YEHEZKIEL 28:1-10
YEHEZKIEL 28:1-10 Alkitab Berita Baik (BM)
TUHAN berfirman kepadaku, “Hai manusia fana, sampaikanlah apa yang Aku, TUHAN Raja firmankan kepada raja Tirus, ‘Engkau sombong dan menganggap dirimu dewa yang bertakhta di tengah-tengah laut. Engkau berlagak sebagai dewa, padahal engkau ini hanya manusia fana! Engkau sangka engkau lebih bijak daripada Danel, sehingga engkau mengetahui segala rahsia. Kebijaksanaan dan kepandaianmu menjadikan engkau kaya dengan emas dan perak. Engkau pandai berniaga dan sentiasa mendapat keuntungan. Engkau sombong kerana kekayaanmu!’ Oleh itu, dengarlah apa yang Aku, TUHAN Raja firmankan, ‘Kerana engkau menyangka engkau sebijak dewa, Aku akan mengirim musuh yang kejam untuk menyerang engkau. Mereka akan memusnahkan semua harta yang engkau peroleh dengan kepandaian dan kebijaksanaanmu itu. Mereka akan membunuh engkau dan menguburkan engkau di laut. Pada waktu itu, masihkah engkau dapat mengatakan bahawa engkau dewa? Apabila engkau menghadapi pembunuhmu, nyatalah engkau hanya manuisa fana dan bukan dewa. Engkau akan mati seperti orang hina, dibunuh oleh orang bangsa asing yang tidak mengenal Allah. Aku, TUHAN Raja, telah berfirman.’ ”
YEHEZKIEL 28:1-10 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Datanglah firman TUHAN kepadaku demikian, “Wahai anak manusia, katakanlah kepada raja Tirus: Beginilah firman Tuhan ALLAH, ‘Kerana kesombonganmu engkau berkata, “Akulah Allah! Aku duduk di takhta Allah, di tengah lautan.” Padahal engkau manusia, bukan Allah, walaupun engkau menganggap dirimu seperti Allah. Memang, engkau lebih bijaksana daripada Daniel. Tidak suatu rahsia pun terlindung daripadamu. Oleh kebijaksanaanmu dan pengertianmu engkau memperoleh kekayaan. Engkau mengumpulkan emas dan perak di dalam perbendaharaanmu. Kerana engkau sangat bijak dalam hal berniaga, engkau melipatgandakan kekayaanmu dan menjadi sombong akibat kekayaanmu itu.’ Oleh sebab itu beginilah firman Tuhan ALLAH, ‘Kerana engkau menganggap dirimu seperti Allah, maka sesungguhnya Aku akan mendatangkan orang asing untuk melawan engkau, yang terkejam antara segala bangsa. Mereka akan menghunus pedang mereka untuk melawan kebijaksanaanmu yang gemilang, lalu menajiskan kegemilanganmu. Mereka akan menurunkan engkau ke liang kubur, dan engkau akan mati seperti orang yang mati dibunuh di tengah lautan. Masihkah engkau akan berkata di hadapan pembunuhmu, “Akulah Allah”? Engkau ini manusia, bukan Allah, di tangan orang yang menikam engkau. Engkau akan mati seperti orang yang tidak bersunat di tangan orang asing, kerana Aku telah berfirman, demikianlah firman Tuhan ALLAH.’ ”