kamu dan juga keturunanmu kelak turun-temurun mesti berpegang teguh pada perjanjian-Ku. Inilah perjanjian-Ku yang harus kamu pegang teguh, iaitu perjanjian antara Aku dengan kamu serta keturunanmu kelak: Setiap lelaki antara kamu harus disunatkan. Kulup iaitu kulit khatanmu mesti dikerat, dan itu akan menjadi tanda perjanjian antara Aku dengan kamu. Bagi kesemua keturunanmu, setiap anak lelaki berumur delapan hari mesti disunatkan, sama ada mereka yang dilahirkan di rumahmu atau yang dibeli daripada orang asing mana-mana pun yang bukan keturunanmu. Anak lelaki yang lahir di rumahmu ataupun yang dibeli dengan wang harus disunatkan. Demikianlah tanda peringatan perjanjian-Ku akan jelas kelihatan dan kekal pada tubuhmu. Lelaki yang tidak disunatkan, iaitu yang kulupnya tidak dikerat, perlu disingkirkan daripada suku bangsanya kerana dia gagal menyempurnakan kehendak perjanjian-Ku.” Selanjutnya Allah berfirman kepada Abraham, “Dalam hal Sarai, isterimu, jangan lagi kamu memanggilnya Sarai. Panggil dia Sarah. Itulah namanya. Aku akan memberkatinya, dan melalui dia juga Aku akan memberikan seorang anak lelaki kepadamu. Aku akan memberkatinya, dan dia akan menjadi ibu bagi bangsa-bangsa. Raja-raja pelbagai negeri akan muncul daripada keturunannya.” Maka sujudlah Abraham lalu tertawa dan berkata dalam hatinya, “Mungkinkah seorang anak lelaki dilahirkan daripada lelaki yang berumur seratus tahun? Mungkinkah Sarah, yang sudah berusia 90 tahun melahirkan anak?” Lalu berkatalah Abraham kepada Allah, “Semogalah Ismael diperkenankan hidup di hadapan-Mu!” Firman Allah, “Sesungguhnya Sarah, isterimu, akan melahirkan seorang anak lelaki bagimu. Namailah dia Ishak. Aku akan mengesahkan perjanjian-Ku dengannya untuk menjadi suatu perjanjian yang kekal bagi keturunannya. Tentang Ismael, Aku sudah mendengar permintaanmu. Sesungguhnya, Aku akan memberkatinya dan membuatnya beranak cucu serta melipatgandakannya dengan banyak sekali. Dia akan menjadi leluhur kepada dua belas pemimpin, dan Aku akan menjadikannya suatu bangsa yang besar. Namun demikian, perjanjian-Ku akan Kutetapkan dengan Ishak, yang akan dilahirkan Sarah bagimu pada waktu seperti ini pada tahun mendatang.” Setelah selesai berfirman kepada Abraham, Allah pun meninggalkannya.