GALATIA 1:6-24

GALATIA 1:6-24 Alkitab Berita Baik (BM)

Aku hairan terhadap tingkah laku kamu. Allah sudah memanggil kamu kerana rahmat Kristus. Tetapi dalam masa yang demikian singkat, kamu telah meninggalkan Dia lalu mengikut berita baik lain yang bukan daripada Allah. Sebenarnya tidak ada berita baik lain. Tetapi aku berkata demikian kerana ada beberapa orang yang mengelirukan kamu dan cuba memutarbalikkan Berita Baik tentang Kristus. Jika kami, ataupun malaikat dari syurga, mengkhabarkan berita baik yang berlainan daripada Berita Baik yang telah kami khabarkan kepada kamu, biarlah orang itu dihukum oleh Allah! Kami telah mengatakannya dahulu, dan sekarang aku mengatakannya sekali lagi: Orang yang mengkhabarkan berita baik yang berlainan daripada Berita Baik yang telah kamu terima daripada kami, biarlah orang itu dihukum Allah! Dengan berkata demikian, adakah aku mengharapkan sokongan manusia? Tentu tidak! Aku hanya menghendaki Allah mengatakan bahawa apa yang aku lakukan itu benar. Adakah aku berusaha untuk mengambil hati orang? Jika aku masih berbuat demikian, aku bukanlah hamba Kristus. Saudara-saudaraku, kamu harus tahu bahawa Berita Baik yang aku khabarkan itu tidak berasal daripada manusia. Aku tidak menerima Berita itu daripada manusia. Tiada seorang pun mengajarkannya kepadaku. Yesus Kristus sendirilah yang menyatakan Berita Baik itu kepadaku. Tentu kamu telah mendengar tentang kehidupanku dahulu sebagai penganut agama Yahudi. Kamu mengetahui betapa kejamnya aku menganiaya jemaah Allah, dan dengan segala upaya aku berusaha untuk membinasakan mereka. Aku lebih maju daripada kebanyakan orang Yahudi yang sebaya dengan aku dalam hal mengamalkan agama Yahudi. Aku sangat taat kepada adat istiadat nenek moyang kita. Tetapi oleh sebab rahmat-Nya, Allah memilih aku sebelum aku dilahirkan dan memanggil aku untuk mengabdikan diri kepada-Nya. Allah menunjukkan Anak-Nya kepadaku supaya aku dapat mengkhabarkan Berita Baik tentang Anak-Nya kepada orang bukan Yahudi. Pada masa itu aku tidak minta nasihat daripada sesiapa pun. Aku tidak pergi ke Yerusalem untuk berjumpa dengan mereka yang telah menjadi rasul terlebih dahulu daripadaku. Sebaliknya aku segera pergi ke negeri Arab dan kemudian kembali ke Damsyik. Hanya selepas tiga tahun barulah aku pergi ke Yerusalem untuk melawat Petrus dan tinggal dengan dia selama dua minggu. Aku tidak berjumpa dengan rasul-rasul lain, kecuali Yakobus, saudara Tuhan. Apa yang aku tulis ini benar. Allah tahu bahawa aku tidak berdusta. Kemudian aku pergi ke kawasan-kawasan di Siria dan Kilikia. Pada masa itu anggota jemaah Kristian di negeri Yudea tidak begitu mengenal aku. Mereka hanya mendengar orang berkata, “Orang yang dahulu menganiaya kami, sekarang mengkhabarkan kepercayaan yang dahulu mahu dimusnahkannya.” Demikianlah mereka memuji Allah kerana aku.

GALATIA 1:6-24 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

Maka hieranlah aku bahwa kamu bŭgitu sŭgra tŭlah bŭrpaling deripada Tuhan yang tŭlah mŭnjŭmpot kamu dalam bŭrkat anugrah Almasih itu kapada Injil yang lain. Iya itu bukannya yang lain Injil; mŭlainkan ada barang barang orang yang mŭngachaukan kamu, dan handak mŭrosakkan Injil Almasih. Tŭtapi jikalau kami, atau barang sa’orang mŭliekat deri langit skalipun mŭngajar Injil yang lain kapada kamu deripada yang tŭlah kami mŭngajar, biarlah iya kŭna la’nat. Maka spŭrti kami tŭlah bŭrkata dahulu, maka skarang pun aku bŭrkata pula, jikalau barang sa’orang mŭngajarkan kamu barang Injil yang lain deripada Injil yang tŭlah kamu trima itu, biarlah iya kŭna la’nat. Maka adakah aku skarang mŭngajak manusiakah, atau Allah? atau aku mŭnchari jalan mŭnyukakan manusiakah? kŭrna jikalau aku ada mŭnyukakan manusia itu, nŭschaya bukanlah aku hamba Almasih. Tŭtapi hie saudara saudara, aku mŭnyatakan kapada kamu, adapun Injil yang tŭlah kuajarkan pada kamu itu, bahwa iya itu bukannya pŭngajaran manusia adanya. Kŭrna bukannya aku mŭndapat itu deripada manusia, dan bukannya pula aku bŭlajar itu, mŭlainkan ulih pŭrtunjokkan Isa Almasih adanya. Kŭrna kamu tŭlah mŭnŭngar akan prihal klakuanku yang dahulu kala tŭtkala dalam agama Yahudi, bŭtapa lampaulah sudah aku mŭnganyayai sidang jŭmaah Allah, dan mŭmbinasakan dia. Adapun aku tŭlah bŭruntonglah dalam agama Yahudi itu tŭrlebih deripada sagala orang yang sŭbaya dŭngan aku dalam bangsaku, ulih sŭbab tŭrlampau rajin hatiku derihal hadis hadis nenek moyangku. Tŭtapi apabila dipŭrkŭnankan Allah, yang tŭlah mŭmileh aku deripada rahim ibuku, sŭrta mŭngajak aku dŭngan anugrahnya, Akan mŭnyatakan Anaknya kapadaku, supaya aku mŭngajarkan deri halnya diantara orang sŭsat; maka dŭngan sŭgranya tiadalah aku bŭrmufakat dŭngan manusia. Dan tiada pula aku bŭrbalik kaJerusalem kapada marika itu yang tŭlah mŭnjadi rasul rasul tŭrdahulu deripada aku, mŭlainkan pŭrgilah aku katanah Arab, dan kŭmbalilah pula kanŭgri Damsek. Sŭtlah kumdian deripada tiga tahun lamanya, pulanglah aku kanŭgri Jerusalem sŭbab handak bŭrtŭmu dŭngan Petros, maka aku pun tinggallah bŭrsama sama dŭngan dia limablas hari lamanya. Akan tŭtapi sa’orang rasul rasul yang lain pun tiadalah aku bŭrtŭmu, hanyalah Yakob saudara Tuhan. Adapun pŭrkara pŭrkara yang aku suratkan kapada kamu ini, bahwa sŭsungguhnya dihadapan Allah, bukannya aku bohong. Hata sŭtlah itu, maka datanglah aku kapada jajahan nŭgri Syria dan Silicia. Maka tiadalah dikŭnal ulih sagala sidang jŭmaah akan mukaku ditanah Yahuda, yang dalam agama Almasih itu. Mŭlainkan marika itu mŭnŭngar khabar sahja, adapun orang yang mŭngannyayakan kami dahulu, maka skarang pula iya mŭmashorkan iman itu yang dahulu kala tŭlah dirosakannya. Maka marika itu skalian pun tŭlah mŭmuliakan Allah ulih sŭbab aku.

GALATIA 1:6-24 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Aku hairan bahawa kamu telah berpaling begitu cepat daripada Dia yang telah memanggilmu dalam kasih kurnia Kristus, kepada suatu injil lain — yang bukannya Injil. Tetapi ada orang yang mengacau kamu dan hendak memesongkan Injil Kristus. Tetapi jika kami atau malaikat dari syurga sekalipun kelak mengkhabarkan suatu injil yang lain daripada Injil yang telah kami khabarkan kepadamu, maka terlaknatlah orang itu! Sebagaimana aku sudah berkata dahulu, sekarang kukatakan lagi: Jika sesiapa mengkhabarkan Injil kepadamu lain daripada yang telah kamu terima, terlaknatlah orang itu! Adakah aku hendak membuktikan diri kepada manusia atau kepada Allah? Adakah aku berusaha mendapatkan keredaan manusia atau keredaan Allah? Jika aku masih cuba mendapatkan keredaan manusia, aku bukanlah hamba Kristus. Aku memberitahu kepadamu, saudara-saudara, Injil yang kusampaikan bukanlah menurut manusia. Aku tidak menerimanya daripada manusia, dan aku tidak pula mempelajarinya; tetapi Injil itu datang melalui wahyu daripada Yesus Kristus. Kamu telah mendengar tentang kelakuanku dahulu ketika dalam agama Yahudi, betapa aku telah menganiaya jemaah Allah habis-habisan dan cuba membinasakannya. Aku jauh lebih maju dalam agama Yahudi daripada orang sebayaku dalam kalangan bangsaku, kerana aku teramat kuat berpegang kepada segala adat nenek moyangku. Tetapi apabila Allah, yang telah mengasingkanku daripada rahim ibuku dan memanggilku, melalui kasih kurnia-Nya berkenan untuk menyatakan Anak-Nya dalamku agar aku mengkhabarkan tentang Dia dalam kalangan bangsa lain. Pada waktu itu, aku sama sekali tidak bermesyuarat dengan sesama manusia. Aku tidak juga pergi ke Yerusalem untuk menemui mereka yang telah menjadi rasul terdahulu daripadaku, tetapi aku ke Tanah Arab, lalu pulang semula ke Damsyik. Tiga tahun kemudian, aku ke Yerusalem bertemu dengan Petrus lalu tinggal dengannya lima belas hari. Tetapi aku tidak melihat para rasul yang lain — kecuali Yakobus, saudara Tuhan Yesus. Sesungguhnya, di hadapan Allah, perkara-perkara yang kutuliskan kepadamu ini benar, aku tidak berbohong. Selepas itu, aku pergi ke rantau Siria dan Kilikia. Mukaku masih belum dikenali oleh jemaah Kristus di Yudea. Mereka hanya mendengar: “Orang yang dahulu menganiaya kita sekarang mengkhabarkan iman yang hendak dibinasakannya dahulu.” Lalu mereka memuji Allah keranaku.