YEHEZKIEL 32:2-10
YEHEZKIEL 32:2-10 Alkitab Berita Baik (BM)
“Hai manusia fana, berikanlah amaran keras kepada raja Mesir. Sampaikanlah firman-Ku kepadanya, ‘Di hadapan bangsa-bangsa lain engkau berlagak seperti singa, tetapi engkau lebih menyerupai buaya yang berkecimpung di dalam sungai. Kakimu mengeruhkan dan mengotorkan sungai-sungai. Apabila bangsa-bangsa berkumpul, Aku akan menangkap engkau dengan jala-Ku dan membiarkan bangsa-bangsa menyeret jala itu ke darat. Aku akan menghempaskan engkau ke tanah lalu menyuruh segala burung dan binatang di dunia untuk memakan engkau. Aku akan menghamburkan mayatmu yang membusuk itu di seluruh bukit dan lembah. Aku akan menumpahkan darahmu sehingga membasahi bukit-bukit dan memenuhi anak-anak sungai. Apabila Aku membinasakan engkau, Aku akan menutupi langit dan memadamkan segala bintang. Matahari akan diliputi awan, dan bulan pun tidak bercahaya lagi. Aku akan memadamkan semua cahaya di langit, dan menjadikan negerimu gelap-gelita. Aku, TUHAN Raja, telah berfirman. Banyak bangsa akan cemas apabila Aku menyiarkan berita tentang kebinasaanmu ke negeri-negeri yang tidak engkau kenal. Perbuatan-Ku terhadap engkau akan mengejutkan banyak bangsa. Apabila Aku mengayunkan pedang-Ku, raja-raja akan ketakutan. Pada hari engkau jatuh, mereka semua akan gementar dan menggigil kerana takut mati.’ ”
YEHEZKIEL 32:2-10 Alkitab Versi Borneo (AVB)
“Wahai anak manusia, lantunkanlah suatu ratapan mengenai Firaun, raja Mesir, dan katakan kepadanya, ‘Engkau menyamakan diri dengan singa muda dalam kalangan bangsa, tetapi engkau seperti naga di laut. Engkau membuat sungai-sungaimu bergelora dan mengeruhkan airnya dengan kakimu sehingga sungai-sungainya menjadi kotor.’ Beginilah firman Tuhan ALLAH, ‘Aku akan membentangkan jaring-Ku atasmu dengan sejumlah besar bangsa, dan mereka akan mengangkat engkau ke dalam jaring-Ku. Akan Kubuang engkau ke tanah, dan Kucampakkan engkau ke padang terbuka. Aku akan menyuruh segala burung di udara hinggap padamu, dan mengenyangkan binatang seluruh bumi dengan dagingmu. Akan Kuletakkan dagingmu di atas gunung-gunung dan Kupenuhi lembah-lembah dengan saki-baki bangkaimu. Akan Kubanjiri tanah dengan aliran darahmu sampai ke gunung-gunung. Alur-alur sungai akan penuh dengan dagingmu. Ketika Aku memadamkan engkau, Aku akan menudungi langit dan membuat bintang-bintangnya menggelap. Matahari akan Kutudung dengan awan dan bulan tidak akan memancarkan sinarnya. Segala yang memancarkan sinar di langit akan Kugelapkan kerana engkau. Aku akan mendatangkan kegelapan terhadap negerimu, demikianlah firman Tuhan ALLAH. Akan Kususahkan hati banyak bangsa ketika khabar kehancuranmu Kusiarkan kepada bangsa di negeri-negeri yang tidak kaukenal. Banyak bangsa akan Kubuat tercengang melihat engkau. Raja-rajanya akan sangat ketakutan melihat engkau ketika Kuayunkan pedang-Ku di hadapan mereka. Mereka akan berasa gentar setiap saat. Setiap orang mencemaskan nyawanya sendiri pada hari kejatuhanmu.’