KEJADIAN 13:8-18
KEJADIAN 13:8-18 Alkitab Berita Baik (BM)
Kemudian Abram berkata kepada Lot, “Kita ini bersaudara; orangmu dan orangku tidak sepatutnya bertengkar. Oleh itu sebaiknya kita berpisah. Pilihlah bahagian tanah yang kamu suka. Jika kamu pergi ke sebelah sini, aku akan pergi ke sebelah sana.” Lot memandang di sekelilingnya dan nampak bahawa seluruh Lembah Yordan, sampai ke kota Zoar mempunyai banyak air, seperti Taman TUHAN atau seperti tanah Mesir. (Begitulah keadaannya sebelum TUHAN memusnahkan kota Sodom dan Gomora.) Akhirnya Lot memilih seluruh Lembah Yordan, lalu berangkat ke sebelah timur. Demikianlah kedua-dua orang itu berpisah. Abram tetap tinggal di tanah Kanaan, sedangkan Lot tinggal di antara kota-kota di lembah itu dan berkhemah dekat Sodom. Penduduk kota Sodom sangat jahat dan berdosa terhadap TUHAN. Selepas Lot meninggalkan tempat itu, TUHAN berfirman kepada Abram, “Dari tempat engkau berdiri, pandanglah baik-baik ke segala arah; Aku akan memberikan seluruh tanah yang engkau lihat itu kepadamu dan keturunanmu. Tanah itu akan menjadi milikmu selama-lamanya. Aku akan memberi engkau keturunan yang sangat banyak, sehingga tiada sesiapa pun dapat menghitung mereka. Sebagaimana debu di tanah tidak dapat dihitung, demikian juga keturunanmu tidak akan dapat dihitung. Sekarang, jelajahilah seluruh tanah ini, kerana Aku akan memberikan tanah ini kepadamu.” Selepas itu Abram memindahkan perkhemahannya, lalu menetap berhampiran dengan pokok-pokok keramat di Mamre, dekat Hebron. Di situ dia membina sebuah mazbah untuk TUHAN.
KEJADIAN 13:8-18 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Kata Abram kepada Lut, “Semoga tidak berlaku perselisihan antara aku dengan kamu, juga antara para gembalaku dengan para gembalamu, walhal kita ini saudara yang begitu dekat. Bukankah seluruh negeri ini ada di hadapanmu? Pisahkanlah dirimu daripadaku. Jika kamu ke sebelah kiri, maka aku pergi ke sebelah kanan. Jika kamu ke sebelah kanan, maka aku pergi ke sebelah kiri.” Lut pun mengimbas dan meneliti keseluruhan wilayah di sekelilingnya. Dia nampak betapa seluruh Lembah Yordan diairi dengan baik, seperti taman TUHAN, seperti Tanah Mesir ke arah Zoar. (Itulah keadaannya sebelum TUHAN memusnahkan Sodom dan Gomora.) Maka Lut memilih daerah di seluruh Lembah Yordan, lalu berangkatlah dia ke sebelah timur. Selepas itu, mereka berpisah. Abram menetap di Tanah Kanaan, sementara Lut pula menetap di kota-kota raya di dataran itu dan mendirikan khemahnya berhampiran Sodom. Adapun orang Sodom amat jahat lagi penuh kemungkaran dan dosa terhadap TUHAN. Setelah Lut berpisah dengan Abram, berfirmanlah TUHAN kepada Abram, “Layangkanlah pandanganmu dari tempat kamu berdiri itu, dan tengoklah ke sebelah utara, selatan, timur, dan barat, kerana seluruh negeri yang kamu lihat itu akan Kukurniakan kepadamu dan kepada keturunanmu untuk selama-lamanya. Aku akan menjadikan keturunanmu seperti debu tanah yang begitu banyak sekali, hinggakan jika ada sesiapa dapat menghitung debu tanah, maka keturunanmu pun akan dapat dihitung. Bersiaplah, mengembaralah ke seluruh pelosok negeri itu menurut panjang dan lebarnya, kerana kepadamulah akan Kukurniakannya.” Abram pun memindahkan khemahnya lalu tinggal dekat pokok-pokok oak Mamre, di wilayah Hebron. Di sana dia mendirikan sebuah mazbah bagi TUHAN.