GALATIA 2:11-21

GALATIA 2:11-21 Alkitab Berita Baik (BM)

Ketika Petrus datang ke Antiokhia, aku menentang dia di hadapan umum, kerana apa yang dilakukannya salah. Pada mulanya Petrus makan dengan saudara-saudara bukan Yahudi. Tetapi setelah beberapa orang yang diutus oleh Yakobus tiba, Petrus menjauhkan diri daripada saudara bukan Yahudi dan tidak mahu duduk makan dengan mereka. Petrus takut akan orang yang berpendapat bahawa orang bukan Yahudi yang percaya kepada Kristus pun harus disunat. Saudara Yahudi yang lain pula bersikap munafik seperti Petrus. Bahkan Barnabas pun terpengaruh untuk bersikap seperti mereka. Ketika aku melihat sikap mereka tidak sesuai dengan ajaran Berita Baik yang benar itu, aku berkata kepada Petrus di hadapan semua orang di situ, “Kamu orang Yahudi, tetapi kamu hidup seperti orang bukan Yahudi. Mengapa kamu sekarang mahu memaksa orang bukan Yahudi hidup seperti orang Yahudi?” Memang benar kami ini dilahirkan sebagai orang Yahudi, dan bukan “orang bukan Yahudi yang berdosa”. Meskipun demikian kami tahu bahawa orang berbaik semula dengan Allah kerana percaya kepada Yesus Kristus, dan bukan kerana mengikut Taurat. Kami pun percaya kepada Yesus Kristus, supaya kami berbaik semula dengan Allah melalui iman kami, bukan kerana kami mengikut Taurat. Dengan mengikut Taurat, tiada seorang pun dapat berbaik semula dengan Allah. Dalam usaha kami untuk berbaik semula dengan Allah melalui hidup bersatu dengan Kristus, ternyata kami masih orang berdosa juga seperti orang bukan Yahudi. Adakah hal ini bererti bahawa Kristus yang menyebabkan kami berdosa? Tentu tidak! Jika aku mula membina semula sistem Taurat yang telah aku runtuhkan, maka aku menunjukkan bahawa aku sudah melanggar hukum. Terhadap Taurat, aku ini seperti sudah mati. Aku telah dimatikan oleh Taurat itu sendiri, supaya aku dapat hidup untuk Allah. Aku sudah disalibkan bersama-sama Kristus. Yang hidup sekarang ini bukanlah aku, tetapi Kristus yang hidup dalam diriku. Hidup yang aku hayati sekarang ini adalah hidup dengan iman kepada Anak Allah yang mengasihi aku dan yang telah mengorbankan diri-Nya untuk aku. Aku tidak menolak rahmat Allah. Jika hubungan orang dengan Allah menjadi baik semula kerana mengikut Taurat, hal itu bererti kematian Kristus sia-sia sahaja!

GALATIA 2:11-21 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

Maka tŭtkala Petros tŭlah sampielah kanŭgri Antiok, maka aku katalah bŭrtalaran dŭngan dia, sŭbab iya patut disalahkan. Kŭrna dahulu deripada sianu sianu itu datang deripada Yakob, maka Petros tŭlah makan dŭngan orang orang sŭsat, tŭtapi apabila datanglah marika itu, maka undorlah iya sŭrta mŭnchŭriekan dirinya, sŭbab takotnya akan orang orang yang bŭrsunat itu. Dan lagi orang Yahudi lain lain pun tŭrsipu sipulah dŭngan dia, sampielah Bernabas pun dibawalah ulih kasipu sipuannya. Tŭtapi dŭmi kulihat pŭrjalanan marika itu tiada dŭngan bŭtulnya, spŭrti kabŭnaran Injil, maka kataku kapada Petros dihadapan marika itu skalian, Maka jikalau kiranya angkau ini sa’orang Yahudi, dudok chara orang sŭsat, dan bukannya chara orang Yahudi, mŭngapa angkau mŭngagahi orang sŭsat supaya dudok chara orang Yahudi. Adapun kami yang bŭrasal orang Yahudi, dan bukannya orang bŭrdosa deripada bangsa sŭsat, Kami mŭngatahui bahwa sa’orang manusia itu tiada dibŭnarkan ulih amal tauret, mŭlainkan ulih bŭrimankan Isa Almasih, sungguh pun kami tŭlah pŭrchaya akan Isa Almasih, supaya kami dibŭnarkan ulih iman Almasih, dan bukannya kŭrna amal tauret: kŭrna ulih amal tauret itu sa’orang manusia tiada dibŭnarkan. Tŭtapi jikalau kami slagi handak dibŭnarkan ulih Almasih, maka kami pun akan didapati orang bŭrdosa, adakah Almasih itu pŭnghulu dosa? dijauhkan Allah. Kŭrna jikalau aku mŭmbangunkan pula barang yang tŭlah kurombakkan itu, nŭschaya aku jadikan diriku sa’orang yang bŭrsalah. Kŭrna dŭngan tulongan tauret aku tŭlah mŭmatikan diriku derihal tauret, supaya aku hidop kŭrna Allah Maka aku sudah disalibkan sŭrta dŭngan Almasih: kandatilah aku hidop juga; tapi bukannya aku, mŭlainkan Almasihlah yang ada hidop dalam diriku: adapun kahidopan yang skarang aku ada hidop dalam diri, bahwa aku hidop ulih bŭriman akan Anak Allah, yang tŭlah mŭngasihi aku, dan tŭlah mŭnyŭrahkan dirinya sŭbab aku. Maka tiadalah aku mŭngsia siakan anugrah Allah itu; kŭrna jikalau kiranya kabŭnaran itu deri tauret datangnya, nŭschaya Almasih itu tŭlah mati dŭngan sia sialah.

GALATIA 2:11-21 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Tetapi apabila Petrus datang ke Antiokhia, aku bersemuka dengannya dan membantah perbuatannya, kerana dia bersalah. Sebelum beberapa orang datang daripada Yakobus, Petrus makan bersama bangsa asing. Akan tetapi apabila mereka datang, dia berundur dan mengasingkan diri, disebabkan takut akan orang yang berpegang kepada persunatan. Orang Yahudi yang lain turut bersikap munafik, sehingga Barnabas pun tersesat kerana kemunafikan itu. Aku lihat kelakuan mereka itu tidak menepati kebenaran Injil, lalu aku berkata kepada Petrus di hadapan semuanya, “Jika kamu, orang Yahudi, hidup seperti orang bangsa asing dan tidak seperti orang Yahudi, mengapakah kamu memaksa orang bangsa asing menurut adat orang Yahudi?” Kita memang asal orang Yahudi bukan orang berdosa daripada bangsa asing; tetapi kita mengetahui bahawa seseorang itu diperbenar bukanlah kerana mengerjakan hukum Taurat tetapi kerana beriman akan Kristus Yesus. Oleh itu, kita pun mempercayai Kristus, supaya kita diperbenar kerana beriman akan Kristus, bukan kerana mengerjakan hukum Taurat. Tiada seorang pun manusia yang diperbenar kerana mengerjakan hukum Taurat. Tetapi, ketika kita berusaha untuk diperbenar melalui Kristus, ternyata kita sendiri didapati berdosa, adakah ini bermakna Kristus hamba kepada dosa? Tidak sekali-kali! Kalaulah kubina semula apa yang pernah kuruntuhkan, nyatalah aku seorang pelanggar hukum. Melalui hukum Taurat, aku telah mati kepada hukum itu untuk hidup kepada Allah. Aku telah disalib bersama Kristus, bukanlah aku lagi yang hidup, tetapi Kristus yang hidup dalam aku. Dalam hidup jasadku sekarang aku hidup dengan iman kepada Anak Allah, yang mengasihiku dan menyerahkan diri-Nya untukku. Aku tidak mengetepikan kasih kurnia Allah, kerana jika pembenaran datang daripada hukum Taurat, sia-sialah kematian Kristus!