GALATIA 3:1-29

GALATIA 3:1-29 Alkitab Berita Baik (BM)

Orang Galatia, kamu sungguh bodoh! Siapakah telah memukau kamu? Kematian Kristus pada kayu salib sudah aku jelaskan dengan seterang-terangnya kepada kamu! Beritahulah aku satu hal ini: Adakah kamu menerima Roh Allah oleh sebab kamu mengikut Taurat, atau kerana kamu mendengar Berita Baik, lalu mempercayainya? Mengapa kamu menjadi begitu bodoh? Setelah kamu memulakan hidup baru dengan Roh Allah, adakah kamu mahu menamatkannya dengan kekuatan sendiri? Adakah semua yang sudah kamu alami tidak bererti apa-apa? Tentunya pengalaman itu mempunyai erti! Allah mengurniakan Roh-Nya kepada kamu dan melakukan mukjizat-mukjizat antara kamu. Adakah Allah melakukan hal ini kerana kamu mengikut Taurat, atau kerana kamu mendengar Berita Baik lalu mempercayainya? Apa yang telah berlaku kepada Abraham sangatlah mustahak. Di dalam Alkitab tertulis seperti ini, “Abraham percaya kepada Allah, dan kerana kepercayaannya dia diterima oleh Allah sebagai orang yang sudah berbaik semula dengan Allah.” Demikianlah kamu harus sedar bahawa orang yang percaya kepada Allah ialah orang yang benar-benar keturunan Abraham. Alkitab telah memberitahu terlebih dahulu bahawa Allah memungkinkan orang bukan Yahudi berbaik semula dengan Allah, jika mereka percaya kepada-Nya. Di dalam Alkitab tertulis bahawa Berita Baik itu diberitahu kepada Abraham sebelum perkara itu berlaku, “Melalui engkau, Allah akan memberkati semua umat manusia di atas bumi.” Abraham percaya lalu dia diberkati. Demikianlah Allah memberkati semua orang yang percaya kepada-Nya, seperti Dia memberkati Abraham. Mereka yang bergantung kepada Taurat, hidup di bawah kutukan. Di dalam Alkitab tertulis, “Orang yang tidak melakukan semua yang tertulis di dalam kitab Taurat, dikutuk oleh Allah!” Sekarang nyatalah bahawa tidak seorang pun dapat berbaik semula dengan Allah kerana mengikut Taurat. Hal ini tertulis di dalam Alkitab, “Hanya orang yang percaya kepada Allah sehingga hubungannya dengan Allah menjadi baik semula, akan hidup.” Tetapi Taurat tidak berdasarkan iman. Di dalam Alkitab tertulis, “Orang yang melakukan semua hukum Taurat akan hidup kerana Taurat itu.” Tetapi Kristus telah membebaskan kita daripada kutukan yang didatangkan oleh Taurat. Dia melakukan hal ini dengan membiarkan diri-Nya terkutuk kerana kita. Di dalam Alkitab tertulis, “Terkutuklah orang yang mati digantung pada pokok.” Kristus berbuat demikian supaya berkat yang dijanjikan oleh Allah kepada Abraham, juga boleh diberikan kepada orang bukan Yahudi. Dengan demikian kita yang percaya kepada Allah, dapat menerima Roh yang dijanjikan oleh Allah. Saudara-saudaraku, biarlah aku gunakan contoh daripada pengalaman sehari-hari. Apabila dua orang mengikat janji, lalu menandatangani perjanjian itu, tidak seorang pun dapat membatalkannya ataupun menambahkan apa-apa. Allah telah membuat janji-janji-Nya kepada Abraham dan kepada seorang keturunan Abraham. Di dalam Alkitab tidak tertulis, “dan kepada keturunanmu,” yang bererti banyak orang. Yang tertulis adalah, “dan kepada seorang keturunanmu,” yang bererti seorang sahaja, iaitu Kristus. Inilah yang aku maksudkan: Allah telah membuat satu perjanjian dengan Abraham, dan Allah berjanji hendak memenuhinya. Taurat yang diberikan 430 tahun kemudian tidak dapat memansuhkan perjanjian itu ataupun membatalkan janji Allah. Jika pemberian Allah diberi berdasarkan Taurat, maka pemberian itu tidak diberi berdasarkan janji Allah. Tetapi kerana Allah telah berjanji kepada Abraham, maka Allah memberikan pemberian itu kepadanya. Jika demikian, apakah tujuan Taurat? Taurat diberikan untuk menunjukkan pelanggaran manusia. Taurat itu terus berlaku sehingga kedatangan seorang keturunan Abraham, yang disebut dalam janji Allah kepada Abraham. Taurat disampaikan oleh malaikat-malaikat dengan perantaraan seorang manusia. Seorang perantara diperlukan apabila ada dua pihak. Tetapi Allah tidak memerlukan perantara, kerana Dia sendiri bertindak. Adakah hal ini bererti bahawa Taurat berlawanan dengan janji-janji Allah? Tentu tidak! Jika manusia sudah menerima hukum agama yang dapat memberikan hidup, maka manusia dapat berbaik semula dengan Allah, melalui ketaatan kepada hukum agama itu. Tetapi di dalam Alkitab tertulis bahawa semua umat manusia dikuasai oleh dosa. Oleh itu pemberian yang dijanjikan berdasarkan kepercayaan kepada Yesus Kristus, diberikan kepada mereka yang percaya. Sebelum adanya kepercayaan kepada Kristus, Taurat menawan kita seperti orang tawanan, sehingga iman itu dinyatakan. Dengan demikian Taurat itu menjadi seperti pengawas kita sehingga Kristus datang untuk memungkinkan kita berbaik semula dengan Allah, kerana kita percaya kepada Kristus. Sekarang, kerana sudah tiba masanya manusia dapat percaya kepada Kristus, Taurat tidak perlu mengawasi kita. Kerana kamu percaya kepada Kristus Yesus, maka kamu menjadi anak-anak Allah dan bersatu dengan Kristus Yesus. Kamu semua telah dibaptis dan disatukan dengan Kristus. Oleh itu, sekarang kamu sudah menerima sifat-sifat Kristus sendiri. Dalam hal ini tidak ada lagi perbezaan antara orang Yahudi dengan orang bukan Yahudi, antara abdi dengan orang bebas, antara lelaki dengan perempuan. Kamu semuanya menjadi satu kerana Kristus Yesus. Jika kamu milik Kristus, maka kamu keturunan Abraham dan akan menerima apa yang telah dijanjikan oleh Allah.

GALATIA 3:1-29 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

HIE orang Galatia yang bodoh, siapakah yang tŭlah mŭngŭnakan ubatan pada kamu, supaya kamu jangan mŭnurot bŭnar lagi? Kŭrna dimata mata kamu juga Isa Almasih itu dŭngan nyatanya tŭlah digambarkan sudah tŭrsalib diantara kamu. Maka inilah sahja aku handak mŭngatahui deripada kamu, Maka adakah kamu tŭlah mŭnŭrima Roh itu ulih amal tauretkah, atau ulih pŭnŭngaran imankah? Bŭgitukah bodohmu skali? tŭlah sudah mulie dŭngan Roh, maka skarang kamu disampornakan ulih nafsukah? Maka adakah kamu tŭlah mŭrasai sangsara sŭbanyak itu dŭngan sia siakah? jika sia sia skali pun adanya, Maka Allah yang tŭlah mŭngurniakan Roh kapada kamu itu, dan mŭngadakan bŭbrapa mujizat diantara kamu, adakah dipŭrbuatnya itu dŭngan amal tauretkah, atau dŭngan pŭnŭngaran imankah? Maka sungguh pun spŭrti Ibrahim sudah pŭrchaya akan Allah, maka sŭbab itulah iya tŭlah dibilangkan bŭnar. Maka sŭbab itu kŭtahuilah ulih kamu, adapun sagala orang yang bŭriman itu, maka marika itu pun anak Ibrahim adanya. Kŭrna sŭbab ditilik ulih kitab dahulu, bahwa Allah kŭlak akan mŭmbŭnarkan orang orang sŭsat itu deri sŭbab iman; maka tŭlah dibri tahu dahulu Injil itu kapada Ibrahim, katanya, Maka deripada angkaulah kŭlak sagala bangsa manusia akan bŭrulih slamat. Sŭbab dŭmkian itu, maka orang yang bŭriman itu pun bŭrulih bŭrkat bŭsŭrta dŭngan Ibrahim yang bŭrsŭtia itu. Kŭrna sŭbanyak orang yang ada deripada amal tauret itu, maka iya itu dibawah kutok adanya; kŭrna tŭlah tŭrsurat, Maka kutoklah kiranya sagala orang yang tiada tŭtap bŭrbuat akan sagala sŭsuatu yang ada tŭrsŭbut dalam kitab tauret. Maka tŭntulah sudah sa’orang pun tiada dibŭnarkan ulih tauret dihadapan Allah, kŭrna orang yang bŭnar itu akan slamat sŭbab iman. Adapun tauret itu bukannya pohon iman, mŭlainkan manusia yang mŭlakukan sagala pŭrkaranya itu akan slamat dalam dia. Maka Almasih tŭlah mŭnŭbos kami deripada kutok tauret itu, sŭbab iya tŭlah kŭna kutok sŭbab kami; kŭrna tŭlah tŭrsurat, Kutoklah kiranya barang siapa yang tŭrgantong kapada kayu; Supaya slamat Ibrahim itu bulih sampie kapada sagala orang orang sŭsat itu dŭngan bŭrkat Isa Almasih, dan supaya kami pun bulih mŭnŭrima pŭrjanjian Roh itu ulih sŭbab iman. Hie saudara saudaraku, bahwa aku bŭrkata ini chara adat manusia; mŭskipun kalau wasihat sa’orang manusia, tapi jikalau sudah ditŭntukan skali pun, maka sa’orang pun tiada dapat mŭnidakkan itu, atau mŭnambahi barang suatu padanya. Adapun sagala pŭrjanjian itu tŭlah dipŭrbuat kapada Ibrahim, dan pada bŭnihnya; maka bukannya Allah bŭrkata kapada bŭnih bŭnihnya itu derihal banyak orang, mŭlainkan derihal sa’orang juga, katanya, Dan pada bŭnihmu, iya itu Almasih. Maka aku bŭrkata ini, adapun pŭrjanjian yang tŭlah ditŭntukan Allah dahulu akan hal Almasih itu ta’bulih ditidakkan ulih tauret, iya itu yang jadi ampat ratus tiga puloh tahun kumdian, supaya jangan pŭrjanjian itu digunakan. Kŭrna jikalau kiranya pusaka itu jadi deripada tauret, maka iya itu bukannya lagi deripada pŭrjanjian; akan tŭtapi tŭlah dikurniakan Allah pusaka itu kapada Ibrahim dŭngan pŭrjanjian. Maka kalau bŭgitu, apatah gunanya tauret itu? Adapun iya itu ditambahi ulih sŭbab kŭsalahan, sahingga datang bŭnih itu, maka kapadanyalah pŭrjanjian itu tŭlah dikurniakan; maka iya itu tŭlah ditŭntukan ulih mŭliekat mŭliekat dŭngan tangan sa’orang pŭngantara. Adapun pŭngantara itu bukannya iya pada sŭblah sa’orang sahja, tŭtapi Allah itu asa juga adanya. Kalau bŭgitu, adakah hukum tauret itu mŭlawan pŭrjanjian Allah itu? Dijahukan Allah: kŭrna jikalau kiranya tauret yang tŭlah dikurniakan itu mŭndatangkan slamat, sŭsungguhnyalah kabŭnaran itu patut jadi deripada tauretlah. Tŭtapi kitab Allah itu tŭlah mŭnŭntukan sagala manusia dalam dosa, supaya pŭrjanjian itu ulih sŭbab bŭrimankan Isa Almasih itu dapat dikurniakan kapada sagala orang yang bŭriman. Tŭtapi sŭbŭlom datang iman itu, maka kami skalian tŭlah dibawah hukum tauret tŭrkurong kapada iman yang akan patut dinyatakan kŭlak. Maka sŭbab itulah tauret itu mŭnjadi guru yang mŭmbawa kapada Almasih, supaya kami ini dibŭnarkan ulih iman. Tŭtapi sŭtlah sudah datang iman itu, maka kami ini tiada dibawah prentah guru lagi. Kŭrna kamu skalian anak anak Allah, ulih sŭbab bŭrimankan Isa Almasih. Kŭrna sŭbrapa kamu yang tŭlah dibaptisakan kapada Almasih tŭlah mŭmakie akan Almasih. Iya itu baik Yahudi baik Grika, baik abdi, atau mŭrdehka, baik laki laki, atau pŭrampuan, kŭrna kamu skalian ini satu adanya kapada Isa Almasih. Dan jikalau kamu milik Almasih, maka kamulah juga bŭnih Ibrahim, dan warith warith mŭnurot pŭrjanjian itu.

GALATIA 3:1-29 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Wahai orang Galatia yang tidak berakal! Siapakah yang telah menyihirkan kamu sedangkan di hadapan matamu Yesus Kristus telah jelas ditunjukkan tersalib? Hanya ini yang ingin kuketahui daripadamu: Adakah kamu menerima Roh Kudus kerana mengerjakan hukum Taurat, atau kerana percaya kepada Injil yang dikhabarkan? Di manakah akalmu? Setelah bermula dengan Roh, sekarang kamu hendak menyempurnakan diri dengan kekuatan jasmani? Adakah segala yang kamu deritai itu sia-sia sahaja — kalaulah sebenarnya sia-sia? Tuhan yang mengurniakan Roh-Nya kepadamu dan mengerjakan mukjizat dalam kalanganmu, adakah Dia melakukannya kerana kamu mengerjakan hukum Taurat, atau kerana kamu percaya Injil yang dikhabarkan? Samalah sebagaimana Abraham: “Dia mempercayai Allah, dan hal itu diperhitungkan baginya sebagai perbenaran.” Oleh itu ketahuilah, hanya mereka yang beriman dianggap anak cucu Abraham. Oleh sebab telah diketahui bahawa Allah akan memperbenar bangsa asing melalui iman, Kitab Suci telah menyampaikan Injil itu kepada Abraham terlebih dahulu: “Melalui engkau, semua bangsa akan diberkati.” Dengan demikian, semua orang yang beriman diberkati bersama Abraham yang beriman. Setiap orang yang bergantung kepada usahanya sendiri mengerjakan hukum Taurat adalah terlaknat, kerana sudah tersurat: “Terlaknatlah orang yang tidak terus-menerus melakukan segala yang tersurat dalam Hukum Kitab Taurat.” Jelaslah bahawa tiada siapa pun diperbenar di mata Allah dengan mengerjakan hukum Taurat, kerana, “Orang yang benar akan hidup dengan iman.” Hukum Taurat tidak berdasarkan iman; tetapi, “Orang yang melakukan hal-hal ini akan hidup mengikutnya.” Kristus telah menebus kita daripada laknat hukum Taurat itu dengan menanggung laknat itu untuk kita, kerana telah tersurat: “Terlaknatlah setiap orang yang tergantung pada kayu salib.” Dia menebus kita supaya berkat Abraham datang kepada bangsa asing melalui Kristus Yesus, dan kita menerima Roh yang dijanjikan itu melalui iman. Saudara-saudara, aku hendak menggunakan contoh daripada hidup sehari-hari. Walaupun suatu perjanjian hanya antara manusia, namun setelah ditetapkan, tiada siapa harus memansuhkannya atau menolak-tambah padanya, begitulah juga hal ini. Janji Allah telah dibuat kepada Abraham dan keturunannya. Kitab Suci tidak menyebut “dan kepada keturunan-keturunannya,” dengan erti ramai orang, tetapi “dan kepada keturunanmu,” yang bererti seorang sahaja, iaitu Kristus. Aku berkata bahawa hukum Taurat, yang datang 430 tahun kemudian, tidak dapat memansuhkan perjanjian yang telah ditetapkan dahulu oleh Allah atau menjadikan janji itu tidak sah lagi. Jika warisan itu daripada hukum Taurat, itu bukanlah lagi berdasarkan janji; tetapi Allah dalam kasih kurnia-Nya telah memberikannya kepada Abraham melalui janji. Kalau begitu, apakah tujuan hukum Taurat? Hukum itu ditambahkan kerana pelanggaran manusia. Hukum itu berterusan sehingga datangnya Benih yang dijanjikan itu, dan hukum itu diberikan melalui malaikat oleh seorang pengantara. Pengantara tidaklah menjadi pengantara bagi satu pihak sahaja; tetapi Allah itu esa. Jadi, adakah hukum Taurat itu berselisih dengan janji-janji Allah? Tidak sekali-kali! Kerana kalaulah ada hukum yang dapat memberikan kehidupan, tentulah perbenaran didapati melalui hukum itu. Namun demikian, Kitab Suci telah menentukan bahawa semuanya terbelenggu oleh dosa, supaya apa yang dijanjikan melalui iman dalam Yesus Kristus dapat diberikan kepada mereka yang percaya. Sebelum datangnya iman, kita dikawal oleh hukum Taurat, dikurung sementara menantikan iman yang akan dinyatakan kelak. Oleh itu, hukum Taurat ialah guru kita, yang membawa kita kepada Kristus untuk diperbenar oleh iman. Tetapi selepas datangnya iman, kita tidak lagi di bawah pengawasan hukum Taurat. Kamu semua telah menjadi anak Allah melalui iman dalam Kristus Yesus. Dan semua antara kamu yang telah dibaptiskan dalam Kristus telah meliputi dirimu dengan Kristus. Tiadalah lagi orang Yahudi atau orang Yunani, hamba atau orang merdeka, lelaki atau perempuan, kamu semua menjadi satu dalam Kristus Yesus. Dan jika kamu milik Kristus, kamu ialah benih Abraham, dan menjadi waris menurut janji itu.