GALATIA 5:1-7,13-15
GALATIA 5:1-7 Alkitab Berita Baik (BM)
Kita sekarang bebas, kerana Kristus telah membebaskan kita! Oleh itu pertahankanlah kebebasan kamu dan jangan biarkan diri kamu diperhamba lagi. Dengarlah! Aku, Paulus, berkata kepada kamu: Jika kamu membenarkan orang menyunat kamu, hal ini bererti bahawa apa yang dilakukan oleh Kristus untuk kamu tidak bermakna apa-apa. Sekali lagi aku memberikan peringatan kepada orang yang membiarkan dirinya disunat, bahawa dia wajib mentaati segenap Taurat itu! Jika kamu berusaha untuk berbaik semula dengan Allah melalui ketaatan kepada Taurat, kamu telah memutuskan hubungan dengan Kristus. Dengan demikian kamu hidup di luar naungan rahmat Allah. Tetapi bagi kami, kami berharap bahawa dengan pertolongan Roh Allah dan berdasarkan kepercayaan kami kepada Kristus, Allah memungkinkan kami berbaik semula dengan Dia. Kerana pada masa kita bersatu dengan Kristus Yesus, bersunat atau tidak bersunat tidaklah menjadi soal. Yang penting hanyalah kepercayaan kepada Kristus, dan hal itu nyata dalam kasih kita kepada orang lain. Dahulu kamu berjuang dengan baik. Siapakah yang menyebabkan kamu berhenti mentaati ajaran Tuhan? Siapakah yang sudah memujuk kamu?
GALATIA 5:13-15 Alkitab Berita Baik (BM)
Saudara-saudaraku, kamu sudah dipanggil untuk menjadi orang bebas. Tetapi janganlah jadikan kebebasan itu alasan untuk membiarkan diri dikuasai oleh hawa nafsu. Sebaliknya, kamu harus saling mengasihi dan saling menolong, kerana segenap Taurat tersimpul dalam satu perintah ini: “Kasihilah sesamamu manusia seperti kamu mengasihi dirimu sendiri.” Tetapi jika kamu berlaku seperti binatang, saling mencedera dan menyakiti, berwaspadalah. Jika tidak, kamu akan membinasakan satu sama lain.
GALATIA 5:1-7 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
ADAPUN sŭbab itu bŭrdirilah tŭtap kami dalam hal bibas yang tŭlah dibibaskan ulih Almasih akan kami, maka janganlah pula lagi kamu bŭrsangkotan dŭngan kok pŭrhambaan itu. Bahwa sŭsungguhnya aku Paulus bŭrkata pada kamu, maka jikalau kiranya kamu bŭrsunat, maka Almasih itu kŭlak tiadalah mŭnjadi guna pada kamu. Kŭrna bŭrsaksilah pula lagi aku kapada barang siapa yang bŭrsunat, maka iya itulah sa’orang bŭrhutang akan bŭrbuat sagala pŭrkara hukum tauret. Maka Almasih itu kŭlak mŭnjadi satu pun tiadalah guna pada kamu, barang siapa deripada kamu yang tŭlah dibŭnarkan ulih tauret; maka kamu tŭlah gugorlah deripada anugrah. Kŭrna kami ini dŭngan bŭrkat Roh itu mŭnantikan harap akan dibŭnarkan ulih iman. Kŭrna pada Isa Almasih itu tiada bŭrguna, baik bŭrsunat atau tidak bŭrsunat, mŭlainkan iman yang dilakukan dŭngan kasih. Maka kamu dahulu lari baik, maka siapakah yang tŭlah mŭnahankan kamu supaya jangan kamu mŭnurot yang bŭnar itu.
Galatia 5:13-15 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
Kŭrna, hie saudara saudara, kamu ini tŭlah dijŭmpot dalam hal kabibasan; maka jaganlah kamu mŭmakie kabibasan itu, akan mŭnurotkan hawa nafsu, mŭlainkan dŭngan kasihlah kamu bŭrlaku sa’orang dŭngan sa’orang. Kŭrna sagala hukum tauret itu, tŭlah tŭrhimpon dalam sa’patah kata juga, iya itu dŭmkian ini; Handaklah angkau mŭngasihi samamu manusia itu spŭrti dirimu sŭndiri. Tŭtapi jikalau kamu mŭngigit, atau mŭmakan sa’orang akan sa’orang, maka ingatlah kamu supaya jangan kŭlak kamu hangus kaduanya.
GALATIA 5:1-7 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Demi kemerdekaan Kristus telah memerdekakan kita. Oleh itu, berpegang teguhlah kepada kemerdekaan yang telah diberikan oleh Kristus kepada kita, dan jangan biarkan diri dibelenggu oleh kuk perhambaan semula. Dengarlah kata-kataku! Aku, Paulus, bersaksi kepadamu bahawa jika kamu bersunat kelak, tiada berfaedahlah Kristus kepadamu. Dan aku bersaksi lagi kepada setiap orang yang bersunat, bahawa dia berhutang dan mesti mengerjakan seluruh hukum Taurat. Kamu yang berusaha untuk diperbenar melalui hukum Taurat telah terpisah daripada Kristus. Kamu telah terkeluar daripada kasih kurnia Allah. Kita, melalui Roh dan dengan iman, bersungguh-sungguh menantikan harapan mendapat perbenaran. Kerana dalam Kristus Yesus, sama ada bersunat ataupun tidak tiada ertinya, melainkan iman bekerja melalui kasih. Dahulu perjalananmu baik. Siapakah yang telah menghalangmu sehingga kamu tidak lagi menurut yang benar?
Galatia 5:13-15 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Kerana kamu, saudara-saudara, telah dipanggil untuk mendapat kebebasan. Cuma, janganlah gunakan kebebasan sebagai kesempatan memuaskan hawa nafsu; tetapi berkhidmatlah untuk satu sama lain dengan kasih. Kerana seluruh hukum Taurat terlaksana dalam satu ayat: “Kasihilah sesama manusia sebagaimana kamu mengasihi dirimu sendiri.” Tetapi jika kamu gigit-menggigit dan makan-memakan sesama sendiri, berhati-hatilah, jangan sampai kamu saling membinasakan.