GALATIA 5:16-25
GALATIA 5:16-25 Alkitab Berita Baik (BM)
Inilah maksudku: Biarlah Roh Allah memimpin hidup kamu dan janganlah hidup menurut keinginan tabiat manusia. Hal itu demikian, kerana keinginan manusia bertentangan dengan keinginan Roh Allah, dan keinginan Roh Allah bertentangan dengan keinginan manusia. Kedua-duanya saling bermusuhan sehingga kamu tidak dapat melakukan apa yang kamu inginkan. Tetapi jika Roh Allah memimpin kamu, kamu tidak dikuasai oleh Taurat. Keinginan tabiat manusia nyata dalam semua perbuatan cabul, lucah, dan tidak senonoh; dalam penyembahan berhala dan penggunaan ilmu sihir. Orang bermusuhan dan berkelahi; mereka cemburu, lekas marah, dan mementingkan diri sendiri. Mereka berpecah dan berpihak-pihak, mereka iri hati, suka mabuk, berpesta liar, dan sebagainya. Aku memperingatkan kamu sekarang sebagaimana aku telah memperingatkan kamu dahulu: Orang yang melakukan perbuatan-perbuatan itu tidak akan menikmati Pemerintahan Allah. Sebaliknya, inilah hasilnya jika orang dipimpin oleh Roh Allah: Mereka saling mengasihi, bersukacita, hidup rukun, sabar, berbudi, baik hati, setia, rendah hati, dan dapat mengawal diri. Tidak ada hukum yang melarang perkara-perkara seperti itu. Demikianlah, orang yang menjadi milik Kristus Yesus sudah mematikan tabiat manusia dengan segala nafsu dan keinginannya. Roh Allah telah memberikan hidup baru kepada kita; oleh itu Dia juga harus menguasai hidup kita.
GALATIA 5:16-25 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
Maka inilah pŭrkataanku, Bahwa handaklah kamu mŭnurot jalan Roh, maka tiadalah kŭlak kamu bŭrbuat kainginnan hawa nafsu itu. Kŭrna hawa nafsu itu ingin handak mŭlawan Roh, dan Roh itupun mŭlawan hawa nafsu itu: maka kaduanya itu bŭrlawan lawanan adanya: sahingga tiadalah dapat kamu mŭngadakan barang yang kamu kahandaki itu. Tŭtapi jikalau kamu kŭlak dipimpin ulih Roh, nŭschaya kamu tiadalah dibawah hukum tauret, Skarang adapun sagala pŭkŭrjaan hawa nafsu itu nyatalah, iya itu dŭmkian, bŭrzinah, dan bŭrsundalan, dan kachŭmaran, dan pŭrchabolan; Mŭnyŭmbah bŭrhala, dan hubatan, dan pŭrsŭtruan, dan pŭrbantahan, dan iri hati, dan pŭrkŭliehan, dan pŭrchŭdraan, dan salah fikiran dalam agama; Dan kadŭngkian, dan bunoh, dan mabok, dan pŭrlentean, dan barang sŭbagienya; maka deri hal pŭrkara itulah aku tŭlah bŭrkata pada kamu dahulu, spŭrti yang tŭlah kukatakan pada masa yang tŭlah lalu, bahwa marika itu yang bŭrbuat pŭrkara pŭrkara yang tŭrsŭbut itu, maka iya itu tiada kŭlak akan mŭmpusakai krajaan Allah. Tŭtapi buah buahan Roh itu, iya itu kasih, dan kasukaan, dan pŭrdamiean, dan panjang hati, dan lŭmah lŭmbut, dan kabajikan, dan sŭtia, Dan karŭndahan hati, dan mŭnahan nafsu; bahwa tiadalah hukum yang mŭlawan akan pŭrkara yang dŭmkian. Tŭtapi sagala orang yang milik Almasih itu tŭlah mŭnsalibkan hawa nafsunya itu, sŭrta dŭngan chita chita dan kainginannya pun. Maka jikalau kiranya kami hidop ulih Roh, maka biarlah kiranya kami mŭnurot jalan Roh.
GALATIA 5:16-25 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Aku berkata, melangkahlah menurut Roh, maka kamu tidak akan memuaskan keinginan sifat tabii. Kerana keinginan tabii manusia menentang Roh, dan Roh menentang keinginan tabii manusia. Kedua-duanya berlawanan, supaya kamu tidak melakukan apa yang hendak kamu lakukan. Tetapi jika kamu dipimpin oleh Roh, kamu tidaklah di bawah hukum Taurat. Kelakuan tabii manusia adalah nyata: perbuatan cabul, kecemaran dan kelucahan; menyembah berhala dan sihir; kebencian, perbalahan, hasad dengki, letusan kemarahan, cita-cita untuk kebesaran diri, perselisihan, berpuak-puak dan iri hati; kemabukan, berpesta keterlaluan, dan sebagainya. Tentang ini aku berkata kepadamu, sebagaimana sudah kukatakan kepadamu dahulu, bahawa orang yang mengamalkan perkara-perkara demikian tidak akan mewarisi kerajaan Allah. Sebaliknya, buah Roh ialah kasih, sukacita, damai sejahtera, kesabaran, kemurahan, kebaikan, kesetiaan, lemah lembut dan penguasaan diri. Tiada hukum yang menentang segala ini. Mereka yang menjadi milik Kristus Yesus telah menyalib tabii manusia berserta hawa nafsu dan keinginannya. Jika kita hidup dalam Roh, marilah kita berbuat segalanya dalam Roh juga.