KEJADIAN 1:1-26

KEJADIAN 1:1-26 Alkitab Berita Baik (BM)

Pada mulanya, ketika Allah mula menciptakan alam semesta, bumi belum berbentuk dan masih kacau-bilau. Samudera yang bergelora, yang menutupi segala sesuatu, diliputi oleh kegelapan yang pekat, tetapi kuasa Allah bergerak di atas permukaan air. Allah berfirman, “Hendaklah ada cahaya,” lalu cahaya pun ada. Allah berpuas hati melihat hal itu. Kemudian Dia mengasingkan cahaya daripada kegelapan. Dia menamakan cahaya itu “Siang” dan kegelapan itu “Malam”. Setelah malam dan pagi berlalu, itulah hari yang pertama. Kemudian Allah berfirman, “Hendaklah ada kubah untuk membahagikan air menjadi dua bahagian, dan membendungnya dalam dua tempat yang terpisah.” Lalu hal itu berlaku. Demikianlah Allah menjadikan kubah yang memisahkan air yang ada di bawah kubah itu daripada air yang ada di atasnya. Allah menamakan kubah itu “Langit”. Setelah malam dan pagi berlalu, itulah hari yang kedua. Kemudian Allah berfirman, “Hendaklah air yang ada di bawah langit mengalir ke satu tempat agar tanah kelihatan.” Lalu hal itu berlaku. Allah menamakan tanah itu “Darat” dan kumpulan air itu “Laut”. Allah berpuas hati melihat hal itu. Allah berfirman lagi, “Hendaklah tanah mengeluarkan segala jenis tumbuh-tumbuhan, iaitu jenis yang menghasilkan biji-bijian dan jenis yang menghasilkan buah.” Lalu hal itu berlaku. Demikianlah tanah mengeluarkan segala jenis tumbuh-tumbuhan. Allah berpuas hati melihat hal itu. Setelah malam dan pagi berlalu, itulah hari yang ketiga. Kemudian Allah berfirman, “Hendaklah ada benda-benda terang di langit untuk memisahkan siang daripada malam, dan untuk menunjukkan permulaan hari, tahun, serta perayaan agama. Benda-benda terang itu akan bersinar di langit untuk menerangi bumi.” Lalu hal itu berlaku. Demikianlah Allah menjadikan dua benda terang yang besar, iaitu matahari untuk menguasai siang dan bulan untuk menguasai malam; selain itu Dia juga menjadikan bintang-bintang. Allah menempatkan benda-benda terang itu di langit untuk menerangi bumi, untuk menguasai siang serta malam, dan untuk mengasingkan cahaya daripada kegelapan. Allah berpuas hati melihat hal itu. Setelah malam dan pagi berlalu, itulah hari yang keempat. Kemudian Allah berfirman, “Hendaklah air dipenuhi berjenis-jenis makhluk hidup, dan udara dipenuhi berjenis-jenis burung.” Demikianlah Allah menciptakan binatang raksasa laut, dan semua jenis makhluk yang hidup di dalam air, serta semua jenis burung. Allah berpuas hati melihat hal itu. Allah memberkati semuanya dan memberikan perintah kepada makhluk yang hidup di dalam air supaya membiak serta memenuhi laut, dan juga kepada semua jenis burung supaya bertambah banyak. Setelah malam dan pagi berlalu, itulah hari yang kelima. Kemudian Allah berfirman, “Hendaklah bumi mengeluarkan semua jenis binatang darat: binatang jinak, dan binatang liar yang besar mahupun yang kecil.” Lalu hal itu berlaku. Demikianlah Allah menjadikan semuanya dan Dia berpuas hati melihat hal itu. Kemudian Allah berfirman, “Sekarang Kita akan mencipta manusia yang akan menjadi seperti Kita dan menyerupai Kita. Mereka akan menguasai semua ikan, burung, serta binatang lain: binatang jinak, dan binatang liar yang besar mahupun yang kecil.”

KEJADIAN 1:1-26 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Pada mulanya Allah menciptakan langit dan bumi. Bumi tidak berbentuk dan kosong; kegelapan menyelubungi permukaan samudera, dan Roh Allah melayang-layang di atas permukaan air. Berfirmanlah Allah, “Jadilah cahaya.” Lalu terus ada cahaya. Allah melihat cahaya itu baik, lalu Dia memisahkan cahaya itu daripada kegelapan. Allah menamai cahaya itu siang, dan kegelapan itu dinamai-Nya malam. Malam muncul dan disusuli pagi, dan itulah hari yang pertama. Berfirmanlah Allah, “Jadilah cakerawala di tengah-tengah segala air itu untuk memisahkan air daripada air.” Maka Allah menjadikan cakerawala lantas memisahkan air yang ada di bawah cakerawala daripada air yang ada di atasnya. Maka terjadilah sedemikian itu. Lalu Allah menamai cakerawala itu langit. Malam muncul lagi dan disusuli pagi, dan itulah hari yang kedua. Berfirmanlah Allah, “Mengalir dan berkumpullah kesemua air yang di bawah langit di satu tempat, sehingga kelihatan tanah yang kering.” Maka terjadilah sedemikian itu. Lalu Allah menamai bahagian yang kering itu darat, dan kumpulan air itu dinamai-Nya laut. Allah melihat semua itu baik. Berfirmanlah Allah, “Hendaklah tanah menumbuhkan pelbagai tunas muda, tumbuh-tumbuhan yang berbiji, segala jenis pokok buah-buahan yang menghasilkan buah yang berbiji, supaya jenisnya membiak dan terus bertumbuh di bumi.” Maka terjadilah sedemikian itu. Maka tanah pun menumbuhkan pelbagai tunas muda, segala jenis tumbuh-tumbuhan yang berbiji dan segala jenis pokok buah-buahan yang menghasilkan buah yang berbiji. Dan Allah melihat semua itu baik. Malam muncul lagi dan disusuli pagi, dan itulah hari yang ketiga. Berfirmanlah Allah, “Jadilah penerang-penerang mengisi cakerawala untuk memisahkan siang daripada malam dan jadilah tanda-tanda yang menunjukkan pelbagai musim dan hari serta tahun, dan jadilah penerang-penerang di cakerawala demi menerangi bumi.” Maka terjadilah sedemikian itu. Maka Allah menjadikan dua penerang besar, dengan penerang lebih besar menguasai siang dan yang lebih kecil menguasai malam. Allah juga menjadikan bintang-bintang. Allah menempatkan kesemua itu di cakerawala untuk menerangi bumi, dan untuk menguasai siang dan malam, dan juga untuk memisahkan cahaya daripada kegelapan. Dan Allah melihat bahawa semua itu baik. Malam muncul lagi dan disusuli pagi, dan itulah hari yang keempat. Berfirmanlah Allah, “Hendaklah berkeriapan makhluk yang hidup di dalam air, dan hendaklah burung-burung berterbangan di ruang cakerawala di atas bumi.” Maka Allah menciptakan pelbagai binatang laut yang besar dan segala jenis hidupan yang bergerak, yang berkeriapan di dalam air, dan segala jenis burung yang bersayap, dan Allah melihat semua itu baik. Lantas Allah memberkati kesemuanya sambil berfirman, “Berkembang biaklah dan penuhilah air di dalam laut, dan hendaklah bertambah banyak burung di bumi.” Malam muncul lagi dan disusuli pagi, dan itulah hari yang kelima. Berfirmanlah Allah, “Hendaklah bumi mengeluarkan segala jenis makhluk yang hidup, ternakan dan binatang melata serta segala jenis binatang liar.” Maka terjadilah sedemikian itu. Allah menjadikan segala jenis binatang liar dan segala jenis ternakan dan segala jenis binatang melata di muka bumi. Dan Allah melihat semua itu baik. Berfirmanlah Allah, “Baiklah Kita menjadikan manusia menurut gambaran dan rupa Kita. Mereka akan berkuasa atas ikan-ikan di laut dan atas burung-burung di udara dan atas ternakan dan atas seluruh bumi dan atas segala jenis binatang melata yang merayap di muka bumi.”