GALATIA 3:1-6
GALATIA 3:1-6 Alkitab Berita Baik (BM)
Orang Galatia, kamu sungguh bodoh! Siapakah telah memukau kamu? Kematian Kristus pada kayu salib sudah aku jelaskan dengan seterang-terangnya kepada kamu! Beritahulah aku satu hal ini: Adakah kamu menerima Roh Allah oleh sebab kamu mengikut Taurat, atau kerana kamu mendengar Berita Baik, lalu mempercayainya? Mengapa kamu menjadi begitu bodoh? Setelah kamu memulakan hidup baru dengan Roh Allah, adakah kamu mahu menamatkannya dengan kekuatan sendiri? Adakah semua yang sudah kamu alami tidak bererti apa-apa? Tentunya pengalaman itu mempunyai erti! Allah mengurniakan Roh-Nya kepada kamu dan melakukan mukjizat-mukjizat antara kamu. Adakah Allah melakukan hal ini kerana kamu mengikut Taurat, atau kerana kamu mendengar Berita Baik lalu mempercayainya? Apa yang telah berlaku kepada Abraham sangatlah mustahak. Di dalam Alkitab tertulis seperti ini, “Abraham percaya kepada Allah, dan kerana kepercayaannya dia diterima oleh Allah sebagai orang yang sudah berbaik semula dengan Allah.”
GALATIA 3:1-6 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
HIE orang Galatia yang bodoh, siapakah yang tŭlah mŭngŭnakan ubatan pada kamu, supaya kamu jangan mŭnurot bŭnar lagi? Kŭrna dimata mata kamu juga Isa Almasih itu dŭngan nyatanya tŭlah digambarkan sudah tŭrsalib diantara kamu. Maka inilah sahja aku handak mŭngatahui deripada kamu, Maka adakah kamu tŭlah mŭnŭrima Roh itu ulih amal tauretkah, atau ulih pŭnŭngaran imankah? Bŭgitukah bodohmu skali? tŭlah sudah mulie dŭngan Roh, maka skarang kamu disampornakan ulih nafsukah? Maka adakah kamu tŭlah mŭrasai sangsara sŭbanyak itu dŭngan sia siakah? jika sia sia skali pun adanya, Maka Allah yang tŭlah mŭngurniakan Roh kapada kamu itu, dan mŭngadakan bŭbrapa mujizat diantara kamu, adakah dipŭrbuatnya itu dŭngan amal tauretkah, atau dŭngan pŭnŭngaran imankah? Maka sungguh pun spŭrti Ibrahim sudah pŭrchaya akan Allah, maka sŭbab itulah iya tŭlah dibilangkan bŭnar.
GALATIA 3:1-6 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Wahai orang Galatia yang tidak berakal! Siapakah yang telah menyihirkan kamu sedangkan di hadapan matamu Yesus Kristus telah jelas ditunjukkan tersalib? Hanya ini yang ingin kuketahui daripadamu: Adakah kamu menerima Roh Kudus kerana mengerjakan hukum Taurat, atau kerana percaya kepada Injil yang dikhabarkan? Di manakah akalmu? Setelah bermula dengan Roh, sekarang kamu hendak menyempurnakan diri dengan kekuatan jasmani? Adakah segala yang kamu deritai itu sia-sia sahaja — kalaulah sebenarnya sia-sia? Tuhan yang mengurniakan Roh-Nya kepadamu dan mengerjakan mukjizat dalam kalanganmu, adakah Dia melakukannya kerana kamu mengerjakan hukum Taurat, atau kerana kamu percaya Injil yang dikhabarkan? Samalah sebagaimana Abraham: “Dia mempercayai Allah, dan hal itu diperhitungkan baginya sebagai perbenaran.”