KEJADIAN 1:14-23
KEJADIAN 1:14-23 Alkitab Berita Baik (BM)
Kemudian Allah berfirman, “Hendaklah ada benda-benda terang di langit untuk memisahkan siang daripada malam, dan untuk menunjukkan permulaan hari, tahun, serta perayaan agama. Benda-benda terang itu akan bersinar di langit untuk menerangi bumi.” Lalu hal itu berlaku. Demikianlah Allah menjadikan dua benda terang yang besar, iaitu matahari untuk menguasai siang dan bulan untuk menguasai malam; selain itu Dia juga menjadikan bintang-bintang. Allah menempatkan benda-benda terang itu di langit untuk menerangi bumi, untuk menguasai siang serta malam, dan untuk mengasingkan cahaya daripada kegelapan. Allah berpuas hati melihat hal itu. Setelah malam dan pagi berlalu, itulah hari yang keempat. Kemudian Allah berfirman, “Hendaklah air dipenuhi berjenis-jenis makhluk hidup, dan udara dipenuhi berjenis-jenis burung.” Demikianlah Allah menciptakan binatang raksasa laut, dan semua jenis makhluk yang hidup di dalam air, serta semua jenis burung. Allah berpuas hati melihat hal itu. Allah memberkati semuanya dan memberikan perintah kepada makhluk yang hidup di dalam air supaya membiak serta memenuhi laut, dan juga kepada semua jenis burung supaya bertambah banyak. Setelah malam dan pagi berlalu, itulah hari yang kelima.
KEJADIAN 1:14-23 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Berfirmanlah Allah, “Jadilah penerang-penerang mengisi cakerawala untuk memisahkan siang daripada malam dan jadilah tanda-tanda yang menunjukkan pelbagai musim dan hari serta tahun, dan jadilah penerang-penerang di cakerawala demi menerangi bumi.” Maka terjadilah sedemikian itu. Maka Allah menjadikan dua penerang besar, dengan penerang lebih besar menguasai siang dan yang lebih kecil menguasai malam. Allah juga menjadikan bintang-bintang. Allah menempatkan kesemua itu di cakerawala untuk menerangi bumi, dan untuk menguasai siang dan malam, dan juga untuk memisahkan cahaya daripada kegelapan. Dan Allah melihat bahawa semua itu baik. Malam muncul lagi dan disusuli pagi, dan itulah hari yang keempat. Berfirmanlah Allah, “Hendaklah berkeriapan makhluk yang hidup di dalam air, dan hendaklah burung-burung berterbangan di ruang cakerawala di atas bumi.” Maka Allah menciptakan pelbagai binatang laut yang besar dan segala jenis hidupan yang bergerak, yang berkeriapan di dalam air, dan segala jenis burung yang bersayap, dan Allah melihat semua itu baik. Lantas Allah memberkati kesemuanya sambil berfirman, “Berkembang biaklah dan penuhilah air di dalam laut, dan hendaklah bertambah banyak burung di bumi.” Malam muncul lagi dan disusuli pagi, dan itulah hari yang kelima.