GALATIA 3:1-14
GALATIA 3:1-14 Alkitab Berita Baik (BM)
Orang Galatia, kamu sungguh bodoh! Siapakah telah memukau kamu? Kematian Kristus pada kayu salib sudah aku jelaskan dengan seterang-terangnya kepada kamu! Beritahulah aku satu hal ini: Adakah kamu menerima Roh Allah oleh sebab kamu mengikut Taurat, atau kerana kamu mendengar Berita Baik, lalu mempercayainya? Mengapa kamu menjadi begitu bodoh? Setelah kamu memulakan hidup baru dengan Roh Allah, adakah kamu mahu menamatkannya dengan kekuatan sendiri? Adakah semua yang sudah kamu alami tidak bererti apa-apa? Tentunya pengalaman itu mempunyai erti! Allah mengurniakan Roh-Nya kepada kamu dan melakukan mukjizat-mukjizat antara kamu. Adakah Allah melakukan hal ini kerana kamu mengikut Taurat, atau kerana kamu mendengar Berita Baik lalu mempercayainya? Apa yang telah berlaku kepada Abraham sangatlah mustahak. Di dalam Alkitab tertulis seperti ini, “Abraham percaya kepada Allah, dan kerana kepercayaannya dia diterima oleh Allah sebagai orang yang sudah berbaik semula dengan Allah.” Demikianlah kamu harus sedar bahawa orang yang percaya kepada Allah ialah orang yang benar-benar keturunan Abraham. Alkitab telah memberitahu terlebih dahulu bahawa Allah memungkinkan orang bukan Yahudi berbaik semula dengan Allah, jika mereka percaya kepada-Nya. Di dalam Alkitab tertulis bahawa Berita Baik itu diberitahu kepada Abraham sebelum perkara itu berlaku, “Melalui engkau, Allah akan memberkati semua umat manusia di atas bumi.” Abraham percaya lalu dia diberkati. Demikianlah Allah memberkati semua orang yang percaya kepada-Nya, seperti Dia memberkati Abraham. Mereka yang bergantung kepada Taurat, hidup di bawah kutukan. Di dalam Alkitab tertulis, “Orang yang tidak melakukan semua yang tertulis di dalam kitab Taurat, dikutuk oleh Allah!” Sekarang nyatalah bahawa tidak seorang pun dapat berbaik semula dengan Allah kerana mengikut Taurat. Hal ini tertulis di dalam Alkitab, “Hanya orang yang percaya kepada Allah sehingga hubungannya dengan Allah menjadi baik semula, akan hidup.” Tetapi Taurat tidak berdasarkan iman. Di dalam Alkitab tertulis, “Orang yang melakukan semua hukum Taurat akan hidup kerana Taurat itu.” Tetapi Kristus telah membebaskan kita daripada kutukan yang didatangkan oleh Taurat. Dia melakukan hal ini dengan membiarkan diri-Nya terkutuk kerana kita. Di dalam Alkitab tertulis, “Terkutuklah orang yang mati digantung pada pokok.” Kristus berbuat demikian supaya berkat yang dijanjikan oleh Allah kepada Abraham, juga boleh diberikan kepada orang bukan Yahudi. Dengan demikian kita yang percaya kepada Allah, dapat menerima Roh yang dijanjikan oleh Allah.
GALATIA 3:1-14 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
HIE orang Galatia yang bodoh, siapakah yang tŭlah mŭngŭnakan ubatan pada kamu, supaya kamu jangan mŭnurot bŭnar lagi? Kŭrna dimata mata kamu juga Isa Almasih itu dŭngan nyatanya tŭlah digambarkan sudah tŭrsalib diantara kamu. Maka inilah sahja aku handak mŭngatahui deripada kamu, Maka adakah kamu tŭlah mŭnŭrima Roh itu ulih amal tauretkah, atau ulih pŭnŭngaran imankah? Bŭgitukah bodohmu skali? tŭlah sudah mulie dŭngan Roh, maka skarang kamu disampornakan ulih nafsukah? Maka adakah kamu tŭlah mŭrasai sangsara sŭbanyak itu dŭngan sia siakah? jika sia sia skali pun adanya, Maka Allah yang tŭlah mŭngurniakan Roh kapada kamu itu, dan mŭngadakan bŭbrapa mujizat diantara kamu, adakah dipŭrbuatnya itu dŭngan amal tauretkah, atau dŭngan pŭnŭngaran imankah? Maka sungguh pun spŭrti Ibrahim sudah pŭrchaya akan Allah, maka sŭbab itulah iya tŭlah dibilangkan bŭnar. Maka sŭbab itu kŭtahuilah ulih kamu, adapun sagala orang yang bŭriman itu, maka marika itu pun anak Ibrahim adanya. Kŭrna sŭbab ditilik ulih kitab dahulu, bahwa Allah kŭlak akan mŭmbŭnarkan orang orang sŭsat itu deri sŭbab iman; maka tŭlah dibri tahu dahulu Injil itu kapada Ibrahim, katanya, Maka deripada angkaulah kŭlak sagala bangsa manusia akan bŭrulih slamat. Sŭbab dŭmkian itu, maka orang yang bŭriman itu pun bŭrulih bŭrkat bŭsŭrta dŭngan Ibrahim yang bŭrsŭtia itu. Kŭrna sŭbanyak orang yang ada deripada amal tauret itu, maka iya itu dibawah kutok adanya; kŭrna tŭlah tŭrsurat, Maka kutoklah kiranya sagala orang yang tiada tŭtap bŭrbuat akan sagala sŭsuatu yang ada tŭrsŭbut dalam kitab tauret. Maka tŭntulah sudah sa’orang pun tiada dibŭnarkan ulih tauret dihadapan Allah, kŭrna orang yang bŭnar itu akan slamat sŭbab iman. Adapun tauret itu bukannya pohon iman, mŭlainkan manusia yang mŭlakukan sagala pŭrkaranya itu akan slamat dalam dia. Maka Almasih tŭlah mŭnŭbos kami deripada kutok tauret itu, sŭbab iya tŭlah kŭna kutok sŭbab kami; kŭrna tŭlah tŭrsurat, Kutoklah kiranya barang siapa yang tŭrgantong kapada kayu; Supaya slamat Ibrahim itu bulih sampie kapada sagala orang orang sŭsat itu dŭngan bŭrkat Isa Almasih, dan supaya kami pun bulih mŭnŭrima pŭrjanjian Roh itu ulih sŭbab iman.
GALATIA 3:1-14 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Wahai orang Galatia yang tidak berakal! Siapakah yang telah menyihirkan kamu sedangkan di hadapan matamu Yesus Kristus telah jelas ditunjukkan tersalib? Hanya ini yang ingin kuketahui daripadamu: Adakah kamu menerima Roh Kudus kerana mengerjakan hukum Taurat, atau kerana percaya kepada Injil yang dikhabarkan? Di manakah akalmu? Setelah bermula dengan Roh, sekarang kamu hendak menyempurnakan diri dengan kekuatan jasmani? Adakah segala yang kamu deritai itu sia-sia sahaja — kalaulah sebenarnya sia-sia? Tuhan yang mengurniakan Roh-Nya kepadamu dan mengerjakan mukjizat dalam kalanganmu, adakah Dia melakukannya kerana kamu mengerjakan hukum Taurat, atau kerana kamu percaya Injil yang dikhabarkan? Samalah sebagaimana Abraham: “Dia mempercayai Allah, dan hal itu diperhitungkan baginya sebagai perbenaran.” Oleh itu ketahuilah, hanya mereka yang beriman dianggap anak cucu Abraham. Oleh sebab telah diketahui bahawa Allah akan memperbenar bangsa asing melalui iman, Kitab Suci telah menyampaikan Injil itu kepada Abraham terlebih dahulu: “Melalui engkau, semua bangsa akan diberkati.” Dengan demikian, semua orang yang beriman diberkati bersama Abraham yang beriman. Setiap orang yang bergantung kepada usahanya sendiri mengerjakan hukum Taurat adalah terlaknat, kerana sudah tersurat: “Terlaknatlah orang yang tidak terus-menerus melakukan segala yang tersurat dalam Hukum Kitab Taurat.” Jelaslah bahawa tiada siapa pun diperbenar di mata Allah dengan mengerjakan hukum Taurat, kerana, “Orang yang benar akan hidup dengan iman.” Hukum Taurat tidak berdasarkan iman; tetapi, “Orang yang melakukan hal-hal ini akan hidup mengikutnya.” Kristus telah menebus kita daripada laknat hukum Taurat itu dengan menanggung laknat itu untuk kita, kerana telah tersurat: “Terlaknatlah setiap orang yang tergantung pada kayu salib.” Dia menebus kita supaya berkat Abraham datang kepada bangsa asing melalui Kristus Yesus, dan kita menerima Roh yang dijanjikan itu melalui iman.