GALATIA 1:1-10

GALATIA 1:1-10 Alkitab Berita Baik (BM)

Aku, Paulus, menyampaikan salam kepada jemaah di negeri Galatia. Aku dilantik menjadi rasul oleh Yesus Kristus dan Allah Bapa kita yang telah membangkitkan Yesus daripada kematian. Aku menjadi rasul bukan dengan perantaraan manusia ataupun kerana dilantik oleh manusia. Semua saudara Kristian di sini turut menyampaikan salam kepada jemaah di negeri Galatia. Semoga Allah Bapa kita dan Tuhan Yesus Kristus mengurniai kamu berkat dan kesejahteraan. Untuk menyelamatkan kita daripada zaman yang jahat ini, Kristus telah menyerahkan diri-Nya sebagai korban bagi dosa-dosa kita. Dia melakukannya untuk mentaati kehendak Allah Bapa kita. Terpujilah Allah selama-lamanya! Amin. Aku hairan terhadap tingkah laku kamu. Allah sudah memanggil kamu kerana rahmat Kristus. Tetapi dalam masa yang demikian singkat, kamu telah meninggalkan Dia lalu mengikut berita baik lain yang bukan daripada Allah. Sebenarnya tidak ada berita baik lain. Tetapi aku berkata demikian kerana ada beberapa orang yang mengelirukan kamu dan cuba memutarbalikkan Berita Baik tentang Kristus. Jika kami, ataupun malaikat dari syurga, mengkhabarkan berita baik yang berlainan daripada Berita Baik yang telah kami khabarkan kepada kamu, biarlah orang itu dihukum oleh Allah! Kami telah mengatakannya dahulu, dan sekarang aku mengatakannya sekali lagi: Orang yang mengkhabarkan berita baik yang berlainan daripada Berita Baik yang telah kamu terima daripada kami, biarlah orang itu dihukum Allah! Dengan berkata demikian, adakah aku mengharapkan sokongan manusia? Tentu tidak! Aku hanya menghendaki Allah mengatakan bahawa apa yang aku lakukan itu benar. Adakah aku berusaha untuk mengambil hati orang? Jika aku masih berbuat demikian, aku bukanlah hamba Kristus.

GALATIA 1:1-10 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

BAHWA Paulus sa’orang rasul, bukannya surohan deripada manusia, dan bukannya pula ulih manusia, mŭlainkan Isa Almasih, dan Allah iya itu Ayah, yang tŭlah mŭmbangkitkan Isa deripada matinya. Sŭrta dŭngan saudara saudara skalian yang ada bŭrsama sama dŭngan aku, iya itu datang kapada sagala sidang jŭmaah yang diGalatia. Adalah kiranya anugrah pada kamu, dan slamat deripada Allah iya itu Ayah, dan deripada Tuhan kami Isa Almasih. Yang tŭlah mŭnyŭrahkan dirinya kŭrna sagala dosa kami, supaya iya mŭlŭpaskan kami deripada dunia yang jahat pada masa ini, spŭrti kahandak Allah iya itu Ayah kami. Maka bagienyalah juga kamulian pada slama lamanya. Amin. Maka hieranlah aku bahwa kamu bŭgitu sŭgra tŭlah bŭrpaling deripada Tuhan yang tŭlah mŭnjŭmpot kamu dalam bŭrkat anugrah Almasih itu kapada Injil yang lain. Iya itu bukannya yang lain Injil; mŭlainkan ada barang barang orang yang mŭngachaukan kamu, dan handak mŭrosakkan Injil Almasih. Tŭtapi jikalau kami, atau barang sa’orang mŭliekat deri langit skalipun mŭngajar Injil yang lain kapada kamu deripada yang tŭlah kami mŭngajar, biarlah iya kŭna la’nat. Maka spŭrti kami tŭlah bŭrkata dahulu, maka skarang pun aku bŭrkata pula, jikalau barang sa’orang mŭngajarkan kamu barang Injil yang lain deripada Injil yang tŭlah kamu trima itu, biarlah iya kŭna la’nat. Maka adakah aku skarang mŭngajak manusiakah, atau Allah? atau aku mŭnchari jalan mŭnyukakan manusiakah? kŭrna jikalau aku ada mŭnyukakan manusia itu, nŭschaya bukanlah aku hamba Almasih.