EZRA 9:5-15
EZRA 9:5-15 Alkitab Berita Baik (BM)
Pada masa korban petang mula dipersembahkan, saya bangun dari tempat saya duduk bersedih hati dengan berpakaian koyak rabak, lalu saya berlutut dan mengangkat tangan kepada TUHAN, Allah saya. Saya berkata, “Ya Allahku, aku terlalu malu hendak mengangkat kepala di hadapan-Mu. Dosa kami bersusun-susun di atas kepala sehingga sampai di langit. Sejak zaman nenek moyang kami sehingga kini, kami umat-Mu telah berdosa kepada-Mu. Disebabkan dosa kami itu, para raja dan imam kami telah ditawan raja-raja bangsa asing. Kami dibunuh, dirompak dan dibawa sebagai tawanan ke negeri lain. Kami telah dihina habis-habisan, sehingga hari ini. Tetapi sekarang, untuk seketika, Engkau ya TUHAN, Allah kami, baru sahaja mengasihani kami dan membebaskan beberapa orang di kalangan kami daripada perhambaan, serta memberi kami kehidupan yang tenteram di tempat yang khas ini. Engkau telah memberi kami kehidupan yang baru. Engkau tidak meninggalkan kami pada masa kami masih dalam perhambaan. Engkau telah membuat raja Persia berkenan kepada kami dan mengizinkan kami hidup serta membina semula Rumah-Mu yang telah runtuh itu. Engkau memberi kami perlindungan di Yehuda dan di Yerusalem. Tetapi sekarang, ya Allah, setelah semua kejadian itu, apakah yang dapat kami katakan? Sekali lagi kami telah melanggar perintah-Mu yang diberikan kepada kami melalui hamba-Mu, para nabi. Mereka memberitahu kami bahawa tanah yang akan kami diami itu telah dicemar, kerana penduduknya telah mencemarkan seluruhnya dengan perbuatan yang kotor dan keji. Nabi-nabi itu memberitahu kami bahawa kami tidak boleh berkahwin dengan penduduk tempatan ataupun menolong mereka menjadi makmur dan sejahtera. Jika kami taat, kami akan menjadi kuat dan menikmati hasil tanah itu serta mewariskannya kepada keturunan kami selama-lamanya. Sekarang Engkau telah menghukum kami kerana segala dosa dan pelanggaran kami terhadap hukum-Mu. Tetapi kami tahu ya Allah kami, bahawa hukuman-Mu itu jauh lebih ringan daripada yang setimpal dengan perbuatan kami; malahan Engkau telah menyelamatkan kami. Oleh itu, bagaimana mungkin kami mengabaikan lagi perintah-Mu itu, lalu berkahwin dengan orang yang jahat itu? Jika kami melakukannya, tentu Engkau akan murka lalu membinasakan kami sama sekali, sehingga tiada seorang pun hidup. Ya TUHAN, Allah Israel, Engkau sungguh adil. Walaupun demikian, Engkau telah membenarkan kami hidup. Kami mengakui dosa kami. Kami tidak layak menghadap hadirat-Mu.”
EZRA 9:5-15 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Pada waktu persembahan petang, aku bangkit dan berhenti merendahkan diri. Lalu dengan pakaian dan jubah terkoyak, aku sujud bertelut dan menadahkan tangan kepada TUHAN, Allahku. Kataku, “Ya Allahku, aku malu dan berasa beraib. Naik merah muka yang cuba kutengadahkan kepada-Mu, Allahku, atas sebab kedurjanaan kami meningkat hingga mengatasi kepala kami dan kesalahan kami menanjak ke langit. Sejak zaman nenek moyang kami sampai hari ini sangatlah besar kesalahan kami. Kerana kedurjanaan kami itu, kami bersama-sama raja-raja dan para imam kami telah diserahkan ke dalam tangan raja berbagai-bagai negeri, kepada mata pedang, penawanan, perampasan, dan perbuatan mengaibkan seperti yang terjadi pada hari ini. Tetapi sekarang, buat sepintas lalu sahaja, belas kasihan yang ditunjukkan TUHAN, Allah kami, membolehkan kami ada kalangan terselamat dan yang memberi kami kedudukan teguh di tempat-Nya yang suci. Dengan demikian, Allah kami membuat mata kami berseri-seri dan memberi kami sedikit kelegaan dalam perhambaan kami. Sememangnya kami hamba, namun kami tidak ditinggalkan oleh Allah kami. Ditunjukkan-Nya kasih abadi kepada kami di hadapan raja-raja Parsi sehingga kami diberi kelegaan untuk menegakkan kembali puing-puingnya, dan kami diberi tembok pelindung di Tanah Yehuda serta di Yerusalem. Dan kini, ya Allah kami, apakah lagi yang dapat kami katakan setelah segala hal itu? Memang kami telah mengabaikan perintah-perintah-Mu, yang Kauberikan dengan perantaraan hamba-hamba-Mu, para nabi, dengan berfirman, ‘Negeri yang kamu masuki untuk kamu duduki itu sebuah negeri yang cemar oleh kecemaran bangsa-bangsa negeri itu. Mereka memenuhi negeri itu dengan kenajisan dari hujung ke hujung dengan segala amalan keji mereka. Oleh itu, jangan berikan anak-anak perempuanmu untuk menjadi isteri anak-anak lelaki mereka, dan jangan ambil anak-anak perempuan mereka untuk menjadi isteri anak-anak lelakimu. Jangan ikhtiarkan kesejahteraan dan kekayaan mereka sama sekali untuk selama-lamanya, supaya kamu menjadi kuat, menikmati hasil yang baik daripada negeri itu, dan mewariskannya kepada anak-anakmu untuk selama-lamanya.’ Setelah segala yang menimpa kami akibat perbuatan kami yang jahat dan kesalahan kami yang besar — sementara Engkau, ya Allah kami, tidak menghukum kami setimpal dengan kesalahan kami dan masih mengurniai kami sebanyak orang yang terselamat ini — patutkah kami melanggar perintah-Mu lagi dan berkahwin dengan bangsa-bangsa yang mengamalkan perbuatan-perbuatan keji ini? Tidakkah Engkau akan marah kepada kami sehingga kami dihabiskan tanpa ada lagi yang tersisa atau terselamat? Ya TUHAN, Allah Israel, Engkaulah yang benar! Namun begitu, kami masih ditinggalkan sebagai baki orang yang terselamat, seperti yang terjadi pada hari ini. Lihatlah, kami menghadap hadirat-Mu dengan kesalahan kami, meskipun tidak ada yang tahan berdiri di hadapan-Mu kerana hal ini.”