YEHEZKIEL 34:11-15
YEHEZKIEL 34:11-15 Alkitab Berita Baik (BM)
TUHAN Raja berfirman, “Aku sendiri akan mencari umat Israel, domba-domba-Ku, dan memelihara mereka, seperti seorang gembala mencari dan mengumpulkan domba-dombanya yang tercerai-cerai. Aku akan mengumpulkan mereka dari tempat mereka tercerai-cerai pada malam yang gelap dan nahas itu. Aku akan mengeluarkan mereka dari negeri-negeri asing dan mengumpulkan mereka, lalu membawa mereka pulang ke tanah air mereka. Aku akan membawa mereka balik ke gunung-gunung dan lembah-lembah di Israel. Aku akan memberi mereka makan di padang-padang rumput yang subur. Aku akan membiarkan mereka merumput dengan tenteram di padang hijau. Aku akan membolehkan mereka makan di padang rumput di gunung, di lembah, dan di padang rumput yang hijau di Israel. Aku sendiri akan menggembalakan domba-domba-Ku. Aku akan mencari tempat berehat bagi mereka. Aku, TUHAN Raja, telah berfirman.
YEHEZKIEL 34:11-15 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Kerana beginilah firman Tuhan ALLAH: Sesungguhnya, Aku sendiri akan memperhatikan domba-Ku dan mencari mereka. Seperti seorang gembala mencari dombanya ketika domba itu tercerai daripada kawanannya, demikianlah Aku akan mencari domba-Ku dan menyelamatkan mereka dari semua tempat mereka tercerai-berai pada hari yang berawan dan kelam pekat. Aku akan membawa mereka daripada kalangan bangsa dan mengumpulkan mereka dari berbagai-bagai negeri lalu membawa mereka ke tanah mereka. Aku akan menggembala mereka di atas gunung-gunung Israel, di alur-alur sungainya, dan di semua tempat yang dihuni orang di negeri itu. Aku akan menggembala mereka di padang rumput yang baik. Padang ragut mereka akan ada di atas gunung-gunung Israel yang tinggi. Di sana, di atas gunung-gunung Israel itu, mereka akan berbaring di padang ragut yang baik dan akan merumput di padang rumput yang subur. Aku sendiri akan menggembala domba-Ku dan Aku akan membaringkan mereka, demikianlah firman Tuhan ALLAH.