KEJADIAN 16:1-14

KEJADIAN 16:1-14 Alkitab Berita Baik (BM)

Sarai, isteri Abram, masih belum mempunyai anak. Tetapi Sarai mempunyai seorang hamba dari Mesir, seorang gadis yang bernama Hagar. Sarai berkata kepada Abram, “TUHAN tidak membolehkan aku melahirkan anak. Oleh itu, tidurlah dengan hambaku ini. Mungkin dia dapat melahirkan seorang anak untukku.” Abram bersetuju dengan cadangan Sarai, maka Sarai memberikan Hagar kepada Abram untuk dijadikan gundik. Pada masa itu Abram sudah tinggal di Kanaan selama sepuluh tahun. Abram bersetubuh dengan Hagar, lalu perempuan itu mengandung. Tetapi apabila Hagar tahu bahawa dia mengandung, dia menjadi sombong lalu menghina Sarai. Kemudian Sarai berkata kepada Abram, “Aku sudah memberikan hambaku Hagar kepadamu, dan sejak dia tahu bahawa dia mengandung, dia menghina aku. Hal itu kesalahanmu. Semoga TUHAN mengadili siapa antara kita yang benar, engkau ataupun aku.” Abram menjawab, “Baiklah, dia hambamu dan engkau berkuasa terhadapnya; perlakukanlah dia sesuka hatimu.” Kemudian Sarai memperlakukan Hagar dengan sangat kejam sehingga Hagar melarikan diri. Malaikat TUHAN menjumpai Hagar dekat mata air di padang gurun, di jalan yang menuju ke padang gurun Syur. Malaikat itu berkata, “Hagar, hamba Sarai, engkau dari mana dan hendak ke mana?” Hagar menjawab, “Hamba melarikan diri daripada tuan hamba, Sarai.” Malaikat itu berkata, “Kembalilah kepadanya dan layanilah dia.” Kemudian malaikat itu berkata, “Aku akan memberikan keturunan yang sangat banyak kepadamu, sehingga tiada seorang pun dapat menghitung mereka. Tidak lama lagi engkau akan melahirkan seorang anak lelaki; namakanlah dia Ismael, kerana TUHAN sudah mendengar tangisanmu. Tetapi anakmu itu akan hidup seperti keldai liar; dia akan melawan setiap orang dan setiap orang pun akan melawan dia. Dia akan hidup terpisah daripada semua sanak saudaranya.” Hagar bertanya dalam hati, “Benarkah aku sudah nampak Allah dan aku masih hidup?” Oleh itu dia menyebut TUHAN yang sudah berfirman kepadanya itu “Allah Yang Melihat”. Itulah sebabnya perigi di antara Kades dan Bered itu dinamakan, “Perigi Dia Yang Hidup Yang Melihat Aku.”

KEJADIAN 16:1-14 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Sarai, isteri Abram, masih belum melahirkan anak bagi Abram. Tetapi dia mempunyai seorang hamba perempuan, orang Mesir bernama Hagar. Maka kata Sarai kepada Abram, “Kerana TUHAN telah menahan aku daripada mengandungkan anak, kahwin sajalah dengan hambaku, siapa tahu aku dapat memperoleh anak melaluinya.” Maka Abram mendengar dan menurut usul Sarai itu. Lalu Sarai isteri Abram membawa Hagar, warga Mesir yang menjadi hambanya itu, dan memberikannya kepada Abram suaminya untuk menjadi isterinya. Pada waktu itu sudah sepuluh tahun lamanya Abram tinggal di Tanah Kanaan. Abram pun meniduri Hagar, lalu mengandunglah perempuan itu. Apabila Hagar tahu sahaja bahawa dia mengandung, mulalah dia memandang rendah terhadap cik puannya. Lalu Sarai berkata kepada Abram, “Penghinaan yang kudapat ini ialah tanggungmu! Aku memberikan hambaku ke pangkuanmu, tetapi ketika dia tahu bahawa dia mengandung, dia memandang rendah terhadapku. Semoga TUHAN menjadi Hakim antara aku dengan kamu.” Kata Abram kepada Sarai, “Sesungguhnya, hambamu itu berada bawah kekuasaanmu. Lakukanlah terhadapnya mengikut budi bicaramu.” Maka Sarai menindas Hagar sehingga larilah Hagar daripadanya. Malaikat TUHAN menjumpainya dekat sebuah mata air di gurun itu, iaitu berdekatan mata air di jalan yang menuju ke Syur. Sabdanya, “Wahai Hagar, hamba Sarai, dari manakah kamu dan hendak ke mana?” Jawab perempuan itu, “Aku melarikan diri daripada Sarai, cik puanku.” Sabda malaikat TUHAN kepadanya, “Kembalilah kepada cik puanmu dan tunduklah di bawah kuasanya.” Sabda malaikat TUHAN pula kepadanya, “Aku akan membuat keturunanmu menjadi tersangat ramai hingga tidak terhitung banyaknya.” Selanjutnya malaikat TUHAN bersabda kepadanya, “Kamu sedang mengandung dan kamu akan melahirkan seorang anak lelaki. Namailah dia Ismael, kerana TUHAN telah mendengar jeritan kesusahanmu. Dia akan menjadi orang yang hidupnya seperti keldai liar. Tangannya akan melawan setiap orang, dan tangan setiap orang akan melawan dia. Dia akan hidup bertentangan dengan semua saudaranya.” Lalu Hagar menyebut nama TUHAN yang berfirman kepadanya itu “Engkaulah Allah Yang Melihat,” kerana katanya, “Sesungguhnya, aku nampak Dia yang melihat aku.” Itulah sebabnya perigi itu, yang letaknya di antara Kadesh dengan Bered, disebut Perigi Lahai-Roi.