GALATIA 6:7-18

GALATIA 6:7-18 Alkitab Berita Baik (BM)

Janganlah tipu diri sendiri. Tidak seorang pun dapat memperbodohkan Allah. Seseorang akan menuai apa yang ditanamnya. Jika seorang menanam menurut tabiat manusianya, dia akan menuai kematian. Tetapi jika dia menanam menurut pimpinan Roh Allah, dia akan menuai hidup sejati dan kekal daripada Roh Allah. Oleh itu, janganlah kita jemu melakukan perkara-perkara baik. Jika kita tidak berhenti-henti berbuat demikian, kelak kita akan menuai hasilnya. Oleh itu, selama kita berpeluang, kita patut berbuat baik kepada semua orang, terutama sekali kepada saudara-saudara kita yang seiman. Perhatikanlah bahagian ini yang aku tulis sendiri dengan huruf yang besar-besar! Mereka yang berusaha untuk memaksa kamu bersunat adalah orang yang mahu membanggakan diri tentang hal-hal zahir. Tetapi mereka berbuat demikian supaya mereka tidak dianiaya oleh orang Yahudi oleh sebab salib Kristus. Tetapi mereka yang membiarkan diri disunat, juga tidak mentaati Taurat. Mereka mahu kamu disunat supaya mereka boleh membanggakan diri bahawa kamu mentaati upacara penyunatan itu. Tetapi aku hanya mahu membanggakan Tuhan kita Yesus Kristus yang sudah mati pada kayu salib. Oleh sebab Kristus sudah mati pada kayu salib, dunia ini tidak bererti apa-apa lagi bagiku. Aku seolah-olah sudah mati terhadap dunia ini. Sama ada orang bersunat atau tidak, hal ini tidak menjadi soal. Yang penting adalah menjadi manusia baru. Bagi mereka yang hidup dengan pendirian itu, dan juga bagi semua umat Allah, aku berdoa agar Allah mengurniai mereka kesejahteraan dan rahmat-Nya. Akhirnya, janganlah seorang pun susahkan aku lagi, kerana bekas-bekas luka pada tubuhku membuktikan bahawa aku hamba Yesus. Semoga Tuhan kita Yesus Kristus memberkati kamu semua. Amin.

GALATIA 6:7-18 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

Janganlah kamu tŭrtipu, bahwa Allah tiada bulih dipŭrdayakan; kŭrna barang apa yang ditanami ulih sa’orang, maka itu juga akan dituwienya. Kŭrna barang siapa yang tŭlah mŭnanam bagie hawa nafsunya, maka deripada hawa nafsu juga iya akan mŭnuwie kabinasaan; akan tŭtapi barang siapa yang mŭnanam bagie Roh Allah, maka deripada Roh itu juga iya akan mŭnuwie slamat yang kŭkal. Maka jaganlah kita mŭnjadi pŭnat dalam pŭkŭrjaan yang baik: kŭrna pada masa yang patut kamu akan mŭnuwie, jikalau kamu tiada lŭlah. Sŭbab itu apabila kami mŭndapat kutika yang baik biarlah kami bŭrbuat baik kapada sagala manusia, tŭrutamalah kapada orang yang deripada isi rumah iman. Maka lihatlah ulihmu brapa panjang surat yang kukirimkan pada kamu ini dŭngan tulisan tanganku sŭndiri. Adapun sŭbanyak orang yang mŭnghandaki mŭngunjokkan muka muka dŭngan nafsu manusia, maka marika itu mŭmaksa akan kamu handak mŭnyurohkan bŭrsunat; asal jangan marika itu mŭrasai anyaya ulih sŭbab salib Almasih. Kŭrna marika itu sŭndiri pun yang bŭrsunat tiada mŭmliharakan hukum tauret itu; tŭtapi marika itu mŭnghandaki kamu bŭrsunat, supaya iya tŭrmŭgahkan dirinya ulih sŭbab sunatmu itu. Tŭtapi dijauhkan Allah asal jangan tŭrmŭgah aku dŭmkian, mŭlainkan kŭrna salib Tuhan kami Isa Almasih, maka ulih sŭbabnya juga dunia ini tŭlah disalibkan kapada aku, dan aku pun disalibkan kapada dunia. Kŭrna adapun kapada Isa Almasih itu tiada bŭrfiedah satu pun tiada; baik bŭrsunat itu, atau tidak bŭrsunat, mŭlainkan suatu kajadian yang bahru. Maka slamat dan rahmatlah kiranya atas sŭbanyak orang yang mŭnjalani spŭrti hukum ini, dan atas Israil Allah. Maka deripada masa ini kŭlak janganlah barang sa’orang jua pun mŭngusahkan aku, kŭrna adalah pada tubohku ini bŭbrapa bŭkas parut ulih sŭbab Tuhan Isa. Saudara saudaraku, anugrah Tuhan kami Isa Almasih adalah kiranya bŭsŭrta dŭngan nyawa kamu: Amin. ¶ Tŭrmaktob surat ini dinŭgri Rom, datang kapada orang Galatia.

GALATIA 6:7-18 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Janganlah tertipu: Allah tidak dapat dipermainkan, kerana apa yang disemai oleh seseorang, itulah yang akan dituainya. Orang yang menyemai bagi hawa nafsu manusia akan menuai kebinasaan daripadanya; manakala orang yang menyemai bagi Roh akan menuai hidup yang kekal. Janganlah kita jemu berbuat baik, kerana pada musimnya nanti kita akan menuai jika kita tidak berputus asa. Oleh itu, apabila ada peluang, kita haruslah berbuat baik kepada semua orang, lebih-lebih lagi saudara-saudara kita yang seiman. Lihatlah betapa besarnya huruf-huruf yang kutulis kepadamu dengan tanganku sendiri! Mereka yang ingin menunjukkan diri baik secara lahiriah, merekalah yang ingin memaksa kamu bersunat, semata-mata untuk mengelakkan diri mereka dianiaya kerana salib Kristus. Orang yang bersunat itu pun tidak memegang hukum Taurat, tetapi mereka mahu kamu disunatkan supaya mereka dapat bermegah dengan keadaan lahiriahmu. Tetapi aku sekali-kali tidak mahu bermegah dengan apa pun kecuali salib Tuhan kita Yesus Kristus yang melalui-Nya dunia telah disalib kepadaku dan aku juga kepada dunia. Sebabnya sama ada bersunat ataupun tidak tiada ertinya; menjadi satu ciptaan baru, itulah yang penting. Bagi mereka yang hidup menurut hukum ini, sejahtera dan belas kasihan atas mereka, dan atas Israel Allah. Akhir kata, janganlah sesiapa menyusahkan aku, kerana pada tubuhku ada parut-parut Yesus. Saudara-saudara, semoga kasih kurnia Tuhan kita Yesus Kristus menyertai rohmu. Amin.

GALATIA 6:7-18

GALATIA 6:7-18 BMGALATIA 6:7-18 BMGALATIA 6:7-18 BMGALATIA 6:7-18 BM