KEJADIAN 12:1-10

KEJADIAN 12:1-10 Alkitab Berita Baik (BM)

TUHAN berfirman kepada Abram, “Tinggalkanlah negerimu, kaum keluargamu, dan rumah bapamu; pergilah ke negeri yang akan Aku tunjukkan kepadamu. Aku akan memberi engkau keturunan yang banyak dan mereka akan menjadi satu bangsa yang besar. Aku akan memberkati engkau dan menjadikan namamu termasyhur, sehingga engkau menjadi berkat bagi bangsa-bangsa. Aku akan memberkati orang yang memberkati engkau, dan mengutuk orang yang mengutuk engkau. Melalui engkau, Aku akan memberkati semua bangsa di bumi.” Abram berumur 75 tahun ketika dia meninggalkan Haran, menurut perintah TUHAN kepadanya. Abram berangkat ke tanah Kanaan bersama-sama Sarai isterinya, Lot anak saudaranya, dan membawa semua harta benda serta hamba yang diperoleh mereka di Haran. Selepas mereka tiba di Kanaan, Abram menjelajahi tanah itu sehingga dia tiba di pokok keramat di More, tempat ibadat di Sikhem. (Pada masa itu orang Kanaan masih tinggal di tanah itu.) TUHAN menampakkan diri kepada Abram dan berfirman kepadanya, “Inilah negeri yang akan Kuberikan kepada keturunanmu.” Kemudian Abram membina sebuah mazbah di situ untuk TUHAN yang sudah menampakkan diri kepadanya. Selepas itu Abram meneruskan perjalanannya ke selatan, ke kawasan berbukit di sebelah timur kota Betel, lalu berkhemah di antara Betel dan kota Ai; Betel di sebelah barat dan Ai di sebelah timur. Di situ juga dia membina sebuah mazbah dan menyembah TUHAN. Kemudian Abram meneruskan perjalanan, dari satu tempat ke tempat berikutnya, menuju ke bahagian selatan tanah Kanaan. Tetapi ada kebuluran yang sangat dahsyat di negeri Kanaan, sehingga Abram pergi lebih jauh lagi ke selatan, ke negeri Mesir, lalu tinggal di sana untuk sementara waktu.

KEJADIAN 12:1-10 Alkitab Versi Borneo (AVB)

TUHAN berfirman kepada Abram, “Tinggalkanlah negerimu, sanak saudaramu dan rumah ayahmu serta pergilah ke negeri yang akan Kutunjukkan kepadamu. Aku akan membuat kamu menjadi suatu bangsa yang besar. Aku akan memberkati kamu dan menjadikan namamu hebat. Kamu akan menjadi suatu keberkatan! Aku akan memberkati mereka yang memohonkan berkat bagi engkau, dan Aku akan mengutuk mereka yang mengutuk engkau. Melalui engkau, semua kaum di bumi akan diberkati.” Maka berangkatlah Abram seperti yang TUHAN firmankan kepadanya, dan Lut turut pergi bersama-samanya. Abram berumur tujuh puluh lima tahun sewaktu dia meninggalkan Haran. Abram menuju Tanah Kanaan dengan membawa Sarai isterinya dan Lut anak saudaranya bersama-samanya, serta segala harta benda serta kalangan yang diperoleh mereka sewaktu di Haran. Lalu tibalah mereka di Tanah Kanaan. Abram berjalan menjelajahi negeri itu sehingga suatu tempat di Sikhem yakni di pokok oak More. Pada waktu itu orang Kanaan tinggal di negeri itu. Kemudian TUHAN menampakkan diri kepada Abram dan berfirman, “Kepada keturunanmu akan Aku kurniakan negeri ini.” Maka Abram membangunkan di sana sebuah mazbah bagi TUHAN, yang telah menampakkan diri kepadanya. Dari situ, Abram berpindah ke pergunungan di sebelah timur Betel lalu mendirikan khemahnya di antara Betel di sebelah barat dengan Ai di sebelah timur. Di situ Abram mendirikan sebuah mazbah bagi TUHAN dan menyeru nama TUHAN. Setelah itu, Abram meneruskan perjalanannya lagi ke arah selatan menuju ke Tanah Negeb. Atas sebab bencana kebuluran yang menimpa negeri itu, Abram pun pergi ke Mesir dan tinggal di sana sebagai pendatang kerana bencana kebuluran itu sangat teruk di negeri itu.