GALATIA 3:15-29

GALATIA 3:15-29 Alkitab Berita Baik (BM)

Saudara-saudaraku, biarlah aku gunakan contoh daripada pengalaman sehari-hari. Apabila dua orang mengikat janji, lalu menandatangani perjanjian itu, tidak seorang pun dapat membatalkannya ataupun menambahkan apa-apa. Allah telah membuat janji-janji-Nya kepada Abraham dan kepada seorang keturunan Abraham. Di dalam Alkitab tidak tertulis, “dan kepada keturunanmu,” yang bererti banyak orang. Yang tertulis adalah, “dan kepada seorang keturunanmu,” yang bererti seorang sahaja, iaitu Kristus. Inilah yang aku maksudkan: Allah telah membuat satu perjanjian dengan Abraham, dan Allah berjanji hendak memenuhinya. Taurat yang diberikan 430 tahun kemudian tidak dapat memansuhkan perjanjian itu ataupun membatalkan janji Allah. Jika pemberian Allah diberi berdasarkan Taurat, maka pemberian itu tidak diberi berdasarkan janji Allah. Tetapi kerana Allah telah berjanji kepada Abraham, maka Allah memberikan pemberian itu kepadanya. Jika demikian, apakah tujuan Taurat? Taurat diberikan untuk menunjukkan pelanggaran manusia. Taurat itu terus berlaku sehingga kedatangan seorang keturunan Abraham, yang disebut dalam janji Allah kepada Abraham. Taurat disampaikan oleh malaikat-malaikat dengan perantaraan seorang manusia. Seorang perantara diperlukan apabila ada dua pihak. Tetapi Allah tidak memerlukan perantara, kerana Dia sendiri bertindak. Adakah hal ini bererti bahawa Taurat berlawanan dengan janji-janji Allah? Tentu tidak! Jika manusia sudah menerima hukum agama yang dapat memberikan hidup, maka manusia dapat berbaik semula dengan Allah, melalui ketaatan kepada hukum agama itu. Tetapi di dalam Alkitab tertulis bahawa semua umat manusia dikuasai oleh dosa. Oleh itu pemberian yang dijanjikan berdasarkan kepercayaan kepada Yesus Kristus, diberikan kepada mereka yang percaya. Sebelum adanya kepercayaan kepada Kristus, Taurat menawan kita seperti orang tawanan, sehingga iman itu dinyatakan. Dengan demikian Taurat itu menjadi seperti pengawas kita sehingga Kristus datang untuk memungkinkan kita berbaik semula dengan Allah, kerana kita percaya kepada Kristus. Sekarang, kerana sudah tiba masanya manusia dapat percaya kepada Kristus, Taurat tidak perlu mengawasi kita. Kerana kamu percaya kepada Kristus Yesus, maka kamu menjadi anak-anak Allah dan bersatu dengan Kristus Yesus. Kamu semua telah dibaptis dan disatukan dengan Kristus. Oleh itu, sekarang kamu sudah menerima sifat-sifat Kristus sendiri. Dalam hal ini tidak ada lagi perbezaan antara orang Yahudi dengan orang bukan Yahudi, antara abdi dengan orang bebas, antara lelaki dengan perempuan. Kamu semuanya menjadi satu kerana Kristus Yesus. Jika kamu milik Kristus, maka kamu keturunan Abraham dan akan menerima apa yang telah dijanjikan oleh Allah.

GALATIA 3:15-29 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

Hie saudara saudaraku, bahwa aku bŭrkata ini chara adat manusia; mŭskipun kalau wasihat sa’orang manusia, tapi jikalau sudah ditŭntukan skali pun, maka sa’orang pun tiada dapat mŭnidakkan itu, atau mŭnambahi barang suatu padanya. Adapun sagala pŭrjanjian itu tŭlah dipŭrbuat kapada Ibrahim, dan pada bŭnihnya; maka bukannya Allah bŭrkata kapada bŭnih bŭnihnya itu derihal banyak orang, mŭlainkan derihal sa’orang juga, katanya, Dan pada bŭnihmu, iya itu Almasih. Maka aku bŭrkata ini, adapun pŭrjanjian yang tŭlah ditŭntukan Allah dahulu akan hal Almasih itu ta’bulih ditidakkan ulih tauret, iya itu yang jadi ampat ratus tiga puloh tahun kumdian, supaya jangan pŭrjanjian itu digunakan. Kŭrna jikalau kiranya pusaka itu jadi deripada tauret, maka iya itu bukannya lagi deripada pŭrjanjian; akan tŭtapi tŭlah dikurniakan Allah pusaka itu kapada Ibrahim dŭngan pŭrjanjian. Maka kalau bŭgitu, apatah gunanya tauret itu? Adapun iya itu ditambahi ulih sŭbab kŭsalahan, sahingga datang bŭnih itu, maka kapadanyalah pŭrjanjian itu tŭlah dikurniakan; maka iya itu tŭlah ditŭntukan ulih mŭliekat mŭliekat dŭngan tangan sa’orang pŭngantara. Adapun pŭngantara itu bukannya iya pada sŭblah sa’orang sahja, tŭtapi Allah itu asa juga adanya. Kalau bŭgitu, adakah hukum tauret itu mŭlawan pŭrjanjian Allah itu? Dijahukan Allah: kŭrna jikalau kiranya tauret yang tŭlah dikurniakan itu mŭndatangkan slamat, sŭsungguhnyalah kabŭnaran itu patut jadi deripada tauretlah. Tŭtapi kitab Allah itu tŭlah mŭnŭntukan sagala manusia dalam dosa, supaya pŭrjanjian itu ulih sŭbab bŭrimankan Isa Almasih itu dapat dikurniakan kapada sagala orang yang bŭriman. Tŭtapi sŭbŭlom datang iman itu, maka kami skalian tŭlah dibawah hukum tauret tŭrkurong kapada iman yang akan patut dinyatakan kŭlak. Maka sŭbab itulah tauret itu mŭnjadi guru yang mŭmbawa kapada Almasih, supaya kami ini dibŭnarkan ulih iman. Tŭtapi sŭtlah sudah datang iman itu, maka kami ini tiada dibawah prentah guru lagi. Kŭrna kamu skalian anak anak Allah, ulih sŭbab bŭrimankan Isa Almasih. Kŭrna sŭbrapa kamu yang tŭlah dibaptisakan kapada Almasih tŭlah mŭmakie akan Almasih. Iya itu baik Yahudi baik Grika, baik abdi, atau mŭrdehka, baik laki laki, atau pŭrampuan, kŭrna kamu skalian ini satu adanya kapada Isa Almasih. Dan jikalau kamu milik Almasih, maka kamulah juga bŭnih Ibrahim, dan warith warith mŭnurot pŭrjanjian itu.

GALATIA 3:15-29 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Saudara-saudara, aku hendak menggunakan contoh daripada hidup sehari-hari. Walaupun suatu perjanjian hanya antara manusia, namun setelah ditetapkan, tiada siapa harus memansuhkannya atau menolak-tambah padanya, begitulah juga hal ini. Janji Allah telah dibuat kepada Abraham dan keturunannya. Kitab Suci tidak menyebut “dan kepada keturunan-keturunannya,” dengan erti ramai orang, tetapi “dan kepada keturunanmu,” yang bererti seorang sahaja, iaitu Kristus. Aku berkata bahawa hukum Taurat, yang datang 430 tahun kemudian, tidak dapat memansuhkan perjanjian yang telah ditetapkan dahulu oleh Allah atau menjadikan janji itu tidak sah lagi. Jika warisan itu daripada hukum Taurat, itu bukanlah lagi berdasarkan janji; tetapi Allah dalam kasih kurnia-Nya telah memberikannya kepada Abraham melalui janji. Kalau begitu, apakah tujuan hukum Taurat? Hukum itu ditambahkan kerana pelanggaran manusia. Hukum itu berterusan sehingga datangnya Benih yang dijanjikan itu, dan hukum itu diberikan melalui malaikat oleh seorang pengantara. Pengantara tidaklah menjadi pengantara bagi satu pihak sahaja; tetapi Allah itu esa. Jadi, adakah hukum Taurat itu berselisih dengan janji-janji Allah? Tidak sekali-kali! Kerana kalaulah ada hukum yang dapat memberikan kehidupan, tentulah perbenaran didapati melalui hukum itu. Namun demikian, Kitab Suci telah menentukan bahawa semuanya terbelenggu oleh dosa, supaya apa yang dijanjikan melalui iman dalam Yesus Kristus dapat diberikan kepada mereka yang percaya. Sebelum datangnya iman, kita dikawal oleh hukum Taurat, dikurung sementara menantikan iman yang akan dinyatakan kelak. Oleh itu, hukum Taurat ialah guru kita, yang membawa kita kepada Kristus untuk diperbenar oleh iman. Tetapi selepas datangnya iman, kita tidak lagi di bawah pengawasan hukum Taurat. Kamu semua telah menjadi anak Allah melalui iman dalam Kristus Yesus. Dan semua antara kamu yang telah dibaptiskan dalam Kristus telah meliputi dirimu dengan Kristus. Tiadalah lagi orang Yahudi atau orang Yunani, hamba atau orang merdeka, lelaki atau perempuan, kamu semua menjadi satu dalam Kristus Yesus. Dan jika kamu milik Kristus, kamu ialah benih Abraham, dan menjadi waris menurut janji itu.