GALATIA 2:1-21

GALATIA 2:1-21 Alkitab Berita Baik (BM)

Empat belas tahun kemudian, aku kembali ke Yerusalem bersama dengan Barnabas, dan Titus turut menyertai kami. Aku pergi ke Yerusalem kerana Allah menyatakan kehendak-Nya bahawa aku harus pergi. Dalam satu perjumpaan khas dengan para pemimpin Kristian di situ, aku menjelaskan Berita Baik yang aku khabarkan kepada orang bukan Yahudi. Aku tidak mahu usahaku, baik yang dahulu mahupun yang sekarang menjadi sia-sia. Sahabatku Titus, meskipun dia seorang Yunani, tidak dipaksa supaya bersunat, walaupun ada orang yang menginginkan hal itu. Mereka itu orang yang menyeludup ke dalam kumpulan kita dan berpura-pura menjadi saudara. Mereka mengintip kita untuk mengetahui kebebasan yang kita alami kerana bersatu dengan Kristus Yesus. Mereka mahu kita diperhamba semula. Tetapi kami sama sekali tidak bersetuju dengan tuntutan mereka, kerana kami hendak menjaga kemurnian Berita Baik itu untuk kamu. Mereka yang dianggap sebagai pemimpin Kristian, tidak menganjurkan apa-apa yang baru. Aku berkata demikian kerana aku tidak memandang kepada kedudukan mereka, kerana Allah pun tidak memandang kepada rupa orang. Sebaliknya mereka mengaku bahawa Allah telah menugaskan aku mengkhabarkan Berita Baik kepada orang bukan Yahudi, sebagaimana Allah telah menugaskan Petrus mengkhabarkan Berita Baik kepada orang Yahudi. Allah menjadikan aku rasul kepada orang bukan Yahudi, sebagaimana Allah menjadikan Petrus rasul kepada orang Yahudi. Yakobus, Petrus, dan Yohanes, yang nampaknya menjadi pemimpin Kristian, mengaku bahawa Allah telah memberi aku tugas yang khas itu. Oleh itu mereka berjabat tangan dengan Barnabas dan aku sebagai tanda bahawa kami ini rakan sekerja. Lalu mereka dan kami bersetuju bahawa Barnabas dan aku akan bekerja di kalangan orang bukan Yahudi, sedangkan mereka di kalangan orang Yahudi. Hanya satu permintaan mereka iaitu supaya kami sentiasa memperhatikan orang miskin di kalangan mereka. Perkara itu memang ingin aku lakukan. Ketika Petrus datang ke Antiokhia, aku menentang dia di hadapan umum, kerana apa yang dilakukannya salah. Pada mulanya Petrus makan dengan saudara-saudara bukan Yahudi. Tetapi setelah beberapa orang yang diutus oleh Yakobus tiba, Petrus menjauhkan diri daripada saudara bukan Yahudi dan tidak mahu duduk makan dengan mereka. Petrus takut akan orang yang berpendapat bahawa orang bukan Yahudi yang percaya kepada Kristus pun harus disunat. Saudara Yahudi yang lain pula bersikap munafik seperti Petrus. Bahkan Barnabas pun terpengaruh untuk bersikap seperti mereka. Ketika aku melihat sikap mereka tidak sesuai dengan ajaran Berita Baik yang benar itu, aku berkata kepada Petrus di hadapan semua orang di situ, “Kamu orang Yahudi, tetapi kamu hidup seperti orang bukan Yahudi. Mengapa kamu sekarang mahu memaksa orang bukan Yahudi hidup seperti orang Yahudi?” Memang benar kami ini dilahirkan sebagai orang Yahudi, dan bukan “orang bukan Yahudi yang berdosa”. Meskipun demikian kami tahu bahawa orang berbaik semula dengan Allah kerana percaya kepada Yesus Kristus, dan bukan kerana mengikut Taurat. Kami pun percaya kepada Yesus Kristus, supaya kami berbaik semula dengan Allah melalui iman kami, bukan kerana kami mengikut Taurat. Dengan mengikut Taurat, tiada seorang pun dapat berbaik semula dengan Allah. Dalam usaha kami untuk berbaik semula dengan Allah melalui hidup bersatu dengan Kristus, ternyata kami masih orang berdosa juga seperti orang bukan Yahudi. Adakah hal ini bererti bahawa Kristus yang menyebabkan kami berdosa? Tentu tidak! Jika aku mula membina semula sistem Taurat yang telah aku runtuhkan, maka aku menunjukkan bahawa aku sudah melanggar hukum. Terhadap Taurat, aku ini seperti sudah mati. Aku telah dimatikan oleh Taurat itu sendiri, supaya aku dapat hidup untuk Allah. Aku sudah disalibkan bersama-sama Kristus. Yang hidup sekarang ini bukanlah aku, tetapi Kristus yang hidup dalam diriku. Hidup yang aku hayati sekarang ini adalah hidup dengan iman kepada Anak Allah yang mengasihi aku dan yang telah mengorbankan diri-Nya untuk aku. Aku tidak menolak rahmat Allah. Jika hubungan orang dengan Allah menjadi baik semula kerana mengikut Taurat, hal itu bererti kematian Kristus sia-sia sahaja!

GALATIA 2:1-21 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

ADAPUN sŭtlah ampatblas tahun kumdian naiklah pula aku kaJerusalem sŭrta dŭngan Barnabas, sambil kubawa pula Titus bŭrsama sama. Adapun aku pŭrgi itu dŭngan pŭrtunjokkan Allah, lalu aku mŭnchŭrtrakan kapada marika itu akan Injil yang tŭlah kuajarkan diantara orang orang sŭsat, akan tŭtapi dŭngan diam diam kapada orang orang yang tŭrbilang, asal jangan kŭlak aku bŭrusaha, atau tŭlah bŭrusaha dŭngan sia sia. Baik Titus, yang tŭlah bŭrsama sama dŭngan aku, sungguh pun sa’orang Grika, tiada digagahi suroh bŭrsunat. Maka iya itu sŭbab saudara saudara lanchong yang mŭnyamarkan dŭngan bŭrsŭmbunyi, handak mŭngintie kabibasan kami, yang tŭlah kami bŭrulih deripada Isa Almasih, supaya dapat diajaknya kami kadalam ikatan taurat. Maka tiada kami tundok kapada marika itu, sa’jam pun tidak; supaya kabŭnaran Injil itu tŭtap dŭngan kamu. Tŭtapi deri hal orang orang yang tampaknya tŭrbilang, barang apa pun baik halnya, tiada apa kapada aku: bahwa Allah tiada mŭngindahkan muka barang sa’orang manusia: kŭrna orang orang yang tampaknya tŭrbilang dalam fakatan itu tiadalah mŭnambah suatu jua pun padaku. Mŭlainkan apabila dilihatnya, bahwa jawatan mŭngajar Injil kapada orang yang tiada bŭrsunat itu, disŭrahkan kapadaku, spŭrti jawatan mŭngajar Injil kapada orang yang bŭrsunat itu tŭlah disŭrahkan kapada Petros. Kŭrna Tuhan yang tŭlah mŭlakukan dŭngan tŭntunya dalam hati Petros atas jawatan rasul kapada orang yang bŭrsunat, maka dŭmkianlah juga Tuhan tŭlah mŭlakukan dŭngan sangat kwasa dalam hatiku pun kapada orang sŭsat. Maka apabila Yakob, dan Kephas, dan Yahya, yang tampak spŭrti sukong sukong, tŭlah mŭndapat kanyataan anugrah itu, yang tŭlah dikurniakan pada aku, maka marika itu mŭnjabatkan aku dan Bernabas dŭngan tangan kanan pŭrsukutuan, supaya kami pŭrgi mŭngajar akan orang orang sŭsat, dan marika itu pun pŭrgi mŭngajar orang orang yang bŭrsunat. Mŭlainkan dipintanya supaya kami ingat akan orang orang miskin; maka dŭmkianlah juga niatku handak bŭrbuat. Maka tŭtkala Petros tŭlah sampielah kanŭgri Antiok, maka aku katalah bŭrtalaran dŭngan dia, sŭbab iya patut disalahkan. Kŭrna dahulu deripada sianu sianu itu datang deripada Yakob, maka Petros tŭlah makan dŭngan orang orang sŭsat, tŭtapi apabila datanglah marika itu, maka undorlah iya sŭrta mŭnchŭriekan dirinya, sŭbab takotnya akan orang orang yang bŭrsunat itu. Dan lagi orang Yahudi lain lain pun tŭrsipu sipulah dŭngan dia, sampielah Bernabas pun dibawalah ulih kasipu sipuannya. Tŭtapi dŭmi kulihat pŭrjalanan marika itu tiada dŭngan bŭtulnya, spŭrti kabŭnaran Injil, maka kataku kapada Petros dihadapan marika itu skalian, Maka jikalau kiranya angkau ini sa’orang Yahudi, dudok chara orang sŭsat, dan bukannya chara orang Yahudi, mŭngapa angkau mŭngagahi orang sŭsat supaya dudok chara orang Yahudi. Adapun kami yang bŭrasal orang Yahudi, dan bukannya orang bŭrdosa deripada bangsa sŭsat, Kami mŭngatahui bahwa sa’orang manusia itu tiada dibŭnarkan ulih amal tauret, mŭlainkan ulih bŭrimankan Isa Almasih, sungguh pun kami tŭlah pŭrchaya akan Isa Almasih, supaya kami dibŭnarkan ulih iman Almasih, dan bukannya kŭrna amal tauret: kŭrna ulih amal tauret itu sa’orang manusia tiada dibŭnarkan. Tŭtapi jikalau kami slagi handak dibŭnarkan ulih Almasih, maka kami pun akan didapati orang bŭrdosa, adakah Almasih itu pŭnghulu dosa? dijauhkan Allah. Kŭrna jikalau aku mŭmbangunkan pula barang yang tŭlah kurombakkan itu, nŭschaya aku jadikan diriku sa’orang yang bŭrsalah. Kŭrna dŭngan tulongan tauret aku tŭlah mŭmatikan diriku derihal tauret, supaya aku hidop kŭrna Allah Maka aku sudah disalibkan sŭrta dŭngan Almasih: kandatilah aku hidop juga; tapi bukannya aku, mŭlainkan Almasihlah yang ada hidop dalam diriku: adapun kahidopan yang skarang aku ada hidop dalam diri, bahwa aku hidop ulih bŭriman akan Anak Allah, yang tŭlah mŭngasihi aku, dan tŭlah mŭnyŭrahkan dirinya sŭbab aku. Maka tiadalah aku mŭngsia siakan anugrah Allah itu; kŭrna jikalau kiranya kabŭnaran itu deri tauret datangnya, nŭschaya Almasih itu tŭlah mati dŭngan sia sialah.

GALATIA 2:1-21 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Kemudian, selepas empat belas tahun, aku naik lagi ke Yerusalem dengan Barnabas, serta membawa Titus bersama. Aku pergi ke sana untuk mematuhi wahyu yang diterima daripada Allah, dan membentangkan kepada mereka Injil yang kukhabarkan dalam kalangan bangsa asing. Tetapi aku melakukan ini secara persendirian kepada orang yang terkemuka, takut kalau-kalau pekerjaanku sia-sia, baik pada masa itu mahupun sebelum itu. Namun demikian, walaupun Titus yang bersamaku itu seorang Yunani, dia pun tidak dipaksa bersunat. Ini disebabkan beberapa orang yang pura-pura beriman telah dibawa masuk. Mereka mencuri-curi masuk untuk mengintip kebebasan yang kami miliki dalam Kristus Yesus agar mereka dapat memperhamba kami. Namun demikian, seketika pun kami tidak tunduk menyerah kepada mereka, supaya kebenaran Injil tetap bersamamu. Tetapi daripada orang yang kelihatan berwibawa — walau apa pun mereka, sama sahaja bagiku; Allah tidak bersikap pilih kasih kepada sesiapa — mereka tidak menambah apa-apa kepada pengajaranku. Sebaliknya, mereka menyedari bahawa penyampaian Injil kepada orang yang tidak bersunat telah diamanahkan kepadaku, sebagaimana penyampaian Injil kepada orang yang bersunat telah diamanahkan kepada Petrus. Kerana Dia yang telah bekerja dengan berkesan dalam Petrus bagi pengutusan kepada orang yang bersunat, telah bekerja dengan berkesan juga dalamku bagi pengutusan kepada orang yang tidak bersunat. Dan apabila Yakobus, Petrus dan Yohanes, yang dipandang sebagai tiang asas yang kukuh, menyedari kasih kurnia yang telah diberikan kepadaku, mereka berjabat tangan denganku dan Barnabas sebagai tanda persahabatan, supaya kami pergi kepada bangsa asing manakala mereka pergi kepada orang yang bersunat. Mereka hanya meminta agar kami ingat akan orang miskin, sesuatu yang sememangnya hendak kulakukan. Tetapi apabila Petrus datang ke Antiokhia, aku bersemuka dengannya dan membantah perbuatannya, kerana dia bersalah. Sebelum beberapa orang datang daripada Yakobus, Petrus makan bersama bangsa asing. Akan tetapi apabila mereka datang, dia berundur dan mengasingkan diri, disebabkan takut akan orang yang berpegang kepada persunatan. Orang Yahudi yang lain turut bersikap munafik, sehingga Barnabas pun tersesat kerana kemunafikan itu. Aku lihat kelakuan mereka itu tidak menepati kebenaran Injil, lalu aku berkata kepada Petrus di hadapan semuanya, “Jika kamu, orang Yahudi, hidup seperti orang bangsa asing dan tidak seperti orang Yahudi, mengapakah kamu memaksa orang bangsa asing menurut adat orang Yahudi?” Kita memang asal orang Yahudi bukan orang berdosa daripada bangsa asing; tetapi kita mengetahui bahawa seseorang itu diperbenar bukanlah kerana mengerjakan hukum Taurat tetapi kerana beriman akan Kristus Yesus. Oleh itu, kita pun mempercayai Kristus, supaya kita diperbenar kerana beriman akan Kristus, bukan kerana mengerjakan hukum Taurat. Tiada seorang pun manusia yang diperbenar kerana mengerjakan hukum Taurat. Tetapi, ketika kita berusaha untuk diperbenar melalui Kristus, ternyata kita sendiri didapati berdosa, adakah ini bermakna Kristus hamba kepada dosa? Tidak sekali-kali! Kalaulah kubina semula apa yang pernah kuruntuhkan, nyatalah aku seorang pelanggar hukum. Melalui hukum Taurat, aku telah mati kepada hukum itu untuk hidup kepada Allah. Aku telah disalib bersama Kristus, bukanlah aku lagi yang hidup, tetapi Kristus yang hidup dalam aku. Dalam hidup jasadku sekarang aku hidup dengan iman kepada Anak Allah, yang mengasihiku dan menyerahkan diri-Nya untukku. Aku tidak mengetepikan kasih kurnia Allah, kerana jika pembenaran datang daripada hukum Taurat, sia-sialah kematian Kristus!

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami