YEHEZKIEL 18:25-32
YEHEZKIEL 18:25-32 Alkitab Berita Baik (BM)
Tetapi kamu berkata, ‘Perbuatan Tuhan tidak adil.’ Dengarlah, hai orang Israel. Adakah kamu menyangka bahawa Aku tidak adil? Kamulah yang tidak adil. Apabila seorang baik berhenti berbuat baik, malahan mula berbuat jahat dan orang itu mati, dia mati kerana perbuatannya yang jahat itu. Apabila seorang jahat berhenti berbuat dosa, dan mula berbuat yang adil dan baik, orang itu menyelamatkan hidupnya. Dia insaf akan kesalahannya lalu berhenti berbuat dosa. Oleh itu dia tidak akan mati tetapi akan hidup. Lalu kamu hai orang Israel berkata, ‘Perbuatan Tuhan tidak adil.’ Kamu berfikir bahawa Aku tidak adil, padahal kamulah yang tidak adil. Sekarang Aku, TUHAN Raja memberitahu kamu, hai umat Israel, bahawa Aku akan mengadili setiap orang menurut perbuatannya. Bertaubatlah daripada kejahatan yang sedang kamu lakukan, dan jangan biarkan dosa kamu membinasakan kamu. Tinggalkanlah segala kejahatan yang telah kamu lakukan, dan biarlah fikiran dan hati kamu menjadi baru. Mengapakah kamu, umat Israel mahu mati? Aku tidak mahu sesiapa pun mati,” Demikianlah firman TUHAN Raja. “Bertaubatlah daripada dosa kamu dan hiduplah.”
YEHEZKIEL 18:25-32 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Namun demikian, kamu berkata, ‘Jalan Tuhan itu tidak adil.’ Dengarlah, wahai keturunan kaum Israel, adakah jalan-Ku tidak adil? Bukankah jalan-jalanmu yang tidak adil? Kalau orang benar berbalik daripada perbenarannya dan melakukan kezaliman, maka dia akan mati kerananya. Dia pasti mati dalam kezaliman yang dilakukannya. Sebaliknya, kalau orang fasiq berbalik daripada kefasiqan yang dilakukannya dan menegakkan apa yang adil serta benar, dia akan menyelamatkan jiwanya. Kerana dia sedar dan bertaubat daripada segala pelanggaran yang dilakukannya, maka dia pasti hidup. Dia tidak akan mati. Namun demikian, keturunan kaum Israel berkata, ‘Jalan Tuhan itu tidak adil.’ Adakah jalan-Ku tidak adil, wahai keturunan kaum Israel? Bukankah jalan-jalanmu yang tidak adil? Oleh sebab itu Aku akan menghukum kamu menurut jalan hidup masing-masing, wahai keturunan kaum Israel, demikianlah firman Tuhan ALLAH. Berpalinglah dan bertaubatlah daripada segala pelanggaranmu supaya itu tidak menjadi batu sandungan di hadapanmu. Buanglah daripada dirimu segala pelanggaran yang kamu lakukan, milikilah hati yang baru serta roh yang baru. Mengapa kamu harus mati, wahai keturunan kaum Israel? Sesungguhnya, Aku tidak menyukai kematian yang harus ditanggung seseorang, demikianlah firman Tuhan ALLAH. Oleh sebab itu bertaubatlah dan hiduplah.”