GALATIA 1:6-10
GALATIA 1:6-10 Alkitab Berita Baik (BM)
Aku hairan terhadap tingkah laku kamu. Allah sudah memanggil kamu kerana rahmat Kristus. Tetapi dalam masa yang demikian singkat, kamu telah meninggalkan Dia lalu mengikut berita baik lain yang bukan daripada Allah. Sebenarnya tidak ada berita baik lain. Tetapi aku berkata demikian kerana ada beberapa orang yang mengelirukan kamu dan cuba memutarbalikkan Berita Baik tentang Kristus. Jika kami, ataupun malaikat dari syurga, mengkhabarkan berita baik yang berlainan daripada Berita Baik yang telah kami khabarkan kepada kamu, biarlah orang itu dihukum oleh Allah! Kami telah mengatakannya dahulu, dan sekarang aku mengatakannya sekali lagi: Orang yang mengkhabarkan berita baik yang berlainan daripada Berita Baik yang telah kamu terima daripada kami, biarlah orang itu dihukum Allah! Dengan berkata demikian, adakah aku mengharapkan sokongan manusia? Tentu tidak! Aku hanya menghendaki Allah mengatakan bahawa apa yang aku lakukan itu benar. Adakah aku berusaha untuk mengambil hati orang? Jika aku masih berbuat demikian, aku bukanlah hamba Kristus.
GALATIA 1:6-10 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
Maka hieranlah aku bahwa kamu bŭgitu sŭgra tŭlah bŭrpaling deripada Tuhan yang tŭlah mŭnjŭmpot kamu dalam bŭrkat anugrah Almasih itu kapada Injil yang lain. Iya itu bukannya yang lain Injil; mŭlainkan ada barang barang orang yang mŭngachaukan kamu, dan handak mŭrosakkan Injil Almasih. Tŭtapi jikalau kami, atau barang sa’orang mŭliekat deri langit skalipun mŭngajar Injil yang lain kapada kamu deripada yang tŭlah kami mŭngajar, biarlah iya kŭna la’nat. Maka spŭrti kami tŭlah bŭrkata dahulu, maka skarang pun aku bŭrkata pula, jikalau barang sa’orang mŭngajarkan kamu barang Injil yang lain deripada Injil yang tŭlah kamu trima itu, biarlah iya kŭna la’nat. Maka adakah aku skarang mŭngajak manusiakah, atau Allah? atau aku mŭnchari jalan mŭnyukakan manusiakah? kŭrna jikalau aku ada mŭnyukakan manusia itu, nŭschaya bukanlah aku hamba Almasih.
GALATIA 1:6-10 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Aku hairan bahawa kamu telah berpaling begitu cepat daripada Dia yang telah memanggilmu dalam kasih kurnia Kristus, kepada suatu injil lain — yang bukannya Injil. Tetapi ada orang yang mengacau kamu dan hendak memesongkan Injil Kristus. Tetapi jika kami atau malaikat dari syurga sekalipun kelak mengkhabarkan suatu injil yang lain daripada Injil yang telah kami khabarkan kepadamu, maka terlaknatlah orang itu! Sebagaimana aku sudah berkata dahulu, sekarang kukatakan lagi: Jika sesiapa mengkhabarkan Injil kepadamu lain daripada yang telah kamu terima, terlaknatlah orang itu! Adakah aku hendak membuktikan diri kepada manusia atau kepada Allah? Adakah aku berusaha mendapatkan keredaan manusia atau keredaan Allah? Jika aku masih cuba mendapatkan keredaan manusia, aku bukanlah hamba Kristus.