EZRA 5:6-17
EZRA 5:6-17 Alkitab Berita Baik (BM)
Inilah laporan yang dikirim mereka kepada raja, “Kepada Raja Darius. Semoga tuanku memerintah dengan aman damai. Ingin kami maklumkan kepada tuanku bahawa kami telah pergi ke Yehuda dan mendapati bahawa Rumah Ibadat untuk Allah yang Besar, sedang dibina semula dengan batu-batu besar dan tembok yang dilapisi kayu. Pekerjaan itu dilakukan dengan sangat teliti dan berjalan dengan lancar. Kemudian kami bertanya kepada para pemimpin bangsa itu, siapa yang telah memberi mereka kebenaran untuk membina semula Rumah Ibadat serta melengkapinya. Kami juga menanyakan nama mereka supaya dapat memberitahukan tuanku orang yang mengetuai pekerjaan itu. Mereka menjawab, ‘Kami ini hamba Allah penguasa alam semesta. Kami membina semula Rumah TUHAN yang dibina dan dilengkapi berpuluh-puluh tahun yang lalu oleh seorang raja Israel yang agung. Tetapi oleh sebab nenek moyang kami membangkitkan kemurkaan Allah, penguasa di syurga, Dia membiarkan nenek moyang kami dikalahkan oleh Raja Nebukadnezar, keturunan Kasdim, raja di Babilonia. Rumah TUHAN dimusnahkan dan bangsa kami ditawan lalu dibawa ke Babilonia. Kemudian pada tahun pertama pemerintahan Raja Kores, raja Babilonia, baginda memberikan perintah supaya Rumah TUHAN dibina semula. Bahkan baginda mengembalikan juga perkakas emas dan perak yang digunakan di dalam Rumah TUHAN. Perkakas itu telah dirampas oleh Raja Nebukadnezar dari Yerusalem dan disimpan di dalam kuilnya di kota Babel. Raja Kores memberikan perkakas itu kepada seorang yang bernama Sesbazar, yang telah dilantiknya menjadi gabenor Yehuda. Raja menyuruh Sesbazar mengembalikan perkakas itu ke Rumah TUHAN di Yerusalem, dan membina semula Rumah itu. Oleh itu Sesbazar datang ke Yerusalem dan meletakkan asas Rumah TUHAN. Sejak itu hingga sekarang pembinaannya telah berjalan dengan baik, tetapi masih belum selesai.’ Oleh itu jika diizinkan tuanku, suruhlah orang memeriksa arkib kerajaan di Babel. Dengan demikian dapatlah diketahui sama ada Raja Kores pernah memberikan perintah untuk membina semula Rumah TUHAN di Yerusalem atau tidak. Kemudian sudilah memberitahu kami apa keputusan tuanku tentang perkara itu.”
EZRA 5:6-17 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Inilah salinan surat kepada Raja Darius yang dikirim oleh Tatnai, pembesar wilayah seberang Sungai, berserta Syetar-Boznai dan para rakannya, iaitu para pembesar yang tinggal di daerah seberang Sungai Efrat. Tertulis sedemikian di dalam surat yang dikirim oleh mereka kepada Raja itu: “Kepada Raja Darius. Salam sejahtera! Semoga Raja maklum bahawa kami telah pergi ke wilayah Yehuda, ke Bait Allah Yang Maha Besar. Bait itu sedang dibina dengan batu yang besar-besar, dan tembok-temboknya dilapisi dengan kayu. Pekerjaan itu dikerjakan dengan saksama dan berjalan lancar dalam tangan mereka. Kemudian kami berbicara dengan tua-tua itu dan bertanya kepada mereka, ‘Siapakah yang memerintahkan kamu untuk membina bait ini dan menyelesaikan tembok ini?’ Kami juga bertanya kepada mereka nama mereka serta mencatat nama kalangan yang mengetuai mereka agar kami dapat menyampaikannya kepada tuanku. Beginilah jawapan yang diberikan mereka kepada kami, ‘Kami hamba Allah semesta langit dan bumi, dan kami sedang membina semula bait yang telah dibina bertahun-tahun yang lampau. Seorang raja Israel yang agung dahulu membina dan menyelesaikannya. Akan tetapi, kerana bangkitnya kemurkaan Allah semesta langit terhadap nenek moyang kami, maka Dia menyerahkan mereka ke dalam tangan Nebukadnezar, raja Babel, orang Kasdim, yang kemudian memusnahkan bait itu dan membuang bangsa itu ke Babel. Tetapi Kores, raja Babel, memberikan perintah pada tahun pertama pemerintahannya agar Rumah Allah ini dibina semula. Bahkan segala kelengkapan emas dan perak daripada Rumah Allah, yang dahulunya diambil oleh Nebukadnezar dari Bait Suci di Yerusalem dan yang kemudiannya dibawa ke dalam kuil di Babel, seluruhnya diambil oleh Raja Kores dari kuil di Babel dan diserahkan kepada seorang bernama Sesbazar, yang diangkatnya menjadi pembesar. Titah raja kepadanya, “Ambillah segala kelengkapan ini. Pergilah, letaklah kesemuanya di Bait Suci di Yerusalem, dan biarlah Rumah Allah dibina semula di tempat asalnya.” Selanjutnya Sesbazar datang dan meletakkan asas Rumah Allah di Yerusalem. Maka sejak masa itu sampai sekarang, bait itu dibina tetapi belum selesai.’ Sekarang, jika diperkenan oleh Raja, adakanlah suatu carian di dalam perbendaharaan diraja di Babel, sama ada Raja Kores pernah memberikan perintah untuk membina semula Rumah Allah di Yerusalem itu. Kemudian sudilah Raja menyampaikan kehendaknya tentang hal tersebut kepada kami.”